Opinion

Budaya Pak Turut yang keterlaluan: Antara memenuhi tuntutan semasa dan keseimbangan realistik

December 25, 2011

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

25 DIS — Ketika berada di bangku sekolah suatu ketika dahulu, kita sering diingatkan oleh guru sekolah agar sentiasa mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. 

Sikap menurut perintah atau compliance menurut guru-guru sekolah itu dapat melatih dan menjadikan seseorang pelajar berkenaan lebih berdisiplin selain tidak terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. 

Memang benar arahan sedemikian ada baiknya kerana jika pergerakan pelajar-pelajar terbabit gagal dikawal, ia boleh mengundang anarki yang amat dahsyat. 

Maklumlah pelajar-pelajar sekolah yang muda ini masih mentah dan mungkin tidak begitu bijak untuk membezakan mana yang baik dan mana yang tidak baik. Segala yang dilihat dan didengarinya akan diterima bulat-bulat seolah-olahnya semua adalah benar belaka.  

Ibarat kata pepatah yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bermakna jika kita sebagai ibubapa atau penjaga ingin mencorakkan perwatakan anak-anak, ia harus bermula dari awal lagi. Di peringkat inilah, daya penerapan anak-anak kecil berada pada tahap yang paling aktif dan tertinggi. 

Dan apabila proses ini sudah berjaya, ia akan melekat dalam minda anak-anak kecil sepanjang hayat mereka. Bercakap mengenai konteks ini, ia juga mengingatkan penulis kepada soal budaya pak turut yang dilihat semakin menyerlah dalam kalangan masyarakat kita - dari kalangan orang kebanyakan hinggalah kepada pemimpin-pemimpin politik, budaya ini tidak banyak berbeza. 

Tidak dinafikan bahawa budaya pak turut ada kebaikannya tersendiri. Umpamanya  apabila seseorang itu bekerja di sesebuah organisasi yang menginginkan kenaikan pangkat, sikap pak turut cukup penting. 

Apa sahaja yang diminta oleh pihak atasan akan dijalankan dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Malahan, segala arahan yang dikeluarkan walaupun hakikatnya mungkin bercanggah dengan prinsipnya, turut dianggap baik gara-gara hanya untuk memuaskan pihak atasan. 

Motifnya mudah sahaja - semuanya berkisar kepada survival dalam dunia yang penuh kompetitif ini. Siapa yang akur dan patuh sudah pasti akan terus hidup. Sesungguhnya, mereka tidak bersalah dalam konteks ini. Malah boleh dikatakan pekerja-pekerja ini amat baik kerana patuh kepada arahan. Lebih penting lagi, ia adalah sejajar dengan budaya hormat-menghormati yang dijunjung tinggi oleh masyarakat setempat. 

Namun begitu, apabila budaya pak turut diamalkan secara membuta-tuli dan tidak bertempat seperti yang ditunjukkan oleh segelintir pemimpin politik (tanpa mengira pembangkang atau kerajaan), maka seharusnya ia diperbetulkan. 

Bunyinya mungkin agak keras sedikit tetapi ia tidak bermakna budaya tersebut tidak boleh diamalkan langsung. Sebagai pemimpin yang mewakili suara rakyat, seseorang pemimpin politik itu haruslah berpijak pada bumi nyata dan memperjuangkan isu berlandaskan kepada prinsip dan kebenaran, bukannya kesetiaan yang membuta-tuli. 

Sudah pasti, benda yang betul harus dikatakan betul dan bukan sebaliknya kerana kegagalan menuju ke arah itu merupakan satu ketidakadilan dan penghinaan kepada prinsip keadilan. 

Dari segi pendirian yang dilontarkan terhadap sesuatu isu berbangkit, pemimpin politik tidak perlu gentar menyatakan pendirian mereka biarpun adakalanya bercanggah dengan pendirian kepimpinan tertinggi. Tidak bermakna dengan memberikan pendirian berbeza, mereka ini adalah penentang atau perosak kepada negara. Aspek penting inilah yang nampaknya disalahtafsir. 

Dalam konteks politik semasa negara, masih ada beberapa pemimpin politik negara yang nampaknya mempunyai keberanian untuk melawan arus walaupun tidak begitu disenangi oleh pihak tertentu. Kehadiran tokoh-tokoh seperti Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Mantan Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Ong Tee Keat dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin sedikit sebanyak menceriakan dunia politik negara yang tidak pernah sunyi daripada berita-berita panas sejak kebelakangan ini. Ironinya, keberanian pemimpin-pemimpin itu bersuara dengan lantang sering kali meletakkan kedudukan pemimpin-pemimpin tadi dalam keadaan yang sukar. 

Apapun, kepelbagaian pendapat inilah yang menjadikan pemimpin-pemimpin politik lebih berintegriti, dipandang tinggi dan dipercayai oleh rakyat. Sebagai seorang yang diberi amanah untuk memperjuangkan kebajikan rakyat, mereka harus mengelakkan daripada dianggap sebagai wakil rakyat yang hanya memanaskan bangku Jemaah Menteri semata-mata. 

Kelazimannya, kepelbagaian pendapat seringkali dicemuh sebagai satu amalan yang bercanggah dengan konvensyen parti. Tetapi apa yang tidak disedari melalui kekangan itu, ia hanya akan mengekang kreativiti pemikiran pemimpin. 

Untuk menolak terus pandangan kumpulan pemimpin sedemikian walaupun ia adalah praktikal dan wajar, ibarat menafikan hak dan kebenaran mereka. Dalam situasi-situasi tertentu, ada kalanya pandangan yang dilontarkan merekalah yang menjadi kunci untuk merungkai kepada permasalahan yang dihadapi. 

Yang harus disedari di sini ialah pandangan yang diberikan mungkin berbeza tetapi semuanya menuju ke satu matlamat yang sama yakni untuk kebaikan negara tercinta. Apa yang rakyat tidak mahu lihat ialah penentuan sesuatu keputusan yang terlalu tertakluk kepada ikatan politik kerana sedia maklumlah apabila sesuatu keputusan disandarkan ke arah itu , maka kesudahannya juga akan menjadi mangsa kepada “political circumstances.” 

Sama ada mereka tidak faham atau memilih untuk tidak memahami rasional berkenaan, itu adalah hak pemimpin masing-masing. Kuasa terletak di tangan mereka. Mereka juga yang berhak menentukan hala tuju negara yang ditadbirnya. Tetapi jika mereka benar-benar mempunyai rakyat dalam hati mereka, seharusnya mandat yang diberikan pada PRU lalu, wajar dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. 

Bercakap mengenai persiapan untuk berperang dalam medan pilihan raya, sudah tentu kehadiran sejumlah besar barisan pemimpin setia di belakang pemimpin adalah satu kelebihan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan misi untuk memenangi perang dalam pilihan raya sudah setengah berjaya. 

Apapun jika tidak berhati-hati, segala kejayaan dalam memenangi perang pilihan raya mungkin berakhir dengan kekecewaan jika hanya ada barisan pemimpin yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak mempunyai   “substance”. Dalam banyak ketikanya, ini bukan strategi menang-menang yang diharap-harapkan. 

Justeru, apakah budaya pak turut ini akan berubah tatkala kita melangkah ke tahun baharu 2012 nanti? Sejauhmanakah budaya pak turut boleh membantu mereka memenangi perang yang lebih besar iaitu PRU 13? 

Bersediakah pemimpin-pemimpin politik kita yang lain berhijrah dari takuk lama dan melihat sesuatu isu dari perspektif yang lebih terbuka dan objektif seperti yang ditunjukkan oleh Saifuddin, Tee Keat dan Bung Moktar?  Mungkinkah 2012 bakal menjanjikan perubahan dari segi sikap dan pendekatan pemimpin-pemimpin politik kita? 

Mungkinkah? Mungkinkah? 

Segala pandangan yang diluahkan hanyalah pandangan peribadi penulis.

Talk of the web