Opinion

Debat Chua Soi Lek-Lim Guan Eng 2: Mampukah ia capai matlamat yang disasarkan?

June 03, 2012

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

3 JUN — Debat sering kali dilihat sebagai terma yang cukup menggerunkan dan merimaskan kepada kita khususnya ketika di bangku sekolah dahulu.

Dengar dan sebut sahaja perkataan berkenaan, akan terlintas dalam fikiran, ia sesuatu yang memudaratkan dan tidak memberikan manfaat.

Pendek kata, ada sahaja alasan-alasan untuk mengelak mahupun tidak mengambil bahagian langsung.

Semuanya gara-gara kerana ketidakyakinan dan perasaan fobia diri terhadap kemampuan mereka. Malah hingga ke hari ini, boleh dikatakan sentimen sedemikian masih kekal dalam segelintir masyarakat kita termasuk juga pemimpin-pemimpin politik.

Atas alasan apa mereka mendakwa debat tidak bermanfaat, hanya mereka sahaja yang maha mengetahuinya. Mungkin takut, mungkin juga tidak berani menghadapi kenyataan ataupun berkemungkinan tidak berani menanggung impak daripada debat itu.

Realitinya, tidak ramai individu yang mampu berdebat secara rasional apatah lagi berdebat dengan baik. Yang biasa kedengaran adalah hujah-hujah yang bersifat defensif, maki-hamun terhadap kredibiliti pihak lawan hingga ia memberi gambaran debat yang disertainya berat sebelah.

Perkembangan tersebut sesungguhnya bukanlah khabar gembira yang ingin didengar oleh setiap penganjur. Sememangnya, menjadi hasrat setiap penganjur agar debat anjurannya boleh mendatangkan impak dan mendapat perhatian ramai.

Tetapi dalam keghairahan mencetuskan impak dan meningkatkan rating, sampai ke tahap manakah kualiti perdebatan sebegini harus dibenarkan?

Dan ini membawa kita kepada persoalan berikutnya. Sudah diumumkan bahawa debat 2 antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan berlangsung pada 8 Julai bertempat di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.

Lokasi debat sudah dikenal pasti malah tempoh dan format debat juga telah diubah suai bagi mengelakkan kontroversi sama tercetus seperti yang berlaku pada debat pertama Februari lalu.

Justeru, apakah yang boleh diharapkan daripada Debat 2 CSL dan LGE pada 8 Julai ini? Adakah kesudahan sama akan kita saksikan? Sejauhmanakah platform debat kedua ini akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk membelasah dan menidakkan integriti pihak lawan?

Bagaimanakah satu suasana perdebatan yang sihat tanpa membelasah kredibiliti dan integriti masing-masing dapat diwujudkan? Ataupun semuanya ini hanya retorik dan idealisme yang tidak mungkin dicapai?

Dalam kalangan pejuang demokrasi, penganjuran debat seperti ini sudah tentu menggambarkan bahawa kebebasan bersuara dan perbedaan pendapat masih subur di Malaysia.  Malah, menurut mereka, sebarang tanggapan bahawa demokrasi sudah berkubur nyata meleset.

Yang pastinya, penganjuran lebih banyak debat di Malaysia akan dapat mendidik rakyat untuk lebih rasional dalam menilai sesuatu isu berbangkit. Jika sebelum ini, kita hanya disajikan dengan cerita satu pihak sahaja, melalui debat, kita mampu mendengar cerita daripada pihak yang satu lagi.

Sama ada cerita yang dijajakan itu berat sebelah atau bersifat partisan, semuanya bergantung kepada kewibawaan pemimpin yang terlibat. Namun begitu, sekurang-kurangnya kesempatan itu akan memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian sendiri.

Tatkala perbedaan pendapat masih kurang diraikan di negara ini, inilah masanya untuk menyuburkan budaya menerima kepelbagaian pendapat. Dalam konteks ini, tidak salah rakyat diajak untuk berbuat demikian kerana kepelbagaian pendapat akan mencetuskan satu fenomena yang sihat dalam kalangan masyarakat.

Misalnya, perbedaan pendapat menuntut rakyat untuk sentiasa berfikir dan berhujah pada paksi rasional. Perbedaan pendapat tidak menjadikan seseorang itu lebih pembangkang ataupun lebih prokerajaan tetapi lebih melambangkan kematangan dalam pemikiran seseorang.

Tahap pemikiran yang begitu tinggi inilah yang ingin dicapai di negara kita. Malangnya, usaha tersebut mungkin memakan masa kerana sikap segelintir masyarakat yang terlalu selesa dengan keadaan sedia ada.

Inilah masalah terbesar kita dan selagi takuk minda masih di paras lama, maka selama itulah kita akan terus terperangkap dalam pemikiran kuno. Kesudahannya nanti, kekreatifan dan kematangan pemikiran rakyat akan terbantut.

Melihat kepada alasan-alasan yang dinyatakan tadi, jelas CSL dan LGE mempunyai pilihan. Pertamanya, mereka boleh memilih untuk mengguna jalan pintas dalam mencapai hasrat mereka ataupun berdebat secara profesional tanpa menyerang mana-mana pihak.

Jika mereka begitu bencikan antara satu sama lain, pada pengamatan penulis –debat bukan tempatnya untuk melepaskan geram. Jika ingin melepaskan geram, mereka boleh lakukan ketika kempen Pilihan Raya Umum nanti.

Kedua-dua pemimpin berkenaan haruslah profesional, memastikan sesi debat padat dan terus kepada skop perbincangan tanpa melencong ke arah lain. Pendek kata, berdebat mengenai polisi, bukannya serangan peribadi! Pilihan terletak di tangan mereka.

Insiden yang berlaku pada debat pertama tempoh hari tidak seharusnya berlaku.  Jika mereka gagal untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan, maka selepas ini jangan harap minat rakyat terhadap debat akan meningkat. Yang akan terus wujud ialah persepsi negatif menyelubungi objektif sebenar penganjuran debat sekaligus menggagalkan niat murni pihak penganjur.

Sungguhpun usaha untuk mewujudkan satu suasana perdebatan yang sihat tanpa membelasah integriti lawan masing-masing masih belum mencapai kesudahan yang dimahukan, tetapi niat itu masih boleh dilaksanakan.

Semuanya bagaimanapun bergantung kepada beberapa perkara berikut:

1)    Kesanggupan kedua-dua pihak bertelagah untuk mengetepikan kebencian masing-masing;  

2)    Niat sebenar pembabitan mereka dalam sesi debat;  DAN

3)    Sejauhmanakah mereka mahu menyelesaikan isu yang didebatkan itu?

Soalnya, bersediakah mereka? Mahukah mereka?

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Talk of the web