Opinion

Di mana Najib Razak?

February 09, 2014

Amin Iskandar

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

Di manakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika Malaysia memerlukan kepimpinannya?

Ketika provokasi demi provokasi yang mungkin akan memusnahkan keharmonian kaum dan agama, Najib tidak berbuat apa-apa untuk menghentikannya.

Lebih memburukkan keadaan apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semalam, tawaran RM1,200 daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjaya menampar Teresa Kok tidak dianggap sebagai satu ancaman.

Ahmad Zahid juga berkata, polis hanya akan bertindak sekiranya NGO tersebut mahu membunuh.

Jika di negara maju, menteri kanan yang 'pintar' seperti Ahmad Zah‎id sudah pasti akan dipecat kerana kenyataannya akan dianggap mewakili kerajaan.

Akan tetapi di Malaysia berbeza, seseorang menteri boleh berbuat dan berkata apa sahaja‎.

Apakah Najib akan membiarkan kenyataan Ahmad Zahid mewakili pendirian kerajaan Malaysia?

Bayangkanlah bagaimana rakyat mahu merasa selamat apabila seorang menteri kanan boleh mengatakan sesuatu galakan  jenayah secara terbuka seperti ditawarkan NGO Islam itu bukanlah sesuatu yang dianggap sebagai ancaman.

‎Jadi selepas ini jika terdapat tawaran berbentuk ganjaran wang daripada pihak pembangkang kepada seluruh rakyat yang berjaya menampar Ahmad Zahid, apakah jawapan sama akan diberikannya?

Najib harus bertindak segera sebelum terlambat.

Beliau juga harus ingat, ayahnya, Tun Abdul Razak Hussein, dihormati kebanyakan rakyat Malaysia.

Jangan sampai beliau jadi pemusnah kepada legasi Abdul Razak.

‎Bagaimana pula dengan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama?

Apakah Najib mahu melihat ia turut musnah?

‎Isu pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sudah menyebabkan Malaysia ditertawakan di persada antarabangsa.

‎Selepas ini, kita akan ditertawakan lagi dengan jawapan menteri kanan seperti Ahmad Zahid ketika ditanya tentang jenayah.

Jangan sampai tragedi berdarah antara kaum tidak diingini seperti pernah ‎berlaku satu ketika dahulu berulang semata-mata kerana Malaysia mempunyai perdana menteri yang tidak memimpin.

Provokasi perkauman seperti yang berlaku pada Khamis, jika tidak dihentikan akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

Jika Najib sudah penat dan tidak lagi larat lagi untuk memimpin negara, lepaskanlah jawatan tersebut.

Beri peluang kepada yang benar-benar mampu untuk memimpin.

Setidak-tidaknya, bubarkanlah Parlimen untuk membenarkan rakyat Malaysia berpeluang memilih semula setelah negara tidak kemana selepas sembilan bulan  sejak Pilihan Raya Umum ke 13. – 9 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.