Cukai tinggi jika pelajaran percuma?
8 JUN — Reaksi kerajaan dan Barisan Nasional jika PTPTN dimansuhkan ialah negara akan bankrap dan bila diadakan pelajaran percuma untuk semua dari tadika hingga ke ijazah kedoktoran, maka rakyat akan dibebankan dengan cukai yang tinggi.
Pakatan Rakyat telah menjanjikan, jika ia diberi kepercayaan mentadbir Putrajaya, ia akan memansuhkan PKPTN dan memberi pelajaran percuma kepada semua sejak dari tadika hinggalah ke peringkat PhD.
Percubaan kerajaan BN mengadakan skim pinjaman PTPTN menyebabkan majoriti pemimpin gagal penjelaskan pinjaman dan ia menyebabkan kerajaan ditimbunkan hutang lapuk yang berbilion ringgit.
Kerajaan sudah tiada cara untuk mendapatkan balik pinjaman itu. Jika ia diteruskan akan menambah beban yang sudah tidak tertanggung itu. Dengan beban yang bertambah dari semasa ke semasa, ia membebankan ekonomi negara.
Apabila peminjam gagal menjelaskan hutang dulu, sekarang dan akan datang, kerajaan menambah bilangan orang yang berhutang. Dalam apa keadaan hutang wajib dibayar. Pada pandangan Islam barang siapa gagal menjelaskan hutang, maka ibadat dan amal solehnya tergantung di awangan, tidak sampai ke langit.
Jika sampai mati hutang itu tidak dapat dijelaskan, maka amalnya sejak lepas universiti dan kolej jadi siasia iaitu tidak berpahala.
Dasar kerajaan itu menyebabkan rakyat berhutung dan menyebabkan amal ibadat rakyatnya yang Islam tidak diterima Allah.
Apabila kerajaan menghapuskan skim itu tidak lagi pelajar yang berhutang dan apabila kerajaan mengambil langkah membatalkan hutang PTPTN itu dan mengalalkannya, moga-moga amal yang tergantung itu diterima Allah.
Pakatan Rakyat telah membuat kira-kira, berikut dengan memansuhkan PTPTN ia akan memberi pelajaran percuma kepada semua dengan menggunakan sekitar RM5 bilion dari keuntungan Petronas setahun bagi menampung semua keperluan pendidikan.
Kerajaan tidak bercakap tentang menaikkan cukai bagi menampung kekurangan bajet gara-gara pembatalan PTPTN. Tetapi Umno/BN yakin cukai tinggi akan dikenakan kepada rakyat, kononnya seperti yang dilakukan oleh negara-negara yang mengamalkan pengajiran percuma.
Maka andaian kerajaan dan BN itu boleh membimbangkan rakyat.
Katakanlah Pakatan Rakyat merahsiakan rancangan meninggikan cukai untuk rakyat bagi menghadapi masalah itu, tetapi bukankah kerajaan sekarang melancarkan transformasi besar-besaran eknomi, politik, sosial dan sebagainya yang kesemuanya adalah menjurus kepada negara dan rakyat yang berpendapatan tinggi.
Apakah program transformasi berbagai bidang itu tidak berjalan? Jika program yang dibuat kerajaan Najib itu diteruskan oleh kerajaan baru dengan beberapa pennambahbaikan, tentulah setiap rakyat berpendapatan tinggi.
Apabila sekalian rakyat berpendapatan tinggi, logiknya mereka menanggung sara hidup bagi anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke institusi pelajaran tinggi.
Dan apabila program menjadikan rakyat berpeandapatan tinggi itu berjaya, maka apalah yang ditakutkan dengan cukai yang tinggi? Yang takut kepada cukai yang tinggi itu adalah rakyat yang miskin, yang berhutang dan yang tidak ada mata pencarian dan pendapatan.
Rakyat tidak kisah sangat dengan cukai yang tinggi kiranya mereka adalah orang yang berpendapatan tinggi.
Apa pun Pakatan Rakyat tidak bercakap tentang cukai tinggi, tetapi mahu memanfaatkan paling tinggi RM5 bilion dari pendapatan Petronas yang hampir 90 bilion setahun itu.
Yang membimbangkan ialah ada atau program menjadikan rakyat berpendapatan tinggi. Takut program itu tidak ada.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.





