7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Opinion

Nathaniel Tan believes this world is full of people, he was born to love them all. He blogs at www.jelas.info and tweets @NatAsasi

Apakah rakyat bencikan polis?

May 13, 2010

13 MEI — Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara kebelakangan ini kerap menegur rakyat kerana kononnya mengapi-apikan perasan benci yang tidak wajar terhadap polis.

Saya rasa tuduhan sebegini tidak berasas dan bersifat terlalu defensif.

Walaupun ada beberapa kes yang telah meningkatkan tanggapan bahawa beberapa aspek Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus diubah, ini tidak boleh disamakan dengan perasaan benci yang melulu.

Cukup menghairankan apabila para pemimpin kita sering terlupa satu fakta: rakyat tidak bodoh.

Rakyat cukup matang dan cerdik, dan mampu membezakan di antara polis baik dan polis jahat. Tiada mana-mana bidang kerja atau institusi di mana semua ahlinya bersifat baik atau jahat — setiapnya, seperti manusia secara amnya, merangkumi satu spektrum moral yang luas.

Hasrat rakyat untuk menambahbaik prestasi PDRM mengambil kira kebaikan semua pihak, khususnya pihak polis sendiri.

Walaupun ramai hanya mengetahui satu saranan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, iaitu penubuhan IPCMC, sebenarnya terdapat banyak saranan lain yang diketengahkan untuk mempertingkatkan kebajikan pihak polis, termasuklah dari segi gaji, perumahan, pencen, dan sebagainya.

Rakyat menyedari bahawa pasukan polis terdiri daripada insan yang kebanyakannya berkhidmat tanpa mengenal lelah dan sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan keselamatan rakyat jelata.

Secara amnya, kerajaan sebenarnya gagal menyediakan prasarana dan sokongan kewangan yang mencukupi bagi pasukan polis yang menyumbangkan jasa tertinggi kepada negara.

Hal ini diceritakan kepada saya oleh beberapa anggota polis sendiri apabila saya ditahan untuk beberapa hari pada tahun 2007. Saya masih mengingati akan sifat baik hati beberapa anggota polis (walaupun bukan semua) yang ditugaskan untuk menjaga saya sewaktu saya ditahan reman.

Kami berpeluang berbual tentang masalah yang dihadapi oleh polis — terutamanya yang berpangkat rendah — serta membincangkan beberapa isu semasa.

Sepanjang 3 tahun yang lepas, saya bertuah kerana dapat bertemu lagi dengan anggota-anggota polis tersebut di luar tempat kerja, di mana kami sempat berbual mesra seperti kawan lama.

Saya rasa bukan saya sendiri yang mempunyai pengalaman sebegini. Ramai di antara kita yang pernah berinteraksi secara amat positif dengan pihak polis, atau telah menerima pertolongan yang cukup bermakna dari pegawai polis.

Hakikat ini harus diiktiraf sepenuhnya oleh semua.

Pada masa yang sama, kita tidak boleh menafikan sahaja bahawa ada antara kita yang pernah mengalami peristiwa yang amat dikesali berkaitan dengan polis.

Bukan sahaja adik Aminulrasyid Amzah sahaja, tetapi Norizan Saleh dan Siti Nusrinda Sumirin yang telah ditembak tanpa sebab oleh pihak polis. Norizan ditembak lima kali dan diheret keluar untuk dibelasah lagi, selepas keretanya dihentikan.

Natijah kes-kes seperti A. Kugan dan Francis Udayapan, kewibawaan polis kadang-kala dipertikaikan juga.

Dari segi pengalaman hari ke hari, kita terpaksa mengakui bahawa ramai di antara kita telah berada di situasi dengan polis di mana rasuah diminta atau seolah-olah dijangka.

Kehendak kita untuk menamatkan kegiatan-kegiatan buruk ini tidak berasal dari rasa benci atau dibuat tanpa mengenang jasa polis yang baik, seperti yang digambarkan oleh Menteri Dalam Negeri yang suka memperlekehkan rakyat, atau Ketua Polis Negara yang sering merajuk seperti budak kecil (contohnya mengancam untuk menarik balik polis dari jalan raya kerana rakyat membantah penembakkan Aminulrasyid).

Kehendak kita adalah untuk menzahirkan sebuah institusi yang integritinya langsung tidak perlu dipertikaikan kerana memang sebarang rasuah atau ketidakadilan dihukum dengan segera — sebuah institusi yang 100 peratus bersih dari segala unsur-unsur jahat dan tidak bertanggungjawab.

Tercapai atau tidak matlamat ini, adalah peranan kita semua — polis dan rakyat — untuk berusaha terhadap sasaran ini.

Apabila rakyat benar bersalah, biarlah rakyat ditegur atau ditangkap dan dibicarakan di bawah undang-undang yang adil. Dari sudut yang sama, sekiranya mana-mana polis gagal menyempurnakan tugasnya dengan bersih dan berwibawa, PDRM harus menerima teguran rakyat dengan berbuka hati.

Kita tidak menegur antara satu sama lain kerana kurang hormat atau perasaan benci, tetapi berasaskan kasih yang wujud antara ahli-ahli sekeluarga.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.