13 NOV — “Amanah” merupakan satu terma yang cukup besar pengertiannya.
Ia cukup besar kerana bukan sahaja ia melibatkan aspek kepercayaan seseorang terhadap sesuatu pihak lain bahkan juga menonjolkan integriti mereka.
Di sinilah, keikhlasan serta kejujuran seseorang akan teruji. Mahu tidak mahu, segala pergerakan, tutur kata malah niat seseorang akan menjadi perhatian umum.
Apa yang pasti, menggalas amanah tidaklah semudah menggalas tugasan biasa yang diberikan oleh pihak atasan semata-mata. Sebaliknya ia lebih daripada itu dan menuntut iltizam, keberanian dan ketuntasan seseorang untuk melakukannya.
Tanpa sifat-sifat amanah dalam diri, tidak mustahil dunia seantero akan porak-peranda jadinya. Lebih buruk lagi, nilai-nilai murni yang dilaung-laungkan selama ini seperti kejujuran, integriti dan ketelusan akan memberi laluan kepada kemungkaran.
Kehidupan seharian rakyat akhirnya akan ditentukan oleh paksi kejahatan dan kegelapan dan kesudahannya, masyarakat semakin hilang arah dan punca!
Terma “Amanah” yang dimaksudkan di sini merujuk kepada kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu yang menggelarkan diri mereka sebagai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).
Apabila kedengaran sebuah NGO yang diberi nama Amanah akan diwujudkan, sentimen serta penerimaan rakyat secara keseluruhannya, rata-ratanya positif dan memberangsangkan.
Sentimen sedemikian sudah dijangka kerana kelazimannya, kewujudan benda-benda baru dianggap sebagai satu permulaan yang lebih baik dan gemilang. Bagi mereka, kelahiran Amanah ibarat satu “udara segar” dalam perkembangan semasa negara.
Apa tidaknya, gelagat dan perbuatan parti-parti politik baik daripada pihak pemerintah mahupun pembangkang yang lebih cenderung untuk bertikam lidah mengenai isu-isu remeh menjadikan NGO kini sebagai pilihan rakyat.
Parti-parti politik kini seolah-olah sudah hilang relevannya di mata rakyat dan bagi rakyat, politiking yang keterlaluan oleh parti-parti politik dan pemimpin mereka merupakan sesuatu yang cukup membinasakan negara. Bagi segelintir rakyat, masanya sudah tiba untuk beralih haluan.
Maka kerana itu, trend yang kita dapat lihat dalam sokongan masyarakat Melayu umpamanya kepada kemunculan NGO baru seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dua tiga tahun kebelakangan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebaliknya, ia mengukuhkan apa yang dikatakan tadi.
Walaupun Perkasa baharu sahaja ditubuhkan kira-kira tiga tahun lalu, dilihat pengaruh dan lingkungan pengaruhnya semakin meluas. Di pihak masyarakat Tionghua pula, komunitinya lebih percayakan kepada pertubuhan pedagang dan media-media berbanding dengan parti politik seperti MCA.
Dari jauh, matlamat utama penubuhan Amanah iaitu menghidupkan kembali semangat nasionalisme dan legasi Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman; mengulangi, menyemai dan menghidupkan kembali semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia serta perpaduan kaum — nampaknya cukup praktikal.
Jelas, ia adalah visi yang realistik, tidak keterlaluan dan boleh dicapai itupun sekiranya semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama bersedia untuk menyahut cabaran berkenaan.
Akan tetapi, selepas mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh Presidennya, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Amanah berkemungkinan akan menjadi sebuah parti politik tertakluk kepada kehendak rakyat, ia mengundang pelbagai pertanyaan, pertanyaan yang bermain-main dalam kepala rakyat .
Apakah Amanah merupakan satu lagi NGO biasa dan mempunyai cita-cita politik seperti NGO lain? Dan mampukah Amanah menempatkan dirinya sebagai salah sebuah parti politik yang berpengaruh yang boleh menjadi kuasa ketiga dalam mengimbangkan pengaruh Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat?
Dalam iklim politik negara mutakhir ini, kelahiran begitu banyak parti politik baharu seperti Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) boleh dinilai dari dua sudut, satu yang positif dan satu lagi negatif.
Dari sudut positifnya, sudah tentu kemunculan begitu banyak parti politik mencerminkan kesuburan demokrasi di Malaysia tetapi bercambahnya parti-parti politik baharu yang terlalu banyak akan menyukarkan parti-parti politik baharu lain untuk meraih lingkungan pengaruh yang konkrit. Kalau dapat pun, sokongan tersebut mungkin berpecah-pecah dan tidak sekata.
Berpandukan kepada hakikat itu, mahu tidak mahu Amanah kini perlu bersaing dengan parti-parti politik lain yang mungkin jauh lebih kuat dan lebih kukuh kewangannya seperti Umno, MCA dan MIC. Bukan itu sahaja, Amanah juga perlu berhadapan dengan tiga parti politik gergasi yang datang dengan reputasi dan rekod pencapaiannya tersendiri.
Dalam konteks ini, kemampuan Amanah masih belum teruji. Hala tuju perjuangan mereka baharu sahaja diumumkan sementara rekod pencapaiannya pula tiada kerana ia hanya ditubuhkan beberapa bulan lalu. Sudah semestinya, untuk menilai keberkesanan hala tuju perjuangan itu, ia akan memakan masa.
Apapun, satu kelebihan yang ada pada Amanah adalah ia diterajui oleh sekumpulan pemimpin politik berpengalaman dan bekas-bekas menteri Kabinet dan wakil rakyat terdiri daripada kepelbagaian latarbelakang.
Dari segi trend penerimaan rakyat terhadap parti-parti politik pula, jelas rakyat Malaysia ketika ini lebih selesa dengan perjuangan NGO. Menurut mereka, sekurang-kurangnya perjuangan berpaksikan kepada NGO jauh lebih bebas dan tidak terikat dengan konvensyen politik yang adakalanya tidak menguntungkan sesebuah parti politik.
Sebaliknya, keterikatan dengan konvensyen politik inilah yang akan menyebabkan parti-parti politik terpaksa akur dengan sensitiviti semasa dan beralah. Amanah perlu menonjolkan dirinya sebagai sebuah parti politik (jika memutuskan untuk berbuat demikian) yang mampu memberikan kelainan daripada parti-parti politik sebelumnya. Rakyat mahukan kelainan dari segi takuk minda kepimpinan yang berwawasan, visi perjuangan yang terbuka dan boleh menyatupadukan semua pihak.
Kini, terpulang kepada Amanah bagaimana mereka merencanakan perjuangan mereka secara bijak. Kemampuan Amanah untuk menonjolkan kepimpinan matang, pragmatik, bersih selain tampil dengan dasar perjuangan yang mampu memenuhi citarasa rakyat Malaysia akan menjadi penentu kepada kelangsungan badan berkenaan.
Amanah mempunyai peluang untuk melakar sejarah dalam persada politik negara. Itupun jika mereka mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada parti-parti politik terdahulu.
Jangan sekadar syok sendiri untuk menjadi sebuah parti politik hanya kerana permintaan daripada beberapa pemimpin politik tertentu mahupun kerana kewujudan parti-parti politik baru yang lain.
Dalam memperjuangkan hal-ehwal rakyat, tidak semestinya ia dilakukan dalam pentas politik. Kesilapan membuat percaturan dalam isu ini boleh memakan diri sendiri.
* Segala pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi penulis.








