3 FEB — Minggu yang baru sudah negara kita terutama yang mendiami secara fizikal wilayah Lembah Klang dihidangkan dengan pelbagai program yang telah lama dirancang oleh para penganjurnya, baik acara arus perdana berskala besar mahupun alternatif yang berskala kecil dan sederhana. Pastinya pilihan yang dihidangkan menggiurkan banyak di kalangan kita.
Untuk lebih terperinci, warga Lembah Klang yang mencakupi Kuala Lumpur dan sekitarnya dipancing hebat dua gergasi media iaitu Media Prima melalui stesen TV3 untuk menonton pertandingan Anugerah Juara Lagu ke 26 (AJL26) baik secara fizikal di Bukit Jalil mahupun di depan televisyen atau secara maya dan Kumpulan Karangkraf dengan Festival Karangkraf 2012 di markas mereka di Shah Alam.
Tidak ketinggalan media alternatif, TV Selangor yang bertindak sebagai media kerajaan negeri di Selangor turut memancing penonton untuk menonton secara langsung “Kuliah Maghrib Khas Bersama Ustaz Azhar Idrus” yang dilangsungkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, juga di Shah Alam dan pastinya pilihan ini ditujukan kepada mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal. Secara umum, ketiga-tiga acara ini saya labelkan sebagai acara yang bersifat arus perdana.
Manakala acara yang bersifat alternatif atau fringe turut hangat dengan pelbagai program seperti Pekan Frinjan dan AKAR MiniMALIS di Shah Alam, Maskara Showcase di Rumah Pena, KL, Killeur Calculateur/Orbitcinta Benjamin: CD Release Party di Grafa, Subang Jaya, Second Combat Album Release Party di Annexe Gallery, KL dan Projek Rabak dengan Pesta Rabak n' Rolla! nun di Ipoh. Ini semua tidak termasuk acara-acara yang di luar lingkungan yang barangkali tidak diketahui kerana kekurangan maklumat dan tidak sampai hebahannya.
Apa signifikan semua ini? Menurut saya keragaman program yang berlangsung sekarang wajib dirayakan kerana sememangnya sejak dari kecil lagi saya telah dididik dan mendidikkan diri untuk mengunjungi acara-acara yang berlainan latar belakang, baik itu program keagamaan, politik, diskusi ilmu, sukan, seni, mahupun sesi permainan video. Itu yang pertama.
Signifikan pertama itu berbalik kepada pertanyaan yang sering saya lontarkan tatkala berbual bersama kawan-kawan tentang penyertaan masyarakat kita yang rendah di dalam program-program yang dianjurkan oleh sesiapa pun. Jika ramai sekalipun itu hanya pada program-program tertentu dan kadangkala tidak konsisten seperti contoh sukan bola sepak dan perkara yang sama tidak berlaku kepada sukan-sukan lain seperti bola keranjang, ping pong, tenis, skuasy dan badminton. Maksud saya tentang ramai adalah bukan sekadar di perlawanan akhir ataupun satu program yang berlangsung sekali dan kemudian muncul entah bila.
Meskipun begitu sejak kewujudan media sosial, tren penyertaan ke program-program telah meningkat naik walaupun belum cukup merata dan konsisten dan untuk itu saya berterima kasih kepada Facebook dan Twitter terutamanya. Malah program Pekan Frinjan yang saya gerakkan bersama kawan-kawan sangat bergantung sepenuhnya kepada media sosial bagi aspek promosi dan publisiti.
Maka oleh sebab itu penyertaan dalam sesuatu program adalah hal terpenting sebelum kita berbicara soal-soal yang lebih sulit.
Signifikan kedua adalah tentang kegemaran masyarakat kita termasuk anak-anak muda yang suka menolak sebelum menerima atau dalam erti kata lain memilih untuk tidak ambil tahu. Saya ambil satu contoh, segelintir kelompok sukakan seni sangat pantang apabila seni dicampur adukkan dengan politik walaupun “politik” yang dimasukkan itu adalah politik nilai yang bersifat sejagat dan melangkaui politik kepartian iaitu tentang hak asasi manusia, menolak perkauman, kebebasan berekspresi dan sebagainya.
Ya semestinya persoalan ini tidak semudah benar dan salah kerana faktanya hal ini telah lama diperdebatkan dan setiap dari kita berhak mempunyai pendirian masing-masing. Namun adalah sangat mengecewakan seandainya penolakan itu bukan atas dasar kefahaman sebaliknya kerana sifat malas mengaji ilmu tentang apa itu politik sebenarnya dan lebih parah kerana marahnya mereka dengan parti politik dan ahli politik yang menurut mereka sentiasa memaki hamun dan bermain politik kotor. Lucunya, mereka berfikir dengan menolak politik mereka tidak berpolitik.
Hakikat bahawa wacana politik yang cerah, rasional dan positif turut berlaku di Malaysia dengan pelbagai forum dan diskusi terbuka yang dianjurkan pelbagai kumpulan yang independen seperti Occupy Dataran, Institut Kajian Dasar, Free Public Forum, SIRD dan banyak lagi tidak pernah diambil sebagai pertimbangan. Kelompok menolak politik ini secara sengaja memilih untuk duduk di bawah kepompong, barangkali kerana takut kesucian mereka diragut oleh politik yang maha jahat.
Kemalasan untuk mengaji, memahami, berdikusi dan berani berbeza pendapat serta sikap cenderung menganggap semuanya harus baik dan sempurna tanpa cacat persis karakter mereka yang mendambakan soalan bocor tatkala menghadapai peperiksaan. Mereka mahukan sesuatu yang pasti sedangkan hakikat kehidupan kita adalah ketidakpastian.
Seorang punkers, Juliana Evans, Nicol David, Leong Mun Yee, Chef Wan, Xandria Ooi, Joey Yap, Dum Dum Tak, Ustaz Azhar Idrus, Karpal Singh dan setiap kita semuanya tidak akan pernah hidup di dalam satu kepompong sahaja dan itulah hakikat.
Signifikan ketiga sangat meresahkan di mana program yang dibuat dianggap wahana terbaik untuk melabelkan manusia seperti yang terjadi di dalam polemik “Kuliah Ustaz Azhar Idrus (UAI) lawan AJL 26” yang berlangsung pada masa dan hari yang sama. Segelintir manusia Melayu Islam Malaysia yang memilih ke kuliah UAI dengan bangganya mendabik pahala dengan menghamburkan kata-kata berbentuk sindiran kepada mereka yang memilih menonton AJL 26.
Polemik ini menurut saya sangat memalukan bangsa Melayu Islam Malaysia kerana secara terang-terangan memperlihatkan bagaimana lekehnya pemikiran bangsa ini. Jika dengan menghadiri kuliah agama membawa kita mudah ke syurga dan sebaliknya pula jika ke AJL 26, mengapa tidak kita haramkan saja hiburan yang bertentangan dengan 'Islam' di negara ini?
Namun kontradiksi yang terjadi di masyarakat kita bukanlah perkara baru, sebagai contoh wanita Melayu Islam Malaysia dengan selamba melakukan hubungan seks sebelum nikah dengan teman lelaki mereka atas nama cinta dan kadangkala kerana terpaksa rela tetapi di dalam hal lain sangat konservatif terutama isu meminum arak, memakan babi, hubungan sejenis dan demonstrasi di jalan raya. Begitu juga dengan lelaki yang mahukan calon isteri yang masih suci walhal diri mereka sendiri tidak seperti itu. Anehnya kelompok seperti ini sangat terbuka di dalam soal korupsi dan sanggup berjihad demi mempertahankan Melayu, Islam dan monarki.
Kekeliruan yang dihadapi masyarakat kita hanya boleh dikurangkan dengan memperbanyakkan pembacaan dan perbincangan terbuka kerana sudah tiba masanya pendidikan terutama di zaman media sosial ini ditakrif semula oleh masyarakat - melangkaui sekolah dan universiti. Jalan meraih ilmu tidak terhad di ruang berpagar sekolah dan kampus sebaliknya ilmu bertebaran luas di luar sana dan terpulang kepada kita untuk mencarinya.
Bercerita tentang pembacaan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Karangkraf kerana sejak kewujudan pada tahun 1978 telah menjadi salah satu dari pelbagai penyedia kandungan bacaan bercetak dalam medium Bahasa Melayu yang bermanfaat untuk dibaca dan dihadam. Majalah Arena Bola Sepak dan akhbar Eksklusif yang kedua-duanya sudah tidak wujud lagi sangat membantu memperbanyakkan sudut pandang saya dalam meletakkan sesuatu perkara dan sekarang diteruskan dengan akhbar komuniti, Sinar Harian.
Membaca novel-novel Alaf 21 terbitan Karangkraf dan juga novel-novel Dewan Bahasa Pustaka (DBP) tidak akan membuatkan kita tidak cool dan membaca novel-novel independen tidak pula membawa kita kepada cool.
Memetik kata-kata Hasmi Hashim atau nama penanya Buddhi Hekayat, seorang aktivis politik dan penulis lirik yang baru sahaja memenangi juara lagu di AJL 26 menerusi lagu “Awan Nano” dendangan Hafiz dan lagu ciptaan Datuk M. Nasir.
“Tujuan kongkongan adalah pembodohan. Begitulah di sesebuah negeri apabila dihambat dengan pelbagai undang-undang draconian, termasuk lembaga penapisan misalnya, ia tidak lain akan berpenghujung kepada pembodohan ke atas masyarakat. Penguasa yang mengongkong, atau disebut Profesor Syed Hussein sebagai ‘authoritarian’ dapat bertahan berkuasa hasil pembodohan terhadap rakyatnya”.
Manakala Profesor Syed Hussein Alatas, dalam bukunya “Intelektual Masyarakat Membangun” berkata, “Bebalisme adalah orang yang authoriarian…”
Maka menurut saya, mengongkong diri untuk terus dikongkong dan memilih cool untuk dilihat cool tanpa isi merupakan bebalisme juga.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.








