7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Opinion

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

Jangan kiasu!

January 08, 2012

8 JAN — Dalam dunia yang cukup kompetitif ini, hanya mereka yang kuat, cekal dan lasak mampu bertahan.

Pendek kata, siapa yang lemah, tidak bermaya dan tertindas akan terus ketinggalan bahkan hanyut dalam suasana yang penuh berliku ini.

Realiti hidup dunia ini sememangnya kejam dan tidak mengenal mangsa tanpa mengira batasan kaum, agama mahupun umur.

Setiap individu masing-masing terpaksa berhempas-pulas dalam menjaga kelangsungan mereka. Tidak pula terlintas dalam fikiran mereka masa ini untuk mereka membantu orang lain yang memerlukan sekalipun naluri hati menyuruh mereka berbuat sebaliknya.

Individu yang pernah digelarkannya sebagai seorang sahabat baik kini mungkin menjadi seteru terdekatnya yang perlu ditentang habis-habisan. Apa sahaja cara yang boleh merosakkan imej dan kredibiliti sahabat baik akan digunapakai kerana apa yang paling di penghujungnya ialah keputusan akhirnya.

Penjelasan yang digambarkan sebentar tadi ternyata mendedahkan kepada kita bahawa dalam diri setiap umat manusia, tertanam dalam dirinya sikap kiasu mereka.

Terma kiasu dalam Bahasa Hokkien membawa maksud takut kalah. Setiap daripada kita mempunyai sikap takut kalah dalam diri. Perasaan sebegini merupakan satu keadaan biasa memandangkan setiap manusia mahu meletakkan diri dalam keadaan yang terbaik lagi dihormati.

Dari aspek psikologinya, lebih kiasu sikap mereka lebih terjamin dirinya, sekurang-kurang itulah persepsi yang cuba digambarkan mereka. Kumpulan manusia sebegini sentiasa berada dalam keadaan “siege mentality” yang tidak mahu menerima pandangan orang lain. Mentaliti sedemikian bukan sahaja menyebabkan mereka sering terpinggir daripada golongan massa bahkan menjadi “pariah” di mata masyarakat.

Mereka sentiasa mahu menjadi yang terbaik, dan mengalah baginya adalah sesuatu yang mengaibkan waima tidak boleh diterima sekali. Hidup di dunia ini hanyalah sekali dan adalah penting untuk mencapai sesuatu cemerlang dalam jangka hayat mereka.

Hakikat pahit ini ada kebenarannya. Lihat sahaja kepada perlakuan anggota masyarakat kita di merata tempat. Di pusat membeli-belah, di atas jalan raya, di tempat kita mencari sesuap nasi, bahkan dalam kalangan pemimpin politik dan pengusaha media massa – semuanya tidak terkecuali. Masing-masing memperlihatkan wajah hodoh mereka yang tersendiri.

Sebagai contohnya di atas jalan raya, saban hari ada sahaja lautan manusia yang memandu kenderaan mereka ke tempat kerja di ibu negara. Dalam perjalanan ke tempat kerja, kelihatan pelbagai gelagat pemandu-pemandu kita yang berpusu-pusu ke tempat kerja, seolah-olah tidak ada hari esok baginya.

Maka, dipotongnya barisan kereta di hadapan mereka tanpa rasa insaf walhal perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya mengundang bahaya kepada pemandu-pemandu lain. Soal terlibat dalam nahas jalan raya belum terlintas dalam fikiran mereka.

Di tempat kerja juga, keadaan tidak banyak berbeza. Walaupun sikap kiasu tidak begitu menonjol secara terbuka, namun perlakuan, gelagat serta tutur kata pekerja-pekerja terhadap orang lain mencetus persoalan.  Di mana sahaja kita bekerja, sudah tentu ada individu yang tidak senang hati dengan kehadiran kita.

Bagi individu sedemikian, kehadiran kita di tempat kerja merupakan ancaman kepada kedudukan dan survival mereka. Maka berleluasalah perbuatan fitnah-memfitnah mahupun tikam-menikam yang akhirnya menjadikan tempat kerja itu sudah tidak sesuai lagi untuk berteduh.

Dalam kalangan pemimpin politik dan pengamal media pula, jalan ceritanya tidak banyak berubah tetapi diwarnai dengan elemen suspen, tegang dan hipokrasi. Dalam dunia politik umpamanya, faktor populariti bukanlah penentu tunggal dalam kelangsungan seseorang pemimpin. Sebaliknya, kombinasi pelbagai faktor seperti kebijaksanaannya mencatur strategi, keikhlasan,  dan “likeability” yang mampu menentukan hala tuju pemimpin berkenaan.

Di sebalik itu, apa yang agak menyedihkan ialah pemimpin-pemimpin politik yang jujur dan berterus-terang dianggap sebagai ancaman kepada kelangsungan sesebuah rejim lantaran mereka dipinggirkan. Akan ada sahaja cubaan untuk memburuk-burukkan imej jenis pemimpin terbabit dengan harapan ia tidak akan mendapat sokongan rakyat. Tidak mahu pemimpin lain untuk berjaya meraih sokongan rakyat, pelbagai alasan dijajakan. Maki-hamun, fitnah, dan tuduhan yang sembarangan. Jelas ini adalah suatu perbuatan yang cukup jijik dan kiasu dalam segala aspek.

Bagi pengamal media yang mana produknya (boleh jadi dalam media cetak mahupun media elektronik) sentiasa melaporkan isu-isu panas yang penuh kontroversi, ia sering menjadi sasaran pihak tertentu. Ada pihak yang jelas tidak senang dengan tindakan mereka itu. Bagi individu yang menjadi sasaran laporan media berkenaan, pelbagai kecaman dilemparkan terhadapnya. Keberanian media-media tersebut untuk melaporkan isu-isu kontroversi sebaliknya disambut dengan cacian dan tuduhan ia adalah perosak negara.

Penulis bersimpati dengan media-media ini yang terpaksa berhadapan dengan liku-liku yang tajam. Tak tulis pun kena, menulis pun kena juga. Pihak manakah yang harus disokong? Perlu diingat bahawa dalam dunia kewartawanan, tugas wartawan adalah untuk melaporkan apa yang berlaku di hadapan mata mereka, tidak kira sama ada ia membabitkan kerajaan mahupun pembangkang. Jika kerajaan didapati melakukan kesilapan, teguran perlu dibuat. Begitu juga dengan pembangkang.

Biarpun pahit untuk ditelan, wartawan mahu tidak mahu wajar menegakkan prinsip kewartawanan iaitu menulis apa yang berlaku di hadapan mata mereka selaras dengan peranan media iaitu sebagai ejen pendidik.

Justeru, kepada pihak media baik dari kerajaan mahupun pembangkang, sudah tiba masanya untuk duduk semeja dan berbincang apakah langkah-langkah terbaik dalam menyumbang kepada pembangunan negara. Usah terlibat dalam perang mulut untuk menuduh pihak media itu dan ini tidak baik. Setiap media mempunyai peranannya tersendiri!

Apa yang dicadangkan oleh seorang editor kanan sebuah akhbar arus perdana supaya dipraktikkan sikap rasional dalam isu ini, wajar diberi perhatian. Sesungguhnya, tuduhan dan tohmahan kepada media-media berkenaan tidak akan membawa sebarang manfaat malah hanya meletakkan dunia media dalam ketidaktentuan.

Yang pastinya, apa sahaja yang ditulis oleh wartawan mungkin akan menyedapkan hati pihak di sebelah sini tetapi tidak di sebelah sana. Inilah hakikat. Tidak mungkin semua yang dilaporkan mampu menggembirakan semua pihak.

Namun di sebalik sikap kiasu yang ditunjukkan itu, apakah yang kita akan dapat? Apakah kita akan lebih gembira? Apakah dengan lebih kiasu sikap kita, maka kita akan menjadi seorang insan yang lebih hebat daripada orang lain? Manusia kini mungkin sudah lupa bahawa dalam kehidupan bermasyarakat, kita tidak boleh menyendiri apatah lagi kiasu.

Kiasu adalah untuk orang yang pentingkan diri sendiri, orang yang takut dengan bayangannya sendiri dan orang yang terang-terangan tidak boleh menerima hakikat sebenar.

Dalam era pembangunan yang semakin pesat mutakhir ini, sudah nampak kecenderungan sikap kiasu semakin menebal dalam hati penduduk-penduduk. Mereka lebih sombong, individualistik dan enggan membantu mereka yang memerlukan.

Sikap negatif ini boleh dikikis, cumanya apakah ada kesungguhan daripada pihak yang berkaitan tadi? Mampukah negara kita mencapai status negara maju menjelang 2020 dengan rakyatnya berfikiran kelas pertama, terbuka dan tidak emosi?

Kata pepatah orang-orang tua  “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya”. Kini terpulanglah kepada mereka ini untuk melakukan anjakan paradigma.  Langkah pertama sering kali dianggap sebagai langkah yang paling sukar tetapi apabila pendekatan ini belum dicuba, belum tahu kesudahannya.

Ayuh, sudah tiba masanya untuk hentikan sikap kiasu ini!

* Segala pandangan yang diberikan di atas hanya pandangan peribadi penulis.