Opinion

Ada apa dengan Melayu masuk DAP?

Amin Iskandar

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

30 MAC — Sebelum tercetusnya gerakan Reformasi pada tahun 1998, DAP itu adalah “taboo” bagi orang-orang Melayu.

DAP sendiri pada ketika itu tidak pernah terfikir bahawa bendera mereka akan tergantung dikawasan Melayu seperti di Kampung Baru.

Itulah ironinya gerakan Reformasi. Selain menyatukan parti-parti pembangkang di Malaysia, ianya turut mencetuskan budaya politik baru.

Selain Hata Wahari, Aspan Alias dan Datuk Ariff Sabri, diberitakan terdapat juga beberapa orang graduan UiTM menyertai DAP.

Orang Melayu menyertai DAP bukan perkara baru. Bekas pemimpin buruh, arwah Ahmad Nor pernah menjadi ahli parlimen DAP untuk kerusi Bayan Baru selepas menang dalam pilihan raya umum tahun 1990.

Mohamad Sabu berkata DAP mempunyai masa depan cerah.Mohamad Sabu berkata DAP mempunyai masa depan cerah.Tsunami politik pada PRU 12 tahun 2008 memberikan semangat baru kepada DAP. Parti yang dilabelkan sebagai parti “Chauvinis Cina” itu kini menerima penyertaan ahli daripada kaum Melayu dan India.

Untuk mengetahui apa pandangan pemimpin DAP mengenai penyertaan kaum Melayu menyertai parti tersebut, penulis membuat temujanji dengan seorang sahabat lama yang kini adalah pemimpin kanan pemuda DAPSY.

Isyarat baik

ADUN Teratai Jenice Lee sempat meluangkan masa bagi memberikan pandangan. Menurut Jenice, penyertaan orang-orang Melayu kedalam DAP adalah satu isyarat yang baik bagi masa depan parti tersebut.

“Generasi muda Melayu lebih bersifat Malaysia”.

“Mungkin juga kerana DAP berbeza berbanding parti-parti politik lain dalam Pakatan Rakyat. DAP jelas adalah sebuah parti sekular. Selain itu, polisi DAP bersifat Malaysia”, kata Jenice.

Urustadbir yang baik di Pulau Pinang oleh Lim Guan Eng menjadi salah satu faktor yang menarik minat orang-orang Melayu terhadap DAP.

Selepas Tsunami 2008, DAP sendiri telah memulakan program penerangan terhadap orang-orang Melayu mengenai parti tersebut.

“Setelah menjadi kerajaan di Pulau Pinang dan sebahagian daripada kerajaan di Selangor, ia memudahkan lagi penerimaan orang-orang Melayu terhadap DAP”, kata Jenice lagi.

Timbalan Ketua DAPSY itu juga yakin pada masa akan datang, DAP akan menjadi sebuah parti yang benar-benar mewakili rakyat Malaysia.

Talkin buat MCA, Gerakan

Sokongan kuat masyarakat Cina terhadap DAP membimbangkan MCA dan Gerakan. Tidak mustahil, kedua-dua parti tersebut akan menemui ajal mereka dalam PRU 13.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sendiri belum tentu selamat dalam PRU akan datang.

Tidak mustahil Dr Chua juga bakal digulingkan dari MCA selepas PRU 13.

Begitu juga dengan Koh Tsu Koon. Di manakah kerusi selamat bagi beliau?

Hanya ada satu jalan. Umno memberikan kedua-dua Chua dan Koh untuk bertanding dikawasan parlimen yang mempunyai 80 peratus pengundi Melayu.

Mahukah Umno mengorbankan kerusi mereka? Dalam keadaan kritikal sebegini, tidak mungkin ada yang sanggup mengorbankan hak masing-masing.

PRU 13 sudah pasti akan memberikan satu lagi senario politik baru di Malaysia. Negeri seperti Perak sudah pasti akan menjadi tumpuan.

Jika selepas PRU 12, kerusi menteri besar Perak terpaksa diberi kepada PAS oleh kerana undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak mensyaratkan hanya orang Melayu Islam yang boleh memegang jawatan menteri besar, selepas PRU 13, senario sudah pasti menjadi berbeza.

Tidak mustahil selepas PRU 13, ADUN Melayu dari DAP yang akan mengangkat sumpah sebegai menteri besar Perak ke 12.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, DAP mempunyai masa depan cerah.

Jika model kepimpinan Guan Eng di Pulau Pinang berterusan dan integriti terus diperjuangkan DAP, tidak mustahil lebih ramai lagi anak-anak muda Melayu menyertai parti tersebut.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments