12 JAN — Tidak berhajat saya sebelum ini menyentuh darihal politiknya kerana dia dirasaskan laksana buah buruk yang menunggu gugur. Dijolok jatuh dan tidak dijolokpun jatuh.
Tetapi dia membuat hal lagi.
Tidak cukup dengan Datuknya, dia diberi Datuk lagi di hari kebesaran Raja baru-baru ini. Semasa hendak menerima Datuk tambahan itulah, mengikutnya bertalu-talu dering telifon menanyakan isyarat buruk mula menerpanya tentang pencalonannya dari partinya di kawasan pilihan rayanya.
Dia pun mula membuat hal. Dibalonnya pada khalayak umum tentang keputusan Islam partinya tentang politik negara berkebajikan. Kononnya tidak lagi seIslam negara Islam.
Saya telah terasa akan masa politiknya hampir habis secara automatis, maka saya perlu layan. Kemudian cepat-cepat dia minta ampun kepada partinya di hadapan di hadapan Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Presiden partinya.
Islam itu bukan saja agama berkebajikan tetapi agama pemaaf. Dia dimaafkan tetapi tetap politiknya tidak dapat dipulihkan. Tetap ia tidak perlu dilayan.
Tetapi selepas diterima ampunnya, dia seperti menampar muka Mursyidul Am dan muka Presiden yang sudah menyatakan untuk turun ke acara 901 bagi Bebas Anwar. Ditempelaknya acara 901 itu sebagai suatu yang sia-sia dan diserunya supaya orang jangan turun.
Karenahnya itu telah memukul muka pemimpin partinya dan mencabar muamalat parti dan penyokong partinya dengan parti-parti sekutu partinya dalam muafakat Pakatan Rakyat. Dia pun tidak lagi sekadar karenah kepada partinya dan tidak sekadar mencabar partinya tetapi telah mencabar wibawa muafakat parti-parti kerabat.
Maka dia tidak lagi jadi masalah kepada partinya, PAS, tetapi dia sudah jadi masalah bersama kepada Pakatan Rakyat. Mungkin dia sudah sebesar mana lagi ia sudah menyusahkan budi baik dan moral partinya dengan parti-parti sahabat yang lain.
Partinya boleh membiarkan dia jadi buah gugur sendiri, tetapi partinya mesti menjaga hubungan baik dengan sekutu-sekutunya. Payah membiarkannya begitu saja.
Maruah dan kemuliaan Islam itu adalah terhadap kesetiaannya kepada janji dan komitmen yang diberi kepada pihak lain. Rasulullah SAW tidak mungkir terhadap semua persetujuannya dalam perjanjian Hudaibiyah dengan musyrikin Quraisy. Sekalipun pelaksanaan perjanjian itu ada yang memedihkan umat Islam tetapi ia tetap dipatuhi hatta apabila musyrikin Quraisy sendiri memungkirinya.
PAS telah ada komitmen dengan DAP dan PKR. Jika PAS sebagai orang Islam tidak menghormati komitmennya, maka orang akan menganggap demikianlah keadaan Islam.
Oleh kerana PAS ada tanggungjawab terhadap Pakatan Rakyat, maka PAS tentu tidak bijak menjadikan Hasan Ali sebagai masalah kepada Pakatan Rakyat. Atas kepentingan itulah saya layan isu Hasan Ali yang kira kefahaman dan kesedaran politiknya amat rendah.
Ketika dia mentakwil negara berkebajikan dari sudut Ialam, maka orang boleh bertanya akan keupayaannya memahami Islam. Apakah dia benar-benar faham. Sejak pimpinan Haji Ahmad Fuad, Dr Burhanuddin al-Hilmy dan Prof Zulkifli Mohamad serta Datuk Asri Muda memimpin PAS, PAS telah bercakap tentang negara kebajikan dan pemerintahan yang mendapat keampunan Allah.
Kebajikan itu bukan baru bagi Islam, malah konsepnya jauh lebih sempurna dengan konsep kebajikan tamaddun barat. Pemimpin Islm mesti sedar hal ini.
Orang yang awal mempertikai Hasan Ali ialah Tun Dr Mahathir Mohamad sejak dia masih Perdana Menteri. Dr Mahathir tidak pernah menilai semula pandangannya terhadap pakar motivasi itu.
Saya jarang bersetuju dengan Dr Mahathir tetapi saya meneliti pandangan Dr Mahathir dalam perkara ini.
Kemasyhurannya sebagai tokoh motivasi banyak membantunya naik dalam PAS dan diberi kepercayaan memikul tanggungjawab besar parti itu.
Tetapi dengan semua penglibatannya dengan politik, terasa tidak padan dengan kemasyhurannya dalam bidang motivasi. Bukan sekadar keupayaan politik rendah, malah tidak keterlaluan jika ada yang merasanya zero.
Jika alam politik ada khemah motivasi, Hasan mungkin wajar menyertai kelas motivasi itu, supaya dia faham politik negara berkebajikan dan politik 901 Bebas Anwar.
* Artikel ini ditulis pada waktu Subuh hari yang sama Datuk Hasan Ali dipecat keahliannya dalam Parti Islam SeMalaysia.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.








