Opinion

Karma, atma dan samsara — Bahagian 1

May 07, 2012

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

7 MEI — Masyarakat India pada umumnya percaya bahawa kelahiran, kehidupan dan kematian adalah umpama lingkaran yang berterusan. Istilah Sanskrit yang digunakan untuk menerangkan konsep ini adalah “samsara”.

Jiwa atau “atma” akan melalui proses “samsara” dalam usaha mencapai “moksha” atau “nirvana” iaitu keadaan bebas daripada sebarang ikatan duniawi dan kembali menemui Pencipta.

Orang India juga pada umumnya percaya bahawa individu yang hidup sebagai manusia pada kelahiran ini tidak semestinya telah hidup sebagai manusia pada kelahiran lalu. Begitu juga, tidak semestinya dia hidup sebagai manusia pada kelahiran seterusnya.

Sebaliknya, kehidupan ditentukan oleh “karma” iaitu kepercayaan bahawa kebaikan dibalas dengan kebaikan dan kejahatan dibalas dengan kejahatan. Konsep ini boleh juga difahami sebagai “law of cause and effect” di mana setiap tindakan membawa tindak balas setimpal.

Pengalaman kehidupan lampau (samskara) dikaji secara mendalam sejak dahulu.Orang ramai perlu tahu bahawa pandang dunia (world view) tamadun India yang berusia ribuan tahun adalah amat berbeza dengan tamadun-tamadun lain yang muncul kemudian.

Perlu juga dijelaskan bahawa konsep “karma” bukan berkaitan dengan agama Hindu semata-mata. Malah, “karma” juga dipraktikkan oleh penganut agama Buddha dan Jain; serta mula mendapat perhatian masyarakat dunia tanpa mengira agama.

Sebenarnya, konsep “karma” lebih merupakan kepercayaan dan kebudayaan masyarakat India; bukan ajaran agama Hindu semata-mata. Perkara ini pernah saya sentuh dalam suatu tulisan di majalah Dewan Agama & Falsafah pada Ogos 2004.

Menurut kepercayaan masyarakat India sejak zaman-berzaman, apabila seseorang meninggal dunia, hanya jasad atau tubuhnya yang mengalami kematian. Sebaliknya, jiwa atau “atma” akan memulakan hidup baru dengan menghuni jasad baru. Apakah bentuk jasad pada kehidupan baru akan ditetapkan pula oleh “karma” yang dikumpul oleh “atma” terbabit.

Segala maklumat berkaitan “karma” pada kehidupan lampau juga dipercayai terakam pada minda atau jiwa. Istilah Sanskrit yang digunakan untuk merujuk pada perkara ini adalah “apurva” atau “adrsta”. Maklumat “apurva” inilah yang dikatakan menentukan tingkah-laku serta gaya hidup pada kelahiran seterusnya.

Harus dinyatakan bahawa apa-apa yang diterangkan di sini adalah secara umum dan amat mudah sahaja. Makalah ini tidak mungkin menjadikan seseorang itu pakar budaya India atau pakar agama Hindu. Sebaliknya, saya berusaha memperkenalkan budaya kaum India secara amat asas kepada masyarakat pelbagai kaum.

Konsep ‘karma’ turut menjadi pegangan orang Cina dan agama Buddha.Berbalik pada perbincangan tadi, “apurva” dikatakan terakam pada minda bawah sedar. Maknanya, seseorang individu biasanya tidak menyedari apakah “karma” yang telah dikumpulnya pada kehidupan lalu. Walaupun begitu, hukum “karma” akan tetap memainkan peranan dalam menentukan kehidupan individu terbabit.

Namun, masyarakat India percaya bahawa ada waktunya seseorang boleh teringat akan “samskara” atau pengalaman kehidupan lampau. Ada orang yang tiba-tiba dapat membayangkan suatu insiden yang berlaku puluhan tahun lampau; bagaikan insiden itu pernah mereka alami sendiri.

Konsep atau kisah berkaitan “samsara” sudah banyak kali disajikan menerusi filem Tamil dan Hindi sejak puluhan tahun dahulu. Sebenarnya, konsep itu diambil daripada ajaran serta kepercayaan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat India sejak ribuan tahun lalu.

Contoh yang paling mudah adalah filem Tamil keluaran tahun 1984 berjudul “Enakkul Oruvan” (“Orang Lain di dalam Tubuhku”) di mana watak utama lakonan Kamal Hassan tiba-tiba teringat akan kehidupan lalu. Filem berkenaan adalah pembikinan semula filem Hindi berjudul “Karz” (1980) lakonan Rishi Kapoor.

Kaum India percaya bahawa hidup/mati adalah lingkaran berterusan.Kejadian aneh di mana seseorang teringat akan pengalaman “samsara” bukan hanya dilaporkan berlaku dalam masyarakat India tetapi turut dilaporkan berlaku di serata dunia. Sebab itulah “karma” dipercayai tidak hanya terhad kepada penganut agama Hindu tetapi sebaliknya terdapat dalam kepercayaan dan budaya masyarakat seluruh dunia.

Contoh lain yang sering diberi oleh masyarakat India adalah mengenai kanak-kanak yang memiliki bakat semula jadi yang tidak terduga. Misalnya, katakanlah seorang kanak-kanak tiba-tiba sahaja boleh bermain alat muzik tradisional dengan hebat walaupun ibu bapa serta nenek-moyangnya tidak sedikit pun memiliki asas dan bakat muzik.

Dalam keadaan seperti itu, masyarakat India akan sama ada menganggap bakat itu sebagai anugerah Tuhan atau dikaitkan dengan “samskara”, “apurva” dan “karma”.

Sesunggunya, konsep “karma” tidak hanya merujuk pada tindakan dan kesan negatif. Katakanlah seseorang suka mencuri. Semakin dia mencuri, semakin bertambah dosa yang ditanggung. Dosa yang dikumpul itu adalah akibat perbuatan diri sendiri dan bukan disebabkan oleh orang lain.

Sebaliknya, apabila seseorang suka membantu, maka dia akan mendapat pahala dan berkat. Dia akan mula dihormati dan disegani orang ramai. Kesan positif yang diterima itu juga adalah kesan daripada perbuatannya dan bukan kerana perbuatan orang lain.

Hal yang sama juga berlaku pada “karma”. Namun, masyarakat India membahagikan “karma” kepada tiga bentuk iaitu “prarabdha karma”, “sancita karma” dan “agami karma”. Saya akan berusaha menerangkannya secara lebih lanjut pada minggu depan.

* The views expressed here are the personal views of the columnist.

Talk of the web