Opinion

Kebanjiran warga asing di Kuala Lumpur: Di manakah titik penghujungnya?

May 06, 2012

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

6 MEI — Isu kebanjiran warga asing ke negara ini khususnya di ibu kota Kuala Lumpur bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sebaliknya, isu berkenaan sudah berkali-kali dibangkitkan dalam media massa dan di kalangan pemimpin politik tetapi semuanya berakhir tanpa sebarang satu jalan penyelesaian yang konkrit.

Saban hari, ada sahaja berita-berita yang tersiar dalam media massa yang memaparkan warga-warga asing terlibat dalam kegiatan jenayah, sindiket penyeludupan dadah, pelacuran, pemerdagangan manusia dan pasaran gelap.

Penyiasatan telah dilakukan, begitu juga dengan tangkapan namun nampaknya semua ini tidak mematahkan warga asing untuk masuk semula ke Malaysia.

Nampaknya, Malaysia begitu digemari oleh warga asing untuk mencari nafkah kerana kos sara hidupnya tidak setinggi berbanding dengan kota-kota lain selain penguatkuasaannya yang didakwa sesetengah pihak kurang tegas.

Namun apa yang cukup membimbangkan ketika ini, kehadiran warga-warga asing ini bukanlah dalam sebuah kumpulan kecil tetapi dalam sekumpulan besar yang cukup menggerunkan.

Kehadiran mereka cukup terserlah terutamanya pada hari kelepasan am dan hujung minggu. Kalau tidak percaya, cuba kunjungi Jalan Silang berdekatan dengan kompleks Kota Raya pada hujung minggu dan anda akan dapati begitu ramai warga asing yang berkumpul di sana.

Komposisi warga asing yang datang ke negara ini pula cukup pelbagai hinggakan Kuala Lumpur kini diibaratkan sebagai kota metropolitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ada warga Pakistan, Nepal, Burma, Vietnam, Nigeria, Sudan, Bangladesh, Indonesia, Filipina dan ramai lagi.

Bagi penduduk ibu kota, kebanjiran warga asing yang semakin serius sejak kebelakangan ini telah mengundang pelbagai kebimbangan. Antaranya termasuklah aspek keselamatan, sumber mata pencarian yang semakin menyusut dan kecenderungan warga asing untuk membentuk perkampungan mereka sendiri.

Pemandangan sedemikian seolah-olah menjadikan bandar Kuala Lumpur ibarat sebuah bandar asing, dan bukan lagi bandar Kuala Lumpur yang sebenar-benarnya yang kita kenal selama ini.  

Kebanjiran warga asing yang keterlaluan ini secara tidak langsung boleh memberikan impak yang amat buruk kepada usaha murni Kementerian Pelancongan dalam mempromosikan Malaysia sebagai sebuah hab pelancongan terkemuka dunia.

Justeru, apa sudah jadi dengan proses pemantauan, penguatkuasaan dan kawalan oleh pihak imigresen terhadap kemasukan warga asing ke Malaysia? Mengapakah begitu banyak lompong yang masih belum diperbaiki?

Tidak dinafikan trend kemasukan warga asing ke negara ini bukanlah satu trend yang terpinggir kerana ia juga berlaku di serata pelosok dunia. Dalam era globalisasi yang menjadikan dunia semakin mengecil, kita tidak mungkin dapat menghalang kemasukan warga asing ke negara ini untuk mencari nafkah.

Selagi ada permintaan dan selagi mereka datang ke negara ini dengan cara yang sah, kemasukan mereka tidak boleh dihalang. Namun begitu, ada baiknya juga jika kemasukan dan kebanjiran warga asing dikawal dengan ketat.

Pendirian tersebut bagaimanapun tidaklah bermakna bahawa Malaysia mahu menyekat sumber rezeki warga asing di negara ini, jauh sekali bersikap anti-imigran dalam konteks tersebut.

Akan tetapi, disebabkan bilangan mereka di Malaysia sudah mencapai satu tahap cukup serius - ia menuntut tindakan tegas dan segera pihak berkuasa. Ada asasnya mengapa pendekatan tersebut harus diambil. Mengambil isu penularan sesuatu penyakit berjangkit sebagai analogi, sebarang kelewatan untuk bertindak hanya akan memburukkan situasi. Kelewatan mengambil tindakan untuk membendung penularan penyakit berjangkit boleh menyebabkan lebih ramai orang akan mati. Apakah kita perlu sampai ke tahap itu?

Oleh itu, adalah sesuatu yang kurang bijak untuk pihak berkuasa menunggu dan membiarkan perkara sedemikian bertambah buruk, baharu ada tindakan susulan diambil. Pada ketika itu, segala-galanya mungkin sudah terlambat!

Walaupun pihak berkuasa ada mengambil tindakan terhadap warga-warga asing namun pada pengamatan penulis, ia masih belum memadai dan boleh ditambahbaik. Aspek penguatkuasaan tidak perlu memilih bulu. Mereka yang didapati bersalah haruslah diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpalnya. Selain itu, cetuskan satu suasana gerun dalam diri setiap individu tidak kira rakyat Malaysia sendiri mahupun warga asing terhadap perundangan sedia ada.

Alasan yang mengatakan bahawa semuanya masih dalam keadaan terkawal tidak wajar dijadikan penghalang untuk terus mengawasi rapi pergerakan warga-warga asing berkenaan. Mengapa perkara tersebut perlu diberi penekanan? Kerana ia melibatkan soal keselamatan negara.

Bayangkan apa akan terjadi kepada Malaysia selepas ini jika warga-warga asing dibiarkan menguasai bandar-bandar utama (sesuatu yang sudah pun berlaku ketika ini), menguasai sumber ekonomi dan pasaran guna tenaga kerja kita satu hari nanti.

Tidak mustahil jika rakyat Malaysia yang selama ini menjadi tuan punya milik negara tercinta ini pula terpaksa menjadi “minority within minority” dan terpaksa hidup merempat. Implikasinya terhadap sistem sosial dan kestabilan negara ini juga cukup dahsyat jika perkara ini tidak ditangani dengan baik.

Kelewatan untuk menanganinya hanya akan menyebabkan warga-warga asing yang berada di Malaysia menjadi semakin berani dan tidak menghormati undang-undang. Logiknya, senario sebegini tidak sepatutnya terjadi. Bagi warga asing yang datang mencari nafkah di mana-mana negara sekalipun, mereka haruslah mematuhi segala perundangan yang ditetapkan.

Penulis berharap agar pendekatan menangani masalah kebanjiran warga asing tidak dilakukan secara bermusim. Ia perlu konsisten dan diiringi dengan elemen kejutan. Biar langkah yang diambil tidak popular, tetapi keselamatan rakyat di negara ini menjadi keutamaan.

Jangan sudah terhantuk, baru terngadah!

* Pandangan di atas hanyalah suara hati peribadi penulis.

Talk of the web