CEO Syabas lewat setengah hari masuk syurga
9 OGOS — Kata Mentri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, gaji CEO Syabas RM400,000 sebulan.
Aduh! Banyaknya duitnya.
Apapun orang Melayu seronok ada juga orang Melayu yang bergaji besar. Dulu sebelum merdeka kita dengar cerita orang Melayu miskin belaka. Asal yang miskin orang Melayu. Yang banyak duit Cina.
Lepas merdeka sudah ada orang Melayu bergaji RM400,000 sebulan.
Walaupun saya seronok dengan gaji Tan Sri yang menjadikan dia kaya raya, saya teringat tazkirah yang dengar di surau. Ustaz menyebut sepotong hadis, bahawa orang miskin yang soleh dulu masuk syurga dari orang kaya yang soleh.
Kedua-dua orang miskin yang soleh dengan orang kaya yang soleh sama-sama boleh masuk syurga. Katakanlah orang miskin yang soleh itu tok siak masjid kampung yang tak bergaji, orang kaya yang soleh itu CEO Syabas yang gajinya RM400,000 sebulan.
Orang kaya yang soleh CEO Syabas itu menunggu di pintu syurga bersama tok siak yang miskin itu. Dia melihat tok siak masuk dulu sambil melenggang. CEO Syabas terpaksa menunggu. Dia soleh juga dia terpaksa menunggu lagi.
Habis orang miskin soleh masuk syurga, CEO Syabas dan ramai lagi orang kaya yang soleh tidak boleh masuk lagi padahal mereka sudah lulus untuk masuk syurga. Setengah hari lamanya CEO Syabas bersama-sama orang kaya soleh yang lain terpaksa menunggu dulu.
Pintu syurga itu kosong. Sudah tidak lagi yang hendak masuk, tetapi CEO Syabas tidak boleh masuk lagi. Kesnya apa? Dia adalah seorang yang soleh tetapi dia orang kaya. Orang kaya terpaksa tunggu sampai tengah hari.
Tok siak yang soleh tadi sudah tidak terhalang masuk syurga. Apa sebabnya? Kerana dia miskin.
Dengan kesebokan dunia ini setengah jam itu tidaklah lama sangat. Tetapi menunggu adalah kerja yang menyiksakan. Walaupun kita diminta setengah jam di luar bilik untuk menunggu bertemu dengan Perdana Menteri, tetapi setengah jam tidak buat apa tetap dirasa lama dan tidak menyengkan.
Bayangkan setengah hari di luar pintu syurga, bukan setengah hari di dunia di bilik berhawa dingin. Satu hari di akhirat beribu tahun dibandingkan dengan dunia.
Walaupun ahli syurga itu sudah mencium bau syurga sejak dalam kubur lagi, tetapi masa itu semuanya tahu bahawa syurga belum dibuka untuk penghuninya. Maka semuanya sudah merasa bahagia. Sedang penghuni kubur yang lain berdepan dengan berbagai kesiksaan, ahli syurga aman nyaman tidur di kuburnya mencium bau syurga.
Tetapi CEO Syabas yang soleh sudah ada di luar pintu syurga. Dia sudah tahu dan terdengar akan seronoknya orang di dalam syurga, sedang dia terpaksa menunggu lama di luar dan setengah hari itu panjang beribu tahun.
CEO Syabas itu sekalipun sebulan RM400,000 gajinya, kekayaannya tidak sekaya Nabi Sulaiman a.s. Tiada manusia sepanjang sejarah manusia lebih kaya dari Nabi Sulaiman a.s. Baginda lebih kaya dari Qarun. Qarun adalah terlalu kaya. Berekor-ekor kaldai membawa anak kunci setor hartanya saja. Kekayaan Qarun itu di Mesir saja, kekayaan Nabi Sulaiman a.s. adalah di seluruh dunia kerana baginda adalah raja sedunia.
Nabi Sulaiman a.s. bilionar yang soleh tetapi nabi yang maksum, seorang yang tidak ada dosa dan nabi itu dijamin baginya syurga.
Kata Ustaz itu Nabi Sulaiman a.s. yang soleh lagi maksum itu menunggu 40 tahun untuk masuk syurga selepas sekalian nabi masuk syurga. Bukan kerana baginda ada dosa barang secebis. Tetapi kerana kekayaannya. Setiap kekayaannya ditanya dulu di makamah Rabbul Jalil, dari mana ia didapati dan bagaimana ia digunakan.
Kerana kekayaannya terlalu banyak, maka audit di mahkamah Rabbul Jalil mengambil masa selama 40 tahun.
Bayangkan CEO Syabas yang soleh dilewatkan setengah hari masuk syurga kerana banyaknya duit. Itupun kalau duit itu didapati secara betul dan digunakan secara beul juga. Kalau duit yang tidak betul berapa lama pula terpaksa menunggu di luar syurga?
Bagaimana pula dengan keborosan menggunakan duit negara?
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.





