Opinion

Dari Sasterawan Negara ke Sasterawan Rakyat

September 08, 2013
Latest Update: September 08, 2013 09:19 am

Amin Iskandar

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

Dahulu beliau merupakan salah seorang Sasterawan Negara yang seringkali diundang untuk membacakan puisi di majlis besar. Yang hadir kebanyakannya dari golongan pembesar-pembesar negara seperti perdana menteri dan anggota Kabinetnya.

Rambut dan janggutnya yang panjang dan berwarna putih menyebabkan beliau mudah dikenali dan nampak berbeza dari sasterawan-sasterawan lain yang kebiasaannya agak membosankan.

Hari ini Datuk A. Samad Said merupakan musuh nombor satu negara.

Mengapa?

Bukan kerana beliau cuba memusnahkan dunia kesusasteraan Melayu akan tetapi kerana keberanian menyatakan pendirian politik yang bercanggah daripada kerajaan.

Umum mengetahui keberanian beliau adalah kerana membenarkan dirinya dipilih menjadi pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bersama Datuk Ambiga Sreenevasan.

Bersih sudah tiga kali menganjurkan perhimpunan besar-besaran di ibu negara bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil.

Terbaru dalam insiden sambutan malam ambang Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, apabila sekumpulan anak-anak muda mengibarkan bendera Sang Saka Malaya ketika Samad sedang membacakan puisi.

Beliau yang dikenali sebagai Pak Samad itu diserang dari pelbagai penjuru akibat daripada insiden itu.

Dari Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hinggalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semuanya menyelar Pak Samad.

Seolah-olah Pak Samad itu langsung tidak pernah mempunyai jasa kepada negara.

Beliau yang berumur 78 tahun ditahan polis di rumahnya lebih kurang jam 12.30 pagi 4 September lalu dan disoalsiasat selama dua jam sebelum dibebaskan.

Penahanan Pak Samad pada awal pagi menimbulkan kemarahan ramai, dan ini termasuk “masyarakat” media sosial.

Kutukan dan kritikan orang ramai terhadap pihak berkuasa kerana tindakan tidak menghormati warga emas seperti Pak Samad menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar terpaksa mengeluarkan kenyataan tidak cerdik seperti Sasterawan Negara itu “bersembunyi” dan “menyorok” sehingga polis tidak dapat berjumpanya.

Pak Samad amat mudah untuk ditemui. Selain dari Masjid Negara tempat beliau seringkali menunaikan solat Asar dan Maghrib, susuk itu boleh kelihatan di kedai-kedai buku terkemuka di Kuala Lumpur yang sudah pasti diketahui oleh Jabatan Cawangan Khas, Bukit Aman.

Sebenarnya, yang cuba dilakukan terhadap Pak Samad adalah satu bentuk “harassment” atau gangguan agar ikon kepada anak-anak muda itu berhenti untuk terus menyuarakan pandangan politiknya.

Dikhuatiri semakin ramai yang akan terpengaruh dengan Pak Samad.

Dalam kenyataannya kepada media, Pak Samad tidak keberatan sekiranya anugerah Sasterawan Negara yang beliau terima pada tahun 1985 itu ditarik balik kerajaan.

Malahan menurutnya, jika mahu melucutkan kewarganegaraannya juga tidak mengapa.

Jelas tergambar kekecewaan Pak Samad terhadap bagaimana beliau dilayan.

Jika tidak hormat beliau sebagai Sasterawan Negara sekalipun, sekurang-kurangnya ingatlah, Pak Samad merupakan orang tua.

Biarpun beliau mempunyai pandangan politik berbeza dengan kerajaan, layakkah dirinya dilayan sebegitu rupa?

Sewaktu menetap di Filipina dahulu, penulis sempat menemubual seorang watak ala Pak Samad untuk melengkapkan kajian penulis mengenai revolusi kebangkitan rakyat menumbangkan Ferdinand Marcos pada tahun 1986.

Bienvenido Lumbera merupakan National Artist of the Philippines dan penerima anugerah Ramon Magsaysay untuk kewartawanan, kesusasteraan dan komunikasi kreatif.

Lumbera ditahan oleh tentera Filipina di bawah undang-undang darurat pada bulan Januari, 1974 semasa pemerintahan Marcos kerana bersama rakan-rakan penulisnya mengeluarkan penerbitan yang menentang tindakan bekas presiden itu mengisytiharkan darurat.

Lumbera dibebaskan pada Disember tahun sama selepas bekas anak muridnya di universiti Ateneo De Manila menulis surat kepada Jeneral Fidel Ramos.

Selepas pembebasannya pada tahun 1975, Lumbera menerima anugerah Palanca Award for Literature, salah satu anugerah kesusasteraan berprestij di Filipina.

Beliau menerima pelbagai anugerah lain untuk pengelibatannya dalam bidang kesusasteraan sehinggalah menerima anugerah tertinggi negara itu National Artist of the Philippines pada tahun 2006.

Sekejam-kejam Marcos, beliau tidak menghalang Palanca Award for Literature untuk memberikan anugerah kepada Lumbera pada tahun 1975 walaupun sebelum itu pada tahun 1974 beliau menahannya.

Perlu diingat Lumbera itu politiknya kiri dan radikal.

Berbalik kepada Pak Samad di Malaysia. Walaupun beliau kini berhadapan dengan ancaman untuk ditarik kembali anugerah yang beliau perolehi di atas jasa terhadap dunia kesusasteraan Melayu, Sasterawan Negara itu kini mendapat anugerah lebih besar.

Beliau kini diangkat sebagai Sasterawan Rakyat.

Apalah ertinya negara sekiranya tidak mempunyai rakyat? – 8 September, 2013.