Opinion

Jangan pandang sang bulan (Bahagian 1)

July 23, 2012

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

23 JULAI — “Kenapa kita tidak boleh memandang ke arah bulan sabit di langit, paati?”

Demikian kakak bertanya dengan penuh hairan. Sebentar tadi, nenek mengingatkan kami supaya berhati-hati dan tidak melihat ke langit sepanjang hari ini.

Kami yang lain juga ingin tahu sebabnya. Saya pasti tentu ada alasan mengapa nenek memberikan peringatan itu.

Setahu saya, hari ini adalah hari keempat bulan Avani mengikut kalendar Tamil. Bulan di langit tentu masih berbentuk bulan sabit. Pada pertengahan bulan nanti barulah paurnami, bulan purama.

“Hari ini Vinayagar Chaturthi dan memang kita tidak dibenarkan memandang bulan sabit di langit,” nenek memberikan jawapan yang sebenarnya tidak menjawab pertanyaan kakak.

Di negara India, cara sambutan Vinayagar Chaturthi adalah amat berbeza.Kami terus berdiri di dapur dengan penuh harapan bahawa nenek akan meneruskan penceritaan dan menjawab pertanyaan yang bermain dalam minda kami.

Akan tetapi, nenek sedang sibuk menyiapkan modakam yang akan dihidangkan di hadapan Dewa Ganesha nanti. Selepas upacara pooja, bolehlah kami semua makan sepuas-puasnya.

“Paati akan masukkan juga sedikit modakam ke dalam bekas tu,” kata nenek tanpa memandang ke arah kami. Sebaliknya mata beliau memandang ke arah bekas tembaga besar di atas rak. “Nanti bolehlah kamu makan bersama kawan-kawan.”

Serta-merta saya terasa amat gembira. Tentu Helmi, Roslan, Peng Soon, Elaine dan rakan-rakan lain berasa seronok. Setiap kali ada upacara khas di rumah, nenek tidak lupa memasukkan sebahagian juadah ke dalam bekas itu untuk dimakan bersama-sama kawan-kawan sepermainan.

“Kita mestilah menghormati orang lain. Mana-mana makanan yang kita hidangkan kepada dewa-dewi, kita sekeluarga boleh makan. Paati akan sediakan juadah khas yang boleh kamu semua makan bersama kawan-kawan nanti.” 

Demikian nenek akan berpesan kepada kami adik-beradik. Maka, setiap kali upacara pooja selesai, kami akan makan sedikit juadah yang diberikan oleh nenek. Kemudian, kami akan meluru keluar rumah membawa bekas tembaga berisi pelbagai juadah untuk dinikmati bersama-sama kawan-kawan dari seluruh Siru Kambam.

Namun, pada hari ini, saya dan kakak lebih berminat untuk mengetahui kisah di sebalik larangan nenek supaya kami tidak memandang ke arah bulan sabit di langit.

Adik pula pada mulanya berminat untuk turut mengambil tahu. Akan tetapi, sejurus sahaja selepas itu, dia sudah pergi mencari datuk untuk bermain.

Sejak semalam, nenek sudah membersihkan rumah. Emak pula diminta membersihkan bilik pooja yang menempatkan berhala dan gambar dewa-dewi.

Pada awal pagi tadi, ayah pergi ke pasar berdekatan Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong untuk membeli buah mangga, pisang dan nangka. Ayah juga membeli beberapa jenis bunga seperti yang dipesan oleh nenek.

Emak pula melukis kolem yang sangat cantik di hadapan rumah. Kolem menggunakan tepung beras juga dilukis di bilik sembahyang. Saya dan kakak turut membantu setakat termampu. 

Kemudian, sambil mulutnya terkumat-kamit mengulang-ulang seratus lapan nama Dewa Ganesha, nenek mencampurkan sedikit air ke dalam bekas kecil berisi serbuk cendana. Bahan itu lalu digenggam untuk membentuk rupa seperti Dewa Ganesha.

“Kalau di negara India, menjelang Vinayagar Chaturthi, orang ramai akan membuat patung warna-warni menggunakan tanah liat. Orang ramai juga boleh membeli pelbagai patung Dewa Ganesha di kedai.”

Saya dan kakak hampir serentak menoleh ke arah ruang tamu apabila terdengar suara datuk berkata begitu. Tentu datuk sedang bercerita kepada adik. Saya dan kakak berpandangan. Kemudian kami memandang nenek yang masih sibuk menyediakan modakam di dapur.

Mungkin datuk akan dapat menjawab pertanyaan kami berkenaan perkara yang nenek timbulkan. Maka, kami segera berlari-lari kecil ke ruang tamu.

Datuk sedang mengikat daun-daun mangga pada pintu. Pada bahagian tengah setiap daun mangga itu diletakkan titik serbuk cendana warna jingga dan kumkumam merah. Adik sedang berdiri di sisi datuk dan menghulurkan satu per satu daun mangga untuk digantung.

Saya dan kakak menunggu sehingga datuk menyelesaikan kerja yang sedang dilakukan. Sebaik sahaja beliau turun dari atas kerusi, kami berdua berlumba-lumba untuk menghampirinya.

“Taata! Taata!”

“Ya, ada apa?” Datuk bertanya selepas duduk di kerusi. 

“Taata! Tadi paati mengingatkan kami supaya tidak memandang ke arah bulan di langit pada hari ini,” kakak segera berkata sebelum saya sempat membuka mulut.

“Betul, taata,” adik pula mencelah. “Kita boleh jadi butakah kalau kita tengok bulan?”

“Tentu ada sebab yang munasabah ‘kan, taata?” Saya juga tidak mahu ketinggalan dalam mengemukakan pandangan berupa pertanyaan.

Datuk tidak segera menjawab pertanyaan kami. Beliau duduk selesa sebentar dan tersenyum sambil memandang kami bertiga silih berganti.

“Oh, nenek kamu ada mengingatkan, ya? Baguslah. Jadi, kamu bertiga jangan pula nakal-nakal dan cuba memandang ke arah bulan sabit pada malam ini.”

Adik segera duduk di atas pangkuan datuk dan mendongak memandang wajah beliau. Tangan kanannya mengelus-ngelus janggut datuk.

“Tapi kami nak tahu juga sebabnya, taata. Ceritakanlah,” katanya dengan manja.

Adik memang pandai memujuk dan saya yakin bahawa datuk akan segera akur pada permintaan adik. Menyedari hakikat itu, saya segera duduk bersila di sisi kiri kerusi datuk. Kakak pula duduk di sebelah kanan.

“Baiklah, taata akan ceritakan. Tapi sebelum itu, kamu semua tahu untuk siapa Vinayagar Chaturthi diadakan?”

“Untuk Dewa Ganesha!” Kami menjawab serentak.

“Dewa berkepala gajah dan berbelalai panjang,” adik pula menambah sambil segera turun dari pangkuan datuk dan menggunakan tangan kanannya untuk mengajuk aksi seekor gajah mengangkat belalai.

Datuk juga segera berdiri dan mengajuk aksi berkenaan. Kemudian datuk mengajuk cara berjalan orang yang berperut puncit.

“Pada zaman dahulu, pada hari sambutan Vinayagar Chaturthi, Dewa Ganesha sedang berkunjung dari rumah ke rumah,” datuk memulakan cerita.

Kami bertiga melompat-lompat sambil bertepuk riang melihat aksi lucu datuk.

Adik mula menyanyikan lagu “Pillayar, Pillayar” dan menari mengelilingi datuk. Saya dan kakak turut sama menyanyi lagu yang memuja Dewa Ganesha dan menari-menari mengikut rentak adik. 

“Adakah Dewa Ganesha juga datang ke Siru Kambam?” Kakak bertanya sambil menari berpusing-pusing mengelilingi datuk.

“Ya, ya. Tentu sekali. Bukankah ada ladang tebu di kampung kita? Dewa Ganesha memang suka makan tebu,” datuk menjawab seraya masih berjalan mengajuk gaya dewa berkepala gajah dan berperut buncit itu.

* Bersambung minggu depan.

* Uthaya Sankar SB menulis cereka ini untuk membantu orang ramai memahami maksud sebenar di sebalik sambutan “Vinayagar Chaturthi” oleh penganut agama Hindu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Talk of the web