Keberagaman Indonesia dari kaca mata Malaysia
| Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com). |
20 JULAI — Secara umum di mata rakyat Malaysia, keberagaman di Indonesia dilihat lebih dirayakan dan menjadi suatu kekuatan utuh yang dimanifestasikan dalam bentuk slogan Bhinneka Tunggal Ika dan sebuah kesatuan negara yang diberi nama Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI).
Indonesia difahami majoriti rakyat Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri dari berbilang etnik dan agama yang disatukan atas nama bangsa Indonesia. Ekspresi bangga dan rasa nasionalisme rakyat Indonesia boleh dilihat dan dirasakan rakyat Malaysia yang menetap di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Klang dan Johor Bharu kerana jumlah rakyatnya yang besar.
Menjadi suatu hal yang biasa bagi rakyat Malaysia membicarakan dan memuji semangat nasionalisme rakyat Indonesia dan keberagaman yang sentiasa dirayakan. Berbeza dengan Indonesia, keberagaman di Malaysia tidak dirayakan secara substansial sebaliknya digunakan pemerintah yang berkuasa sejak meraih kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 untuk kelangsungan kuasa mereka dengan mengadu domba rakyat berbeda etnik dan agama dan akhir-ahir ini demi keperluan sektor pelancongan.
Di Malaysia masih terjadi diskriminasi atas nama etnik di mana etnik bukan Melayu dan bukan Bumiputera iatu etnik Cina dan India dinafikan hak mereka dalam beberapa hal seperti pemberian biasiswa pendidikan, kemasukan ke universiti, sektor awam dan banyak lagi. Melayu di Malaysia diertikan sebagai “bangsa” yang merangkumi etnik Melayu itu sendiri, Jawa, Banjar, Mandailing, Minang, Batak, Bowean, Acheh, Siam dan banyak lagi. Jika merujuk Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditakrifkan dalam Perkara 160(2) sebagai seseorang yang beragama Islam. Lazimnya, mereka ini bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Seseorang itu dikatakan Melayu apabila lahir sebelum kemerdekaan di Persekutuan atau di Singapura; atau ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura; atau pada hari merdeka menetap di Persekutuan atau di Singapura. Mudah kata erti Melayu di Malaysia dimaknai berbeza dengan di Indonesia yang dikelaskan sebagai etnik.
Pengkelasan etnik seperti ini dilakukan oleh penjajah British untuk membezakan warga Melayu dan Bumiputera dengan warga “pendatang” pada waktu itu iaitu warga Cina dan India. Bumiputera pula diertikan sebagai warga pribumi yang tinggal di bahagian negeri Sabah dan Sarawak yang terletak di Pulau Borneo. Berbeza dengan Melayu yang automatik Islam seperti ditakrif dalam Perkara 160(1), seseorang Melayu dikira automatik sebagai Islam sebaik sahaja dilahirkan sebagai Melayu, warga yang tergolong dalam golongan Bumiputera boleh menganut agama apa sahaja.
Pentakrifan dan pengkelasan seperti ini yang didasarkan kepada sejarah hubungan panjang dan negosiasi di antara penjajah British, masyarakat Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak serta masyarakat Cina dan India dalam pembentukan sebuah negara bernama Malaysia pasti membingungkan warga Indonesia. Maka, banyak rakyat Malaysia terutama kaum bukan Melayu dan kaum Melayu progresif melihat Indonesia sebagai suatu model kewarganegaraan yang lebih inklusif dan tidak mendiskriminasi. Meski demikian beberapa konflik yang terjadi di antara Malaysia dan Indonesia beberapa tahun belakangan baik yang didakwa sebagai klaim budaya oleh Malaysia dan perampasan wilayah Indonesia semakin mempersulit apesiasi warga Malaysia terhadap Indonesia.
Mahasiswa Malaysia
Sejak zaman Soekarno sehingga pasca-reformasi, pemerintah Malaysia terus menerus menghantar rakyatnya untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia terutama di bidang kedoktoran di beberapa universiti unggulan seperti Universitas Trisakti di Jakarta, Universitas Gajah Mada di Yogyakarta dan Universitas Udayana di Bali. Sejak hubungan Malaysia-Indonesia memanas, mahasiswa Malaysia di Indonesia secara umumnya mengalami diskriminasi secara psikologi dari beberapa kelompok “nasionalis sempit” di universiti baik itu pelajar mahupun pensyarah.
Beberapa mahasiswa yang saya temui menyebut beberapa diskriminasi yang terjadi kepada mereka seperti pemberian markah yang rendah untuk sesuatu mata pelajaran dan jika sedang dalam klinikal, fakta tentang pesakit dan lain-lain yang diberi oleh doktor dari Indonesia bersifat tidak lengkap sedangkan mahasiswa Indonesia mendapat perlakuan yang lebih baik.
Pelancong Malaysia
Beberapa tahun belakangan, kedatangan pelancong Malaysia ke Bali semakin meningkat dan berdasarkan laporan berita Antara (5/6), “Selama 2011 masyarakat Malaysia yang berkunjung ke Bali sebanyak 151,716 orang atau meningkat 11.71 persen dibandingkan tahun 2010 yang hanya tercatat 135,811 orang. Malaysia menempati peringkat keempat setelah Australia, China, dan Jepang dari 10 negara terbanyak memasok turis ke Pulau Dewata.”
Hal ini tidak terlepas dari demokrasi aviasi yang dibawa ke rantau ASEAN oleh syarikat penerbangan biaya rendah, AirAsia. Kini masyarakat Malaysia boleh berkunjung ke Bali dengan mudah kerana tambang pesawat yang semakin murah berbanding dahulu (sebelum wujud AirAsia) dan kekerapan jumlah penerbangan Kuala Lumpur-Bali.
Kedatangan pelancong Malaysia yang majoriti Muslim ini berdampak besar terhadap industri pelancongan di Bali dalam hal menjual keberagaman yang wujud di pulau beribu pura ini. Majoriti pelancong Muslim Malaysia selama ini mempunyai persepsi bahawa Pulau Bali adalah Hindu yang secara tidak langsung membawa erti ketersediaan makanan halal sangat terbatas.
Oleh kerana majoriti pelancong Muslim Malaysia amat teliti dalam soal makanan, mereka sering dinasihatkan untuk berhati-hati ketika melancong di Bali terutama di dalam bab makanan halal. Meski demikian persepsi bahawa Bali itu Hindu dan makanan halal itu sulit dicari mulai hilang perlahan-lahan akibat ketersediaan informasi yang lebih luas di Internet tentang kewujudan masyarakat Muslim yang besar di Bali dan tentunya makanan halal. Kini telah wujud beberapa perusahaan yang menawarkan tur khusus untuk pelancong Muslim dalam soal makanan halal, masjid dan ziarah ke makam-makam dan kampung-kampung Muslim di sekitar Bali.
Apa yang menarik tur bernuansa Musim ini tidak menidakkan dan meminggirkan sama sekali ciri dan karakter khas Bali yang kental Hindunya. Kebanyakan pelancong Muslim Malaysia ini tetap meminati dan menghargai kebudayaan Bali yang Hindu dengan mengunjungi atraksi dalam bentuk pura seperti Pura Uluwatu, Pura Tanah Lot, Pura Besakih dan banyak lagi. Banyak respon pertama dari pelancong Muslim Malaysia terhadap masyarakat Bali sangat menarik untuk ditulis di sini. Salah satu respon paling popular dan sering diungkap adalah, “Muka mereka Melayu, tetapi agamanya Hindu” yang menjelaskan kefahaman mereka selama ini terhadap erti Melayu seperti dimaknai di Malaysia.
Dalam satu sisi, pelancong Muslim Malaysia yang berkunjung ke Bali mendapat pelajaran berharga di mana identitas etnik dan agama yang kental tidak terjadi secara umumnya di Indonesia di mana keberagaman etnik dan agama itu sangat dihargai walaupun mengalami penurunan beberapa tahun kebelakangan ini. Namun tidak dapat dinafikan secara relatif keberagaman di Indonesia masih jauh lebih baik dari Malaysia dan hal ini banyak dihargai pelancong Muslim Malaysia yang progresif.
Jalan ke hadapan
Baik mahasiswa atau pelancong, persepsi warga Malaysia terhadap Indonesia dan keberagamannya terus menerus mengalami proses turun dan naik seiring dengan penguatan identiti berbasis etnik yang semakin menguat di Indonesia pasca-reformasi melalui desentralisasi dan keliaran demokrasi yang melahirkan organisasi massa ekstrem seperti Pemuda Pancasila, Front Pembela Islam, Laskar Bali dan banyak lagi.
Kes klaim budaya, penindasan terhadap TKI, perampasan wilayah dan sebagainya yang sering menguji hubungan kedua buah negara harus diselesaikan melalui komunikasi jujur pemerintah dua negara dan harus bertemu lebih kerap untuk mencari kata sepakat dalam hal budaya dan sebagainya. Sebagai rakyat yang sedar dan peduli, jangan sesekali membiarkan pemerintah kedua negara membodohi rakyat dengan mencari musuh bersama iaitu Indonesia bagi pemerintah Malaysia dan sebaliknya. Rakyat kedua-dua buah negara harus lebih cerdas mencermati apa yang sebenarnya terjadi dan sentiasa bersikap kritikal terhadap berita-berita sensasi yang menjual dan mengadu domba.
Peranan pemerintah dan rakyat kedua buah negara amat penting di dalam menguatkan dan mengarahkan keberagaman di Indonesia dan juga Malaysia ke arah yang lebih mencerahkan. Sudah sampai masanya keberagaman dirayakan dan salah satu caranya dengan memaknai Nusantara secara lebih luas merangkumi wilayah Indo-China, Malaysia, Singapura, Brunei dan Filipina kerana kita semua pernah berada di bawah satu kerajaan yang sama iaitu Sriwijaya, Majapahit dan Melaka yang menghargai keberagaman.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.





