Opinion

Kisah Cik Timun Busuk

April 30, 2012

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

30 APRIL — Ini sebuah faksyen tentang Cik Timun Busuk. Kisah ini berjaya ditulis hasil maklumat daripada empat rakannya yang meminta nama mereka dirahsiakan atas tujuan keselamatan.

Anda mungkin pernah mendengar nama Cik Timun Busuk. Dia mula tiba-tiba lantang bersuara sejak timbul kontroversi berhubung berhala Dewa Shiva pada Disember 2010.

“Mana boleh penduduk Siru Kambam menolak berhala yang diperbuat daripada batu hitam itu? Mereka perlu menerimanya tanpa sebarang bantahan.”

Demikian Cik Timun Busuk berhujah dari pentas ke pentas yang dibina Persatuan Pengukir Berhala (Perpena) dan badan-badan yang bergabung di bawahnya.

“Semasa saya mengajar di sebuah kolej di Pulau Pinang dulu, kami mengkaji macam-macam berhala. Patung Dewa Shiva memang ada dalam pelbagai bentuk dan rupa. Para pelajar saya tidak menghadapi apa-apa masalah untuk mengkajinya,” katanya berulang kali.

Namun, suatu perkara yang tidak dinyatakan secara terbuka oleh Cik Timun Busuk adalah bahawa dia secara khusus amat ghairah melihat patung yang sedang cuba dijadikan berhala untuk diletakkan di mulastanam Kuil Sivaperuman.

Cik Timun Busuk turut terlibat dalam kes kehilangan wang di kolej anaknya.“Saya sangat suka melihat patung yang diukir dengan alat sulitnya yang tegang. Sungguh mengghairahkan!”

Demikian dia mengakui kepada Encik Limau, Encik Salib, Penerima Anugerah Laut, Raja Se(ri)gala Bahasa dan sekutu mereka yang sama-sama berjuang memastikan patung Dewa Shiva yang penuh dengan pelbagai kelemahan itu tetap dijadikan berhala di Kuil Sivaperuman dan disembah penganut beragama Hindu di Siru Kambam.

“Betul juga tu,” kata Raja Se(ri)gala Bahasa yang pada mulanya lantang bersuara mengatakan patung itu tidak sesuai diletakkan di sebuah kuil. “Saya pun sudah mula rasa ghairah. Maka, mulai saat ini, saya akan bersama-sama anda semua menyokong perjuangan ini.”

Lalu, pelbagai strategi licik diatur untuk memastikan tidak ada sesiapa yang berani menentang usaha mereka mempersenda amalan penganut agama Hindu di Siru Kambam.

Kumpulan itu hampir-hampir berjaya mempengaruhi ketua panchayat supaya menolak usul yang dibawakan penduduk setempat dan seterusnya mengisytiharan bahawa patung Dewa Shiva dalam posisi berbogel bulat itu harus diletakkan di mulastanam dan disembah.

Untuk seketika, Cik Timun Busuk, Encik Limau, Encik Salib, Raja Se(ri)gala Bahasa dan Penerima Anugerah Laut melupakan perbezaan yang wujud. Melupakan rasa benci sesama sendiri dalam usaha masing-masing mahu menjadi pengukir berhala terhebat di Siru Kambam.

Apabila Encik Limau dicalonkan untuk Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam tidak lama dahulu, Cik Timun Busuk cepat-cepat menghubungi seorang wartawan akhbar nyamuk dan mendedahkan pelbagai rahsia mengenai calon itu. Berita dilaporkan dan akhirnya Encik Limau hilang peluang.

Raja Se(ri)gala Bahasa pula pernah berpura-pura baik dengan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam yang diterajui seorang pakar ikonografi. Dia mahu menjadi gunting dalam lipatan dan duri dalam daging. Akan tetapi, Encik Limau tampil mendedahkan segala rancangan wanita itu kepada kumpulan berkenaan.

Penerima Anugerah Laut turut membenci Kumpulan Ikonografer Siru Kambam kerana kumpulan itu berjaya membuktikan bahawa terdapat 16 kelemahan yang menjadikan patung Dewa Shiva yang dilobi oleh Perpena tidak sesuai dijadikan berhala di mana-mana kuil.

“Ikonografer itu dan kumpulannya telah melukakan hati, perasaan dan jiwa para pejuang berhala di Siru Kambam. Luka ini tidak akan sembuh dengan cepat. Maka, kita perlu membuat kempen besar-besaran memboikot dan memusnahkan masa depan mereka.”

Demikian kata Penerima Anugerah Laut pada suatu mesyuarat Perpena. Dialog sama digunakan untuk memujuk pelbagai pertubuhan dan agensi di seluruh negara supaya tidak memberi apa-apa peluang kepada ahli Kumpulan Ikonografer Siru Kambam untuk berkarya.

Perancangan jahat itu juga sampai kepada pengetahuan kumpulan terbabit kerana Cik Timun Busuk menyerahkan rakaman MP3 mesyuarat Perpena kepada pemuda yang mengetuai kumpulan berkenaan.

Demikian realiti yang wujud dalam kalangan pasukan itu yang saling membenci dan saling tikam-menikam; tetapi kononnya bekerjasama ke arah memusnahkan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam.

Perancangan ke arah itu turut dibincangkan secara panjang lebar semasa perhimpunan pengukir berhala yang diadakan di Melaka pada Mac 2012.

Ada hadirin yang tertanya-tanya mengapa topik seperti itu perlu dibincangkan pada perhimpunan sedangkan ada banyak lagi isu penting untuk ditangani.

“Misalnya isu mengenai lima pengukir yang dinafikan hak bayaran bagi karya seni mereka yang dijadikan bahan komponen seni ukir di bengkel-bengkel membuat berhala,” seorang hadirin mengusulkan.

“Lupakan sahaja mengenai lima pengukir itu. Mereka bukan ahli Perpena dan sekutunya. Tak ada gunanya kita memperjuangkan hak mereka. Kita tak untung apa-apa,” pengerusi perhimpunan menegaskan.

“Saya mengusulkan supaya kelima-lima pengukir terbabit turut dipulaukan kerana mereka meminta bantuan daripada Kumpulan Ikonografer Siru Kambam untuk menyelesaikan isu mereka,” kata Encik Salib yang bercita-cita merampas pucuk pimpinan Perpena suatu hari nanti.

“Tapi bukankah kelima-lima pengukir terbabit bertindak demikian selepas Perpena dan sekutunya tidak berani tampil membela mereka dalam isu ini?”

Peserta perhimpunan yang menyuarakan pertanyaan itu segera diheret keluar dewan. Seterusnya, perhimpunan di Melaka digunakan sepenuhnya untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam.

Misalnya mengenai lawatan kumpulan itu ke Kelantan pada pertengahan Mac lalu untuk bertemu pengukir berhala di sana serta meneliti keunikan seni ukir di gereja, kuil, masjid, wat dan tokong di negeri berkenaan.

“Lihat!” Cik Timun Busuk berkata sambil menuding pada foto yang dipaparkan pada skrin menggunakan projektor. “Kenapa beberapa pengukir dari Kelantan bergambar bersama-sama pakar ikonografi itu? Mengapa? Mengapa mereka makan nasi bersama? Mengapa mereka semua kelihatan gembira? Pasti ada agenda tersembunyi!”

“Saya mengusulkan supaya semua pengukir yang ada dalam foto itu dipulaukan. Biar mereka tahu apa yang akan berlaku jika mana-mana pengukir berhala dari seluruh negara cuba berbaik-baik dengan kumpulan itu,” kata Encik Limau tanpa mendedahkan bahawa dia masih juga menjual maklumat penting kepada Kumpulan Ikonografer Siru Kambam menerusi orang tengah.

“Khabarnya anak kepada salah seorang pengukir dari Kelantan yang kelihatan dalam foto itu sedang sakit. Saya memberi amaran kepada semua pengukir yang bernaung di bawah Perpena dan sekutunya supaya tidak menziarah anak itu. Kalau ada sesiapa yang pergi, keahliannya akan dilucutkan serta-merta kerana menentang keputusan persatuan,” Encik Salib pula mengumumkan.

Pada perhimpunan pengukir berhala yang berlangsung di Melaka itu juga Cik Timun Busuk ditanya oleh Raja Se(ri)gala Bahasa mengenai kes anaknya yang sedang disiasat berhubung isu pecah amanah dan mencuri wang sebuah kolej di Pulau Pinang.

“Macam mana awak tahu?” Mata Cik Timun Busuk terbeliak. “Siapa yang mendedahkan perkara itu kepada awak?”

Encik Salib bercita-cita merampas pucuk pimpinan Perpena suatu hari nanti.Raja Se(ri)gala Bahasa tersenyum kambing. Dia tidak mahu mendedahkan sumbernya kerana dia tahu bahawa dalam permainan politik kotor yang melibatkan sekutu itu, dia perlu turut bermain kotor.

“Saya pula mendapat berita bahawa awak turut disiasat kerana wang yang dicuri dari kolej di mana anak awak bekerja tu sebenarnya disalurkan masuk ke dalam akaun syarikat di mana awak menjadi pengarah. Betulkah?”

Cik Timun Busuk membeliakkan mata ke arah Encik Limau pula. Dalam hati, wanita itu terus tertanya-tanya bagaimana dan dari mana mereka berjaya mendapatkan segala maklumat itu.

Dia memandang ke arah Penerima Anugerah Laut. Lelaki itu pula tiba-tiba sahaja berpura-pura sibuk mencari sesuatu di dalam beg yang memuatkan kertas kerja perhimpunan. Dia berpura-pura tidak mendengar apa yang diperkatakan. Sambil itu, dia memastikan perakam suara yang disimpan di dalam beg masih berfungsi.

Cik Timun Busuk memandang sekeliling. Dia dapat merasakan bahawa para pengukir berhala yang menghadiri perhimpunan itu memandangnya semacam. Bagaikan dia juga pada saat itu berdiri berbogel bulat seperti patung Dewa Shiva yang pernah dilobi supaya dijadikan berhala di Kuil Sivaperuman dahulu.

Rata-rata pengukir berhala dari seluruh negara yang menghadiri perhimpunan itu menghembus nafas kecewa. Baru semalam tokoh-tokoh pengukir berhala itu berhujah lantang di pentas mengenai konsep “peradaban bangsa” tetapi hari ini puak yang sama membuktikan bahawa ilmu mereka diletak pada kepala lutut.

“Nama saja besar tapi mereka semua terbukti pendek akal. Memang memalukan agama, bangsa dan negara. Patutlah tokoh pengukir veteran menolak undangan ke perhimpunan ini,” bisik seseorang.

Sesungguhnya seorang tokoh pengukir veteran yang digelar “Pengukir Rakyat” bertegas menolak undangan ke mana-mana perhimpunan anjuran Perpena dan sekutunya yang pandai menjilat tapak kaki ketua panchayat.

Malah, Pengukir Rakyat adalah penasihat bagi Kumpulan Ikonografer Siru Kambam. Sekurang-kurangnya dua kali Perpena dan sekutunya menghantar rombongan ke rumah Pengukir Rakyat untuk memujuk, merayu, menasihatkan dan mengugut beliau supaya tidak menjadi penasihat kumpulan itu.

Kesemua usaha mereka gagal membuahkan hasil yang diharapkan. Pengukir Rakyat tidak mudah dipengaruhi dengan pujukan mahu pun ugutan. Demikian hakikat yang terpaksa diterima oleh Perpena dan sekutunya yang berniat jahat.

“Awak jangan lupa bahawa Kumpulan Ikonografer Siru Kambam dijadual mengadakan lawatan ke Pulau Pinang pada Mei nanti. Khabarnya mereka akan turut melawat kolej di mana anak awak bekerja.”

Cik Timun Busuk memandang Encik Salib yang menyampaikan maklumat itu. Tiba-tiba, tekaknya terasa loya. Segala nasi, lauk-pauk, daging lembu, ulam, budu dan kuih-muih yang disumbatnya ke dalam mulut sejak dua hari lalu terasa mahu tersembur keluar.

* Nama-nama dalam faksyen ini adalah rekaan semata-mata. Uthaya Sankar SB dijadual melawat Pulau Pinang pada Mei 2012.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Talk of the web