Jangan pernah lelah berjuang
| Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com). |
Sessi perkongsian dan diskusi.20 MEI — Mei 14 tahun silam adalah bulan kemuncak gerakan reformasi di Indonesia yang ditandai dengan jatuhnya Presiden Soeharto pada tanggal 21 Mei 1998 dan pengumuman pengunduran beliau disambut gembira masyarakat Indonesia terutama para mahasiswa yang berada di medan terdepan. Pada masa itu saya seorang pelajar Tingkatan 5 dan hari demi hari imej yang terpampang di media negara kita adalah kerusuhan dan keganasan yang diberitakan tanpa konteks dan bersifat negatif.
Tidak lama berselang, gerakan reformasi dalam konteks yang berbeza tiba di negara kita yang ditandai dengan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998. Malaysia yang sebelumnya berada dalam keadaan damai secara tiba-tiba dikejutkan dengan demonstrasi jalanan oleh penyokong Anwar Ibrahim dan aktivis-aktivis NGO yang kemudian menggelar diri mereka sebagai aktivis reformasi.
Dua peristiwa ini memberi impak besar dalam skala dan konteks berbeza kepada kedua negara, satunya berhasil menjatuhkan seorang diktator, Soeharto manakala satunya lagi gagal apabila rakan karib beliau, Mahathir Mohamad tetap ampuh di puncak kuasa.
Meskipun begitu perjuangan menuntut keadilan tetap terus berlangsung di Indonesia hingga kini dan hal ini wajib difahami oleh kita di Malaysia bahawa seandainya parti penguasa berjaya dijatuhkan itu bukanlah penamat kepada sebuah perjuangan. Sesungguhnya perjuangan menuntut keadilan dan penegakan hak asasi manusia tidak akan pernah berhenti dengan pergantian pemerintah, bahkan sebenarnya adalah permulaan fasa seterusnya.
Payung Hitam
Sabtu lepas, (12/5) saya menghadiri acara penayangan filem dokumentari berjudul ‘Payung Hitam’ di Mitra Bali dekat Ubud yang diproduksi oleh Peace Woman Across the Globe-Indonesia arahan Chairun Nissa. Filem ini mengisahkan perjalanan dua tokoh wanita yang memperjuangkan keadilan dan melawan pelupaan terhadap kes pelanggaran hak asasi manusia diIndonesia. Tokoh tersebut adalah Ibu Neneng, warga Rumpin di Bogor (Jawa Barat) yang melawan perampasan tanah penduduk oleh TNI (Angkatan Udara) seluas 1000 hektar dan Ibu Sumarsih yang terus memperjuangkan haknya untuk mengadili pembunuh anaknya, Wawan yang ditembak aparat pemerintah di depan Universiti Atmajaya sewaktu aksi massa reformasi pada Jumaat, 13 November 1998.
Sewaktu diskusi, produser Olin Monteiro membentangkan fakta menarik tentang Ibu Sumarsih yang gigih melakukan aksi damai setiap Khamis jam 4 petang (sehingga 10/5 sudah 258 kali) di luar halaman Monas menghadap Istana Presiden. Setiap hari itu, pejuang dari berbagai kes mulai era `65 hingga kini akan berdiri di depan istana, memegang payung hitam dan membawa berbagai pesan untuk disampaikan ke Presiden untuk ditindaklanjuti. Jadi jika anda kebetulan berada di Jakarta pada hari Khamis, silakan memberi solidariti kepada ibu ini dan mangsa-mangsa lainnya yang cekal melawan pelupaan oleh negara.
Sementara itu pada Ahad, (13/5) di Jakarta telah diadakan peringatan ‘14 Tahun Kerusuhan Mei 1998’ dan kesempatan tersebut digunakan Komisioner Komnas Perempuan, Ninik Rahayu untuk menuntut penegakan hukum terhadap kes-kes kekerasan mulai dari Tragedi 1965 sehingga kini.
Perjuangan tanpa henti kelompok aktivis dan masyarakat di Indonesia memberi pelajaran penting kepada kita di Malaysia untuk mempersiapkan mental dan fizikal supaya jika terjadi perubahan, elit politik berwajah baru yang hadir dengan janji-janji manis perlu terus diawasi supaya tidak mengulangi kesalahan elit penguasa di negara jiran. Lazimnya, parti politik yang berkuasa cenderung untuk melakukan apa saja untuk mempertahankannya dan di sinilah kekuatan baru pasca-Bersih 3.0 seperti masyarakat sivil, mahasiswa dan kaum intelektual sangat diperlukan supaya janji-janji perubahan dilaksanakan seterusnya meningkatkan wacana dan budaya politik di Malaysia menuju politik idea (matang) yang bebas dari bebalisme hujah ‘parti berkuasa adalah negara’ dan ‘kuasa Melayu diancam Cina’.
Reformasi kedua Indonesia
Bersama Tim productionSedang kita menunggu kejayaan reformasi, seperti dilaporkan akhbar Kompas (14/5), Indonesia sedang bersiap-siap untuk reformasi kedua iaitu sebuah gerakan yang dibangun bersama melibatkan seluruh komponen bangsa dan model gerakan yang ingin dicipta adalah gerakan moral bersama-sama. Reformasi kedua sangat diperlukan kerana masyarakat Indonesia secara umum menilai reformasi masih jauh dari harapan.
Di dalam jejak pendapat tersebut, Kompas melaporkan bahawa dari sembilan isu yang diusung saat reformasi, hanya dua hal yang dirasakan rakyat sudah terpenuhi, iaitu kebebasan berpolitik dan kebebasan berekspresi. Agenda-agenda lain masih jauh dari harapan rakyat terutama ketersediaan bahan keperluan asas yang harganya terjangkau. Juga kinerja pemberantasan korupsi, penegakan supremasi hukum, pengusutan kes penculikan aktivis dan pengusutan kes kerusuhan 13-15 Mei 1998 dan masih kuatnya pengaruh Soeharto dan kroni-kroninya di panggung politik.
Hal tersebut tidak mengejutkan kerana sepanjang pengalaman saya berdiskusi bersama teman-teman aktivis dan rakyat biasa di Indonesia membenarkan hasil jejak pendapat ini. Dalam hal kebebasan berekspresi yang termasuk di dalamnya kebebasan media dan menerbit media, rakyat Malaysia yang berkunjung ke Indonesia dan peka terhadap sekeliling pasti dapat merasainya apabila Presiden Indonesia secara terbuka dikrtitik di televisyen & surat khabar, sesuatu yang tidak akan berlaku di zaman Soeharto apatah lagi di Malaysia.
Tidak sekadar itu, hak untuk menerbit media juga tidak disulitkan seperti di Malaysia dan istilah media alternatif mempunyai makna berbeza di sini. Lihat saja represifnya negara kita apabila permohonan Malaysiakini untuk menerbit akhbar bercetak dinafikan tanpa alasan yang jelas dan anehnya kewujudan media alternatif dan media parti pembangkang dihujahkan bahawa wujudnya kebebasan media dan menerbit media di negara kita. Kefahaman yang salah dan songsang ini malangnya diangkat sebagai hujah yang dibanggakan kelompok penentang kebebasan media & menerbit media.
Kalau dulu saya pernah berkata kepada kawan-kawan bahawa sampai mati pun Selangor tidak akan jatuh dari tangan Barisan Nasional seperti mana tidak akan masuknya skuad bola sepak negara ke Piala Dunia. Namun rakyat membuktikan sebaliknya apabila tahun 2008 keajaiban telah terjadi walaupun berhadapan dengan media yang berat sebelah dan sistem pilihanraya yang cenderung melakukan kecurangan halus. Semoga perkara sama terjadi dalam hal kebebasan berekspresi kerana alangkah indahnya apabila stesen televisyen dan surat khabar dibenarkan bebas untuk berpihak kepada siapa pun atau kekal pro-rakyat seperti bebasnya saya memilih menonton stesen TVOne milik Parti Golkar atau Metro TV milik Parti Nasdem dan membaca akhbar cetak Kompas atau Republika atau media internet, Detik.com.
Dalam hal-hal yang belum tercapai, saya mendoakan yang terbaik untuk rakyat Indonesia terutama upaya membanteras rasuah yang sangat mendarah daging dari tingkat paling rendah hingga ke atas. Perjuangan melawan rasuah menurut saya merupakan jihad terpenting kerana kebanyakan perasuah adalah politikus (lanun reformasi) yang pintar merampas agenda reformasi tentang kebebasan berpolitik demi kepentingan mereka.
Jika di Malaysia parti politik baik BN atau PR masih dianggap sebahagian besar rakyat sebagai obor yang boleh dipercaya, hal yang sama tidak terjadi di Indonesia di mana parti politik adalah sarang para elit berebut kek ekonomi dan rakyat dibiarkan mencari solusinya sendiri. Semoga kedepannya mereka akan sedar diri sebelum kesedaran rakyat Indonesia untuk menuai reformasi kedua atau lebih esktrem revolusi benar-benar terjadi.
Sekiranya rasuah berjaya diminimakan, saya percaya ekonomi Indonesia secara perlahan-lahan akan meninggalkan kita sekiranya tren kesombongan Malaysia sebagai orang kaya baru diteruskan. Kini pun Indonesia dihuni seramai 130 juta kelas menengah yang sosoknya mudah ditemui di Orchard Road, perlumbaan Formula 1 di Sepang dan Singapura dan Bukit Bintang.
Pelajaran dari semua ini perjuangan menuntut perubahan dan keadilan tidak akan menemui titik noktah dan akan terus bergulir sepanjang masa dan sosok seperti seorang Ibu Sumarsih inilah yang wajib dilipat gandakan kuantiti dan kualitinya supaya penguasa akan terus dipaksa mendahulukan keadilan dan kesejahteraan rakyat.
Di akhir filem ‘Payung Hitam’, Ibu Neneng membuktikan perjuangan warga desa Rumpin tidak sia-sia apabila TNI (Angkatan Udara) meski belum mengembalikan hak tanah kepada rakyat, telah menghentikan projek yang merosak lingkungan di sana. Masyarakat boleh bernafas kembali walaupun entah sampai bila.
Intinya, baik perjuangan menuntut pilihan raya bersih dan adil, kebebasan berekspresi, melawan rasuah, menuntut gaji minima, melawan lupa tragedi Memali, penegakan hukum untuk mangsa tragedi Taman Medan, tragedi 13 Mei dan banyak lagi adalah jangan sesekali mengeluarkan kata lelah, penat dan bosan walaupun hasilnya entah bila akan dinikmati. Salut untuk semua pejuang!
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.







