Opinion

Ustaz Azhar kahwin tiga

Subky Abdul Latif

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

2 JUN — Tahniah dan ucapan syabas dari saya buat Ustaz Azhar Idrus, pendakwah pop popular atas pernikahan ketiganya setakat ini. Saya berdoa jodohnya kekal dan mendapat rahmat Allah, apa lagi beliau mengikut sunnah Nabi.

Nikahnya itu satu ibadat dan moga-moga Allah terima sebagai amal soleh. Amin!

Saya percaya Ustaz Azhar faham dan arif semua hukum, masalah, tanggungjawab, karenah dan apa orang kata tentang beristeri lebih dari satu apa lagi menyimpan tiga madu. Moga-moga beliau dapat menjadi model terbaik bagi orang Islam yang hendak beristeri lebih dari satu.

Ustaz Azhar bukan sekadar pendakwah terkenal, malah sudah menjadi silibriti. Sebagai silibriti, maka beliau akan menjadi perhatian semua media, khususnya tentang kehidupan berumah tangganya.

Apa pun Ustaz Azhar tetap menerima kritikan dari golongan anti poligami dari kalangan orang Islam Malaysia dan Ustaz Azhar tentu faham dan bersedia menghadapinya.

Walaupun P.Ramlee melalui filem jenakanya Nujum Pak Belalang menyebut ‘jarang-jarang’ atas kahwin tiga, tetapi adalah tidak ganjil bagi ahli-ahli korporat yang berjaya malah Yang Berhormat pun ada. Kebanyakan yang kahwin lebih dari satu apa lagilah sampai tiga berlangsung secara diam.

Ia pun tidaklah perlu dihebohkan.

Akan sekalian anti poligami diharapkan tidak keciwa dengan ikon dakwah itu dan ia tidak pula menghentikan minat untuk mengikuti ceramahnya bagi menimba ilmu dan memantapkan fahaman Islam masing-masing.

Walaupun P. Ramlee di samping filemnya Nujum Pak Belalang, dia juga mengarahkan filem kritikan lucu melalui filem Madu Tiga. Memang lebih dari dua dirasakan lucu tetapi kahwin Ustaz Azhar moga-moga tidak dilucukan.

Bahkan ia boleh menjadi contoh dakwah yang baik bagi orang yang hendak berkahwin banyak.

Selain Ustaz Azhar, saya banyak juga menyaksikan Tok-Tok Guru beristeri ramai dan saya dapati dari pandangan  lahirnya, kehidupan rumah tangganya adalah normal. Sebagai manusia itu ada kekurngan, ada juga tok guru yang tidak berjaya dalam dunia poligaminya, tetapi kegagannya juga adalah bahan pengajaran dan yang banyak berjaya adalah pengajaran yang menjadi contoh.

Saya teringat seorang rakan saya bertaraf tok gurunya, bersara sebagai pensyarah universiti dan menjadi salah seorng pemimpin PAS kemudiannya, kahwin dua sebelum bersara.

Saya pernah bergurau dengannya mula-mula dia kahwin dua dulu. Jawabnya kepada saya, ‘Kami tok-tok guru ini, boleh kawal tiga dan empat isteri dengan mudah, tetapi kebanyakan pimpinan negara, termasuk di negara kita, nak kawal seorng isteri pun tidak berjaya...’

Katanya lagi, jika kami yang dapat mengawal isteri yang ramai ini diberi kepercayaan memerintah negara, tentu kami juga boleh mentadbiran negara lebih baik daripada pemimpin yang hendak kawal seorang isteri pun tidak terdaya.

Saya tertarik dengan  falsafahnya. Saya mengikuti kehidpan politik dan kehidupan rumah tangganya. Dalam politik dia kalah setiap kali pilihanraya. Tetapi dia dapat membawa kedua-dua isterinya dalam satu kereta menghadiri program PAS di Markaz Tarbiyah, Taman Melewar.

Di hadapan pandangan kami kedua-dua isterinya itu elok duduk bersama di tengah-tengah Muslimat PAS yang ramai itu, tidak pula mereka menunjukkan sifat konfrantasi dengan madunya.

Bukan sekali dia membawa isterinya dalam program PAS, bahkan selalu dan kedua-dua madu itu bergerak seperti orang biasa dalam PAS.

Maka saya hormat ustaz itu betullah seperti yang pernah dikatakannya bahawa ramai tok guru berjaya kawal isteri yang ramai tetapi banyak pemimin sekular nak jaga seorang isteri pun tidak berdaya.

Semasa saya bujang dulu ada seorang tok guru di daerah saya di Manjung. Tok guru itu sudah berusia lebih 60an, dia sudah beristeri lebih dari satu, tetapi dia beriteri lagi dengan seorang  anak dara lewat usia belum kahwin.

Semua isterinya diberi rumah masing-masing dalam satu kawasan di sekeliling suraunya. Dia dipercaya membuat giliran adil antara rumah-rumahnya. Dia adalah tok guru kampung mengajar di surau dan masjid di daerah itu.

Tidak pula dia kaya. Semua isterinya hidup sederhana. Dia hanya ada sebuah basikal buruk saja. Bila ada kenduri di kampungnya, kesemua isterinya datang bersama berjalan kaki.

Saya pernah hadir kahwin adik bungsu Tun Razak di Pekan semasa beliau Timbalan Perdana Menteri dulu. Tetamunya ialah Al-Marhum Sultan Pahang. Baginda juga macam tok guru di daerah saya tidak berpermaisuri empat.

Setelah semua tetamu kehormat datang, tiba sebuah motokar besar membawa permaisuri baginda yang paling junior — yang ke empat. Lepas itu tiba sebuah motokar lagi. Yang ke empat barulah Raja Perempuan. Yang terakhir tibalah al-Marhum Sultan seorang diri.

Keempat-empat permaisuri itu duduk setempat di majlis itu, ke semuanya boleh senyum dan riang. Tentulah baginda juga berjaya mengaman sekalian permaisurinya seperti kebanyakan tok-tok guru.

Rahsia tok-tok guru itu berjaya mengamankan isterinya ialah mereka telus dan adil. Tok guru yang keluar rumah untuk menjalankan tugasnya, di tengah jalan didapatinya dompennya tertinggal, dia balik ke rumah itu setakat tepi tangga saja. Dia tidak naik ke rumah itu kerana hari itu giliran di rumah lain. Dia minta orang dalam rumah itu mengambil dompetnya yang tertinggal dan menyerahkan kepada di tepi tangga.

Kalau tok guru itu orang kuat PAS, dia menggilirkan isterinya menghadiri  muktamar PAS bersamanya. Muktamar tahun hadapan, isteri yang lain pula yang mengkutnya.

Tok Guru Nik Aziz, Mursyidul Am PAS pula tidak beristeri lebih. Jodohnya ditakdirkan begitu. Tetapi beliau tidak melarang orang-orang yang rapat dengannya untuk beristeri lebih dari satu. Jika ada yang memaklumkan kepadanya mereka hendak beristeri lagi, maka beliau beri duit pula. Didoakannya supaya perkahwinan lagi itu kekal dan bahagia.

Beliau tidak suruh dan tidak pula larang, kerana kahwin lagi itu dibenarkan oleh Islam bagi mereka yang berupaya dan ada hikmatnya, maka tidak wajar dihalang.

Di tengah-tengah masyarakat kita masih panas berhadapan dengan hasil PRU13 yang penuh kontroversi Ustaz Azhar Idrus kahwin pula untuk kali ketiga. Beritanya menggemparkan juga dan boleh meredakan sedikit perhatian tentang  pililhanraya yang dikatakan penuh penipuan itu.

Ia adalah berita gempar juga. Ia adalah satu ibadat baginya dan moga-moga diterima sebagai amal soleh. Dia mendapat pahala, orang-orang yang menyambut baik dan mendoakan kebahagiannya juga mendapat pahala juga.

Sekalian yang menyerbunya di mana-mana juga beliau memberi kuliah mendapat pahala dan apabila menymbut baik pula perkahwinan barunya mereka mendapat pahala lagi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Comments