Opinion

Apakah Abdul Kadir Sheikh Fadzir bakal dipecat dari Umno?

13 FEB — Tiba-tiba nama bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kembali dalam persada politik negara.

Veteran Umno itu pada mulanya menyertai Angkatan Amanah Rakyat (Amanah) sebagai timbalan presiden.

Amanah adalah sebuah NGO yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada 9 Januari 2012, Kadir dilihat bersama-sama mengiringi ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah.

Beberapa hari selepas itu, beliau turut hadir di majlis kesyukuran sempena pembebasan Anwar di Bukit Segambut.

Kadir kemudiannya menggemparkan negara apabila mendedahkan bagaimana partinya, Umno menggunakan wang bagi membeli undi untuk memenangi pilihan raya umum.

Kemudian Kadir turut menghebahkan bagaimana politik wang menjadi kunci utama untuk pemimpin Umno terus berkuasa dalam parti.

Tindakan Kadir tidak disenangi Umno

Sudah pasti Umno tidak senang dengan tindakan veteran parti itu.

Tindakan dan kenyataan Kadir sudah pastinya tidak menguntungkan Umno pada ketika pilihan raya umum yang semakin hampir.

Kenyataan-kenyataan yang Kadir keluarkan semenjak dua menjak ini lebih keras dan berani berbanding dengan presiden Amanah, Ku Li.

Walaupun Ku Li telah beberapa kali telah secara terbuka melakukan tindakan yang bertentang dengan Umno secara terbuka — menyokong kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS dalam menuntut royalti minyak, ianya tidaklah sekeras pendedahan yang dilakukan oleh bekas menteri pelancongan itu.

Apatah lagi Kadir dengan secara terbuka menyokong musuh ketat Umno iaitu Anwar Ibrahim.

Bekas menteri pelancongan itu berkata beliau akan menyerahkan segala rakaman ucapan dan temuramahnya bersama media online kepada Jawatankuasa Disiplin Umno dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan pada minggu hadapan.

Duri dalam daging

Apa yang dilalui oleh Umno pada ketika ini samalah seperti pada ketika PAS berhadapan dengan Datuk Dr Hasan Ali sebelum dipecat baru-baru ini.

Mungkin ini juga yang merunsingkan Umno pada ketika ini. Apatah lagi Kadir adalah veteran Umno, bekas menteri dan mempunyai pengaruh.

Jika keputusan diambil untuk memecat Kadir, mampukah Umno berhadapan dengan roadshow bekas menteri pelancongan itu diseluruh negara?

Ceramah Pakatan Rakyat (PR) diseluruh negara sudah cukup memeningkan Umno walaupun masih belum mampu menggugat kubu-kubu kuat Umno di kawasan pendalaman.

Akan tetapi senario akan menjadi berbeza jika Kadir masuk ke kubu-kubu kuat Umno.

Sudah pasti ramai penyokong parti Melayu itu akan hadir untuk mendengar penjelasan Kadir.

Suka tak suka, Jawatankuasa Disiplin Umno perlu membuat keputusan berhubung dengan Kadir tidak lama lagi. Jika tidak mengambil tindakan, dikhuatiri akan menunjukkan contoh yang tidak baik kepada ahli-ahli lain.

Menurut Kadir, sewaktu beliau menjadi Exco Pemuda Umno dibawah pimpinan Datuk Harun Idris, walaupun lantang mengkritik Umno, beliau tetap diberikan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Kata Kadir lagi, apa yang beliau lakukan bukanlah bertujuan untuk menghancurkan Umno tetapi untuk memperbaiki parti Melayu terbesar itu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments