Debat KJ-Rafizi: Kesediaan menerima kepelbagaian pendapat
27 MEI — Apabila berbicara mengenai acara debat, perkara pertama yang sering kali terlintas dalam fikiran kebanyakan peserta adalah tajuk yang bakal dibahaskan. Selain tajuk debat, aspek-aspek lain seperti siapakah pencabar anda, lokasi acara dan siapakah moderator turut menjadi pertimbangan.
Pertanyaan atau kebimbangan sedemikian bukanlah satu perkara baharu malah boleh dikatakan ia adalah sesuatu yang lumrah dalam mana-mana pertandingan.
Ia juga merupakan sebahagian daripada proses percaturan dua pihak bertelagah untuk mendapatkan impak maksimum daripada acara yang disertainya.
Tidak mungkin dan mustahil untuk seseorang pemimpin menyertai acara debat hanya semata-mata untuk menjelaskan perkara dasar yang dibincangkan. Pastinya, masing-masing mahu mendapatkan “political mileage” lebih-lebih lagi apabila acara debat yang disertai mereka disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen dan radio pada waktu puncak.
Inilah kesempatan terbaik untuk menempatkan diri pada kedudukan terbaik tatkala bahang Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir. Manalah tahu rezeki untuk menjadi seorang wakil rakyat selepas ini, akan tertunai juga akhirnya.
Pada malam Selasa lalu, berlangsung debat paling dinanti-nantikan oleh rakyat marhaen yang menemukan dua pemimpin muda paling dominan dalam persada politik negara ini iaitu Ketua Pergerakan Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramly.
Topik yang didebatkan pula cukup kontemporari dan panas iaitu pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara. Debat terbabit merupakan lanjutan daripada debat pertama KJ-Rafizi di kota London awal tahun ini.
Sekali imbas, tidak banyak yang dapat membezakan antara kedua-dua pemimpin muda ini. Kedua-duanya sama hebat, sama lincah dan petah berdebat. KJ dengan komen sinisnya terhadap kemampuan Pakatan Rakyat mentadbir negara manakala Rafizi pula tampil dengan hujah-hujah beliau mengenai kemampuan PR menawarkan pendidikan secara percuma.
Dari segi umur, KJ dan Rafizi adalah sebaya. Mereka juga individu yang berintelektual dan merupakan figura penting dalam parti politik yang diwakilinya.
Lebih penting lagi, mereka melambangkan kemunculan generasi baharu pemimpin-pemimpin muda yang bakal mewarnai pentas politik negara untuk beberapa dekad akan datang.
Penganjuran debat KJ-Rafizi dengan kerjasama Bernama Radio24 dan Astro Awani sebagai media penyiar rasmi pada dasarnya telah membuka lembaran bersejarah ke arah keterbukaan dan ketelusan menerima kepelbagaian pendapat di negara kita.
Tindakan menyiarkan debat itu secara langsung di media arus perdana yang dinyatakan tadi suatu langkah cukup berani, tidak ortodoks dan seiring dengan citarasa serta kehendak rakyat walaupun terdapat risiko debat tersebut boleh tersasar daripada objektif sebenar.
Apa tidaknya, sambutan yang diterima oleh pihak penganjur dilaporkan cukup luar biasa hinggakan mereka terpaksa menolak permintaan oleh orang ramai untuk hadir di lokasi debat.
Apapun, itulah kos yang perlu dibayar dan tidak mungkin semua pihak boleh dipuaskan hati mereka. Usaha murni itu sesungguhnya berbaloi bukan sahaja kepada integriti media-media berkenaan dalam jangka panjang bahkan ia telah menyemaikan benih-benih kematangan dalam cara kita untuk berdebat.
Benih-benih kematangan itu seharusnya disemaikan secara konsisten. Ia harus bermula dari awal bagi memastikan momentum itu dapat terus bertahan dan tidak berhenti di pertengahan jalan.
Apabila kedengaran pihak tertentu yang menyifatkan acara debat sebagai sesuatu yang membuang masa, ia dirumuskan dan digeneralisasikan tanpa mengambil kira faktor-faktor lain.
Jika benarlah debat membuang masa, apakah pembabitan kita dahulu sebagai pelajar sekolah dalam acara pidato, perbahasan ataupun syarahan juga sesuatu yang membuang masa? Apakah kewajaran untuk mengatakan ia tidak bermanfaat? Ataupun ada antara kita yang tidak bersedia menerima pandangan orang lain?
Penganjuran acara debat seperti yang melibatkan KJ-Rafizi bukanlah bertujuan untuk menuding jari dan meletakkan beban tanggungjawab terhadap sesuatu pihak untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan.
Sebaliknya, debat dianjurkan bagi mencari jalan penyelesaian konkrit terhadap sesuatu masalah yang melibatkan kepentingan semua rakyat Malaysia. Di sinilah, kesanggupan dan kelapangan kedua-dua pihak untuk bekerjasama bakal teruji. Sama ada keikhlasan mereka terpancar ataupun sentimen kepartian terus menebal, itu kita biarkan rakyat sendiri yang menghakimi mereka.
Yang nyata, acara debat yang hebat bukan diukur dari segi kekuatan suara dan keagresifan si pedebat menyampaikan hujah-hujahnya. Yang paling mustahak ialah bagaimana kedua-dua pedebat itu berupaya meyakinkan audiens bahawa hujahnya mampu menawarkan jalan penyelesaian terbaik kepada masalah berbangkit. Rakyat marhaen mahukan penyelesaian bukannya retorik manis yang semacam menjadi kebiasaan dalam kalangan pemimpin politik akhir-akhir ini.
Kepada si pengkritik, nilailah sesi debat KJ-Rafizi bukan kerana pedebat itu datangnya dari orang Umno ataupun PKR tetapi hujah-hujah mereka. Gunakan kebijaksanaan yang dikurniakan tuhan untuk membezakan apa yang sebenar-benarnya baik dan apa yang tidak.
Tidak rugi pun untuk menghayati hujah-hujah mereka secara teliti sebelum membuat suatu generalisasi yang terburu-buru. Lagipun, menghayati hujah-hujah dari kedua-dua pihak tidak akan sesekali menjadikan kita lebih cenderung kepada sesebuah parti. Ibarat kata pepatah yang berbunyi: Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Ketidaksanggupan untuk menerima pandangan kerana seseorang itu adalah dari parti lawan yang tidak disukai tidak akan membawa kita ke mana. Apakah begitu sukar untuk kita berbeza pendapat dan mendengar kritikan orang lain? Kita berbeza pendapat kerana masing-masing merasakan ada sesuatu penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.
Natijahnya, perjalanan debat antara KJ-Rafizi yang berlangsung dengan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini, memberi mesej jelas bahawa acara debat sedemikian boleh dianjurkan sekiranya kedua-dua pihak menunjukkan kematangan dalam menerima kepelbagaian pendapat dan bersikap rasional.
Penganjuran debat KJ-Rafizi merupakan titik permulaan baik ke arah mewujudkan suatu suasana perbincangan yang lebih sihat dan kondusif. Sekiranya ada perkara berbangkit yang memerlukan penjelasan, platform perdebatan boleh menjadi alternatifnya.
Soalnya sekarang, apakah momentum ini dapat diteruskan? Apakah kita akan melihat lebih banyak acara debat di masa-masa akan datang?
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.





