Opinion

Dejavu

June 09, 2012

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Beliau memblog di www.aminiskandar.blogspot.com dan "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

9 JUN — Pertembungan politik antara BN dan Pakatan berada di tahap kemuncak. Setiap hari ada sahaja isu-isu baru timbul.

Dalam kes PTPTN baru-baru ini drama berlaku apabila kerajaan pusat mahu membekukan pinjaman PTPTN kepada pelajar-pelajar di Unisel dan KUIN di Kedah.

Pembekuan pinjaman itu akhirnya ditarik balik kerana tekanan yang kuat dan BN mungkin dinasihatkan agar tidak meneruskan pembekuan PTPTN kepada Unisel dan KUIN oleh kerana ianya satu tindakan bodoh yang tidak menguntungkan dari segi politik.

Mengapa saya katakan tindakan membekukan PTPTN kepada pelajar Unisel dan KUIN adalah satu tindakan bodoh?

Pertama, PTPTN itu adalah satu skim pinjaman kepada mahasiswa dan bukannya biasiswa.

Mahasiswa yang meminjam dari PTPTN tetap perlu membayar balik dengan kadar bunga yang agak tinggi. Di zaman saya ianya 4 peratus setahun. Mungkin sekarang sudah rendah sedikit.

Kedua, tindakan kerajaan pusat pimpinan BN mengugut dengan cuba membekukan PTPTN terhadap pelajar di Selangor dan Kedah adalah tindakan politik bodoh yang tidak pernah dibuat oleh BN semenjak Tun Razak menjenamakan semula Perikatan menjadi BN pada tahun 1974.

Apatah lagi apabila timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Noh Omar menunjukkan ketidakmatangan politikus BN dengan jawapan-jawapan yang mereka berikan apabila mahu menjustifikasikan tindakan membekukan PTPTN terhadap pelajar di Selangor dan Kedah.

Ketiga, PTPTN akan lebih rugi apabila mahasiswa Unisel dan KUIN tidak membuat pinjaman kepada mereka. 

Ertinya, PTPTN telah hilang pelanggan yang ramai dari Unisel dan KUIN.

Sejarah terus berulang

BN tidak akan boleh berubah selagi memegang kuasa. BN bukan sahaja memerlukan reformasi dalaman tetapi revolusi dalam setiap parti komponen.

Tidak pernah kalah dalam pilihan raya umum menyebabkan lahir satu sikap sombong dan bongkak dikalangan pimpinan BN. 

Malahan ramai juga yang merasakan BN tidak akan kalah pilihan raya dan pemilik kepada harta negara.

Politikus progessif seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Saifuddin Abdullah seringkali menjadi penyelamat BN terutamanya Umno setiap kali perkara bodoh seperti “drama PTPTN” dilakukan.

Dalam “drama PTPTN”, apabila kerajaan Selangor dibawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim umumkan untuk memcairkan aset negeri bagi membantu pelajar Unisel, BN menjadi panik dan terus membatalkan hasrat untuk meneruskan “drama PTPTN”.

Pembatalan dilakukan oleh BN kerana, BN tidak mahu rakyat melihat kesungguhan kerajaan negeri Selangor untuk mempertahankan rakyatnya.

Jika sempat dilakukan, selepas ini mahasiswa seluruh negara akan menjadi lebih agressif dalam menuntut pendidikan percuma kerana ianya terbukti boleh dilakukan.

Politik matang

Sedar atau tidak, BN sebenarnya sedang “membunuh diri” dengan secara perlahan-lahan. 

Kebanyakkan tindakan politik BN akhir-akhir ini kelihatan tidak cerdik dan menjurus kepada kejatuhan regim.

Apabila Datuk Seri Najib Razak membiarkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bercakap bagi pihak BN sebebas-bebasnya, Najib dilihat lemah dan tidak mampu untuk pimpin Malaysia.

Najib masih memerlukan “orang pencen” untuk membantunya melawan musuh utama BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Sebenarnya, jika Najib tidak melibatkan diri dalam perseteruan diantara Mahathir-Anwar, keadaan politik hari ini mungkin berbeza.

Nasi sudah menjadi bubur. Setiap hari akan muncul isu-isu yang memperlihatkan ketidakbijakan BN.

Khairy dan Saifuddin akan terus menjadi benteng mempertahankan BN dari tindakan politik bodoh dan tidak matang.

Persoalannya sekarang, mampukah dua orang (Khairy dan Saifuddin) melawan keseluruhan pimpinan BN yang tidak merasakan tindakan seperti senaman punggung dihadapan rumah Datuk Ambiga itu merupakan tindakan bodoh? 

Revolusi dalam BN hanya boleh berlaku selepas hilangnya penguasaan kerusi di dewan rakyat. Apabila keadaan itu berlaku, barulah perubahan radikal boleh dilakukan dalam BN.

Keadaan ini pernah berlaku di Taiwan. KMT yang memerintah begitu lama tersungkur ditangan DPP. Revolusi dalaman berlaku dalam KMT.

Lahir seorang tokoh dari kalangan pimpinan KMT iaitu Ma Ying Jeou. Ma diangkat menjadi tokoh untuk melawan calon DPP dalam pilihan raya presiden 2008.

Ma menang dengan majoriti besar selepas perubahan besar-besaran berlaku dalam KMT. Ini jalan yang perlu dilalui Umno, MCA dan MIC. Anggaplah kekalahan dalam PRU 13 adalah satu peluang baik untuk merubah parti masing-masing. Kalah pilihan raya umum bukan bermakna dunia berakhir. Apabila Malaysia sudah mempunyai pilihan raya bebas dan adil, sesiapa sahaja boleh menang dan kalah dalam pilihan raya.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Talk of the web