Faksyen: PRU-O (Bahagian 2)
9 JUL — “Awak boleh datang semula esok pada pukul satu petang; tepat. Dan pakaian awak harus kemas. Biar ada pembaharuan. Pastikan awak mandi sebelum datang. Kalau tidak, jangan harap saya akan sedekahkan apa-apa,” Zamal menambah.
“Poorah!” Dia menyumpah dalam hati. “Nak beri semangkuk nasi pun nak kenakan seribu syarat. Pembaharuan, konon. Kalau kedekut, cakap saja terus-terang. Tak payah nak berdolak-dalik. Ptui!”
Dengan hati yang kecewa dan terluka, dia berjalan ke rumah Kamal. Rakan-rakan pengemis lain sudah sedia berkumpul di situ. Seorang dua daripada mereka tersenyum kambing ke arahnya kerana menyedari bahawa dia gagal mendapatkan apa-apa daripada Jamal dan Zamal.
Sambil menebalkan muka, dia menyertai rakan-rakannya yang berkumpul beramai-ramai di hadapan pintu rumah Kamal. Sebentar kemudian, Tuan Kamal keluar sambil menjunjung seperiuk nasi goreng. Nasi itu diagih-agihkan kepada para peminta sedekah.
Dia ternampak rakan-rakannya berpakaian kemas serba kuning.“Terima kasih, tuan. Terima kasih.”
“Semoga Tuhan memberkati hidup tuan.”
“Semoga tuan murah rezeki.”
“Semoga tuan segera naik ke taraf lebih tinggi berbanding kedua-dua abang tuan.”
“Tuhan akan sentiasa melindungi tuan.”
Seingatnya, pada hari itulah isteri Tuan Kamal datang membisikkan sesuatu ke telinga lelaki yang miskin tetapi pemurah dan berjiwa rakyat itu. Ya, … pada hari itulah.
“Abang,” kata si isteri. “Beras tinggal sedikit sahaja.”
“Kalau beras sudah habis,” Tuan Kamal segera menjawab dengan suara yang tenang, “kita jual sahaja tanah kita.”
Para pengemis terdiam mendengar kata-kata yang diucapkan oleh lelaki itu.
“Akhirnya kita akan menjadi papa, bang!”
“Janganlah kau risau, wahai isteriku. Aku tahu apa yang aku lakukan. Aku akan terus memberi sedekah kepada para pengemis yang merempat ini selagi mereka terus datang ke pintu rumah kita … merayu-rayu dan meminta-minta seperti rakyat yang terlalu bergantung pada sedekah daripada pemerintah.”
“Dan akhirnya menjadi papa?” Si isteri memintas.
“Tidak. Aku pasti bahawa sedekah yang kita berikan akan membawa berkat. Para pengemis ini sentiasa mendoakan kebahagiaan hidup kita sekeluarga. Bukankah itu sudah memadai? Apa lagi yang kita perlukan? Malah, kalau aku bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum akan datang sekali pun, tidak mustahil aku boleh mendapat undi majoriti daripada golongan peminta sedekah ini.”
Para peminta sedekah terharu mendengar kata-kata tersebut.
“Tuan bagaikan watak Karna dalam epik Mahabharata!”
“Ya, tuan adalah dermawan yang unggul.”
“Hidup Tuan Kamal!”
“Hidup Tuan Kamal!”
Dia mempercepatkan langkahnya sambil tersenyum mengenangkan kisah lalu. Entah mengapa dirasakannya perjalanan pada hari ini mengambil masa yang lama. Perut pula mula terasa lapar. Badan bertambah letih.
Namun diteruskan juga langkah menuju ke rumah Tuan Kamal. Kumpulan manusia berbaju kuning yang berhimpun secara aman (atau “haram” kata pihak berkuasa tempatan) di tepi jalan sambil melaungkan kata-kata “Maru Malarchi!” dan “Bebas! Adil! Bersih!” tidak diendahkannya.
Dia mahu segera sampai di rumah Tuan Kamal. Dia mahu pastikan sendiri bahawa dermawan unggul itu tidak menjadi papa seperti yang diperhebohkan oleh rakan-rakannya.
“Tuan Kamal! Tuan Kamal!” laungnya sebaik tiba di halaman rumah.
Tiada jawapan. Dipanggilnya lagi; bukan dengan suara hiba tetapi dengan suara tidak sabar. Sebentar kemudian, muncul isteri Kamal di muka pintu.
“Ha, mau apa lagi?”
“Tuan Kamal …”
Suaranya tidak mahu keluar apabila terpandang isteri Tuan Kamal yang biasanya berpakaian mewah dan tubuh dipenuhi barang-barang kemas, kini berpakaian lusuh dan compang-camping.
“Tuan?” Wanita bertubuh pendek dan gempal itu tersenyum kambing. “Dia pun sudah menjadi seperti awak sekarang.”
Mustahil, fikirnya. Apa terjadi dengan doa para pengemis jalanan selama ini? Atau adakah mereka benar-benar ikhlas dalam mendoakan kebahagiaan hidup Tuan Kamal? Dia tidak tahu.
Dia sendiri sebenarnya tidak pernah ikhlas dalam berbuat demikian. Dia sekadar menyatakan sokongan semata-mata untuk mendapat sesuap nasi. Memang resmi politik picisan seperti diamalkan puak penayang punggung di hadapan rumah orang.
“Kalau awak mahu jumpa dia, pergilah ke rumah Tuan Zamal. Suami saya pergi meminta sedekah di sana.”
Rasa tidak percaya semakin mengalir deras dalam dirinya. Tuan Kamal meminta sedekah? Tuan Kamal yang pemurah dan memiliki segala kuasa itu meminta sedekah di rumah si kedekut itu? Tuan Kamal yang bagaikan pohon beringin dan mempelopori skim bantuan rakyat itu kini terpaksa bernaung di bawah pohon lain?
Tanpa disedarinya, dia berjalan keluar halaman rumah Kamal. Dalam keadaan bingung, dia berjalan ke rumah Zamal. Sesampai di halaman rumah Zamal, dia ternampak rakan-rakan pengemis yang lain berjalan keluar. Masing-masing berbisik sesama sendiri. Dan mereka semua berpakaian kemas; serba kuning.
“Eh, kau!” tegur salah seorang daripada mereka apabila melihat dia berdiri di pintu pagar. “Kenapa baru datang? Tuan Zamal tentu tak akan beri kau apa-apa sebab kau lambat. Lagi pun, kau belum mandi dan menukar pakaian.”
“Esok kau ikut kami datang ke sini tepat pukul satu petang. Tuan baru kita ni pemurah sebenarnya,” seorang lagi menambah.
“Semoga Tuhan memberkati hidup Tuan Zamal.”
“Semoga Tuan Zamal murah rezeki.”
“Semoga Tuan Zamal segera naik lebih tinggi dalam apa jua bidang yang diceburinya.”
“Tuhan akan sentiasa melindungi Tuan Zamal.”
“Tuan Zamal bagaikan watak Karna dalam epik Mahabharata!”
“Hidup Tuan Zamal!”
“Hidup Tuan Zamal!”
Dia tergamam. Dia memandang ke arah pintu rumah Zamal. Dia ternampak Jamal keluar sambil memegang mangkuk berisi nasi.
“Dia?”
Rakan-rakannya ketawa.
“Si kedekut itu pun dah jadi peminta sedekah macam kita sejak hartanya dirampas pihak berkuasa. Biasalah. Itu ‘kan adat dunia politik; saling tikam-menikam dan jatuh-menjatuhi untuk kekal berkuasa.”
Jamal dilihatnya tergesa-gesa melarikan diri dari situ. Tentu kerana rasa malu. Kemudian, di antara para pengemis, dia terpandang Tuan Kamal. Lelaki itu juga kelihatan memegang semangkuk nasi.
“Tuan!”
Dia menerpa ke arah Kamal yang agak terkejut melihatnya.
“Tuan! Nasib malang apa yang menimpa tuan?” Dia menangis.
“Bawa bertenang. Dan jangan panggil aku ‘tuan’ lagi. Tempoh penguasaan aku sudah berakhir. Sekarang kita sama-sama rakan pengemis jalanan.” — Tamat
* Faksyen ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan mana-mana politikus atau peminta sedekah yang belum meninggal dunia.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.






