Opinion

Jangan pandang sang bulan (Bahagian 2)

July 30, 2012

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

30 JULAI — Sejak dahulu, datuk dan nenek memang selalu menyampaikan cerita-cerita daripada epik dan purana. Akan tetapi, saya rasa datuk lebih pandai bercerita kerana beliau akan turut berlakon. Datuk juga akan menari-nari dan menyanyi sambil bercerita.

Nenek juga pandai bercerita dan suaranya merdu. Akan tetapi, nenek tidak pandai menari seperti datuk. Selalu juga nenek menyanyi semasa membuat kerja di dapur atau melipat kain. Tapi saya tidak pernah melihat nenek dan datuk duduk berbual bersama-sama.

“Dewa Ganesha juga suka makan modakam ‘kan, taata?” Adik bertanya sambil masih menari-nari mengelilingi datuk.

“Ya, ya. Tentu sekali. Jadi, pada zaman dahulu, Dewa Ganesha sedang pergi dari rumah ke rumah untuk menikmati juadah yang dihidangkan.”

“Dewa Ganesha menunggang seekor tikus, bukan?” Kakak pula menyoal.

Vinayagar Chaturthi tidak lengkap tanpa ‘modakam’.Sebelum datuk sempat menjawab soalan itu, adik mula menyanyi lagu “Mushika Vahana” yang menggambarkan Dewa Ganesha menggunakan seekor tikus sebagai wahana.

“Apa pula yang sedang berlaku ni?”

Gerak tari kami berempat terhenti sebaik mendengar suara teguran emak. Beliau sedang berdiri di pintu ruang makan dan memandang ke arah kami.

“Amma! Amma! Taata sedang menceritakan kepada kami bagaimana Dewa Ganesha datang menunggang tikus ke Siru Kambam,” adik menjawab sambil tersenyum lebar.

Emak menggeleng-geleng. Barulah saya menyedari bahawa emak sedang memegang sebiji pinggan berisi beberapa modakam yang nenek masak.

“Yeah, modakam!” Kami bertiga menjerit hampir serentak.

Emak menghampiri kami dan meletakkan pinggan itu di atas meja kecil.

“Sebelum paati hidangkan kepada Dewa Ganesha, bolehlah kamu tiga ekor tikus makan modakam ini dan beritahu sedap atau tidak.”

Adik ketawa sambil menutup mulut dengan kedua-dua tangan. Kami tahu bahawa emak tidak marah. Beliau memang selalu menggelarkan kami sebagai “anak-anak tikus” kerana tidak pernah duduk diam.

“Datuk tikus ini bagaimana, amma?” Saya bertanya sebelum turut menutup mulut dengan tangan kanan.

Emak yang sedang berjalan semula ke dapur berhenti sebentar dan menoleh ke arah kami. Beliau memandang ke arah datuk dengan sayu.

“Untuk datuk tikus juga,” katanya sebelum kembali ke dapur.

Lalu kami berempat makan modakam yang dihidangkan di atas pinggan itu. Memang emak meletakkan empat ketul sahaja.

“Mmmm, sedap! Sebab itulah Dewa Ganesha suka makan modakam,” kakak memberikan komen selepas kami masing-masing sudah menghabiskan hampir separuh modakam.

“Sebab itulah Dewa Ganesha makan banyak sehingga perutnya buncit!”

“Eh! Tak baik berkata begitu,” kakak cepat-cepat menegur adik.

“Tapi betul ‘kan, taata?” Adik pula memandang datuk.

Datuk tidak segera menjawab. Beliau memandang kami bertiga silih berganti dengan sayu. Kemudian tersenyum bagaikan teringat akan sesuatu.

“Betul juga. Dewa Ganesha memang suka makan modakam. Dalam cerita purana yang taata sedang ceritakan tadi, dewa berkepala gajah itu pergi dari rumah ke rumah dan makan semua modakam yang dihidangkan.”

Adik bertepuk riang; bagaikan komennya sebentar tadi mengenai Dewa Ganesha tidak salah sama sekali.

Datuk pula berpura-pura mengambil modakam dari tangan adik dan memakannya. Kemudian berpura-pura mengambil dari tangan kakak dan memakannya juga. Seterusnya datuk melakukan perkara sama pada saya.

“Selepas Dewa Ganesha pergi ke semua rumah di Siru Kambam dan makan semua modakam yang dihidangkan, perutnya sudah sangat penuh dan buncit.” 

Datuk segera berdiri dan kembali mengajuk cara orang berperut buncit berjalan. Adik pula bertepuk riang di sisi datuk.

Saya dapat membayangkan bagaimana Dewa Ganesha berjalan dengan perut yang penuh. Mungkin juga dewa berkepala gajah itu menari-nari riang sekeliling Siru Kambam kerana dapat menikmati juadah yang enak.

“Tentu Dewa Ganesha penat,” saya berkata apabila tiba-tiba teringat akan perkara itu. “Tentu penat untuk berjalan apabila perut sudah terlalu penuh selepas makan.”

Datuk berhenti menari dan mengelus-elus perut yang kononnya buncit. 

“Oh, ya! Penatnya apabila perut ini sudah terlalu penuh dengan modakam yang dimakan,” datuk berkata seperti mengajuk Dewa Ganesha. “Oh, di mana si tikus yang menjadi wahana saya?”

Datuk berpura-pura mencari-cari tikus yang menjadi kenderaannya. Adik melompat-lompat sambil mengangkat tangan.

“Oh, di sini rupanya. Mari sini, wahai tikus. Saya mahu menunggang kamu untuk pulang ke rumah.”

Adik segera berdiri di hadapan datuk bagaikan seekor tikus. Datuk memegang bahu adik dan mereka berdua berjalan sekeliling ruang tamu.

“Tiba-tiba muncul seekor ular!” Datuk bercerita dengan penuh dramatik. “Ular apakah itu?”

“Ular dari leher Dewa Shiva!” Kakak segera menjawab.

“Ular dari leher Dewa Shiva? Oh, tidak mungkin. Ular ini terlalu kurus,” datuk menyambung pula. “Tapi tikus kecil yang saya tunggang tadi sudah terkejut dan lari ketakutan.”

Adik segera berpura-pura ketakutan dan terkejut. Datuk terduduk di atas lantai dan memegang perut. Saya dan kakak terasa amat seronok menyaksikan lakonan mereka berdua.

“Oh, habis perut saya terburai. Habislah semua modakam yang saya makan tadi terkeluar dan bertaburan di atas jalan raya!”

Kami bertiga ketawa menyaksikan lakonan datuk.

“Ke mari kau, ular!” Datuk berpura-pura menangkap seekor ular. “Biar saya masukkan semula semua modakam ke dalam perut dan mengikat perut saya menggunakan ular ini sebagai tali pinggang.”

Saya tersenyum penuh tanda faham. Nampaknya sebab itulah pada gambar lukisan dan patung Dewa Ganesha, ada seekor ular diikat pada perut yang buncit. Tentu inilah kisahnya.

Pada saat itu, saya menyedari bahawa nenek sedang berdiri di pintu ruang makan dan menutup mulutnya dengan sebelah tangan. Mungkin nenek sedang ketawa tanpa suara melihat aksi lucu datuk.

Datuk mungkin turut menyedari kehadiran nenek tetapi beliau tidak pula menghentikan lakonannya. Sebaliknya datuk berpura-pura mendongak ke arah siling rumah.

“Siapakah yang sedang ketawa itu? Oh, kaukah itu, wahai bulan? Kau ketawakan aku selepas melihat semua yang berlaku?”

Datuk yang sedang memegang peranan dewa berkepala gajah itu berpura-pura mematahkan gading sebelah kanan dan membalingnya ke arah bulan sabit di lelangit rumah.

“Oleh kerana bulan ketawakan saya, maka pada setiap kali sambutan Vinayagar Chaturthi, jangan sesiapa pun memandang sang bulan di langit!” 

Saya memandang ke arah nenek di pintu ruang makan tetapi nampaknya beliau sudah kembali untuk meneruskan kerja-kerja di dapur. — Tamat

* Uthaya Sankar SB adalah penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97 dan 1998/99 serta Anugerah Duta Keamanan 2008.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Talk of the web