Opinion

Lagu patriotik ― semalam dan hari ini

August 08, 2012

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

8 OGOS ― Kita tidak punya track yang boleh dibanggakan dalam tradisi mencipta lagu patriotik mahupun kebangsaan. Dengar sahaja lagu Negaraku yang melodinya diambil bulat-bulat dari lagu Indonesia yang berjudul “Terang Bulan” dari kumpulan keroncong Mamula Moon pada tahun 1938. Liriknya ditulis oleh Saiful Bahari.

Pun Mamula Moon juga mengambil melodi tersebut dari melodi lagu La Rosallie ciptaan komposer Perancis Pierre- Jean de Beranger ( 1780–1857). Jadi Indonesia juga tidaklah boleh berbangga menyatakan lagu itu ciptaan mereka pula.

Sekurang-kurangnya bila saya mendengar lagu kebangsaan jiran terdekat kita Singapura yang judulnya “Majulah Singapura” ciptaan Zubir Said pada tahun 1958, saya tahu itu lagu original dan mereka tidak menciplak atau mengambil dari mana-mana lagu popular pun.

Saya pun terfikir juga, rakyat Malaysia punyalah ramai memiliki komposer yang hebat terutama di era P. Ramlee dahulu, takkanlah tidak ada seorang pun yang mampu mencipta lagu kebangsaan yang asli dan original, mengapa perlu kita mengambil lagu orang lain pula?

Inilah persoalan yang selalu bermain di fikiran jika kita fikirkan, maka lebih baik kita jangan pening-pening kepala sebab di sini bakat itu nombor dua, yang paling penting adalah siapa kita dan apa connection yang kita ada?

Sama juga bila saya mendengar lagu terbaru tema hari kebangsaan ke-55 yang judulnya “Janji Ditepati” ciptaan Aye, Jasnie dan Arman E 6 manakala liriknya ditulis oleh menteri Kebudayaan dan Kesenian kita, Datuk Seri Rais Yatim sendiri.

Pun sudah kecoh di internet dan YouTube kerana melodinya yang seakan sama dengan melodi lagu kristian yang judulnya “Tuhanku maha Besar” dendangan band gereja Indonesia True Worshipper.

Apabila saya mendengar sendiri dua lagu tersebut dan cuba membuat perbandingan, memang ada persamaan dari segi mood dan melodinya. Saya tidak mahu mempersoalkan tentang persamaan antara dua lagu tersebut kerana ianya sangat subejktif, juga kerana kebanyakan pencipta lagu atau komposer menggunakan formula yang sama dalam mencipta lagu dan kebanyakan lagu popular melodinya memang seakan sama antara satu dengan yang lain, cuma agak hampa kerana banyak lagi komposer yang berbakat yang kita miliki, inikah hasil terbaik untuk dipertontonkan kepada rakyat Malaysia?

Mungkin lagu “Janji Ditepati” itu ditujukan kepada generasi muda kerana muziknya yang rancak dan bersemangat ditambah pula dengan elemen rap, cuma bagi saya melodi yang seperti itu tidak akan kekal lama atau evergreen.

Ternyatalah di negara kita ini semuanya kita boleh buat walaupun itu bukan bidang kita. Hakikatnya bukan semua pemuzik berbakat dalam penciptaan lagu dan lirik. Bidang penciptaan lagu adalah hal yang berkaitan dengan bakat yang telah dianugerahkan oleh Yang Maha Esa. Kita perlulah menilai dari sudut kualiti apatah lagi jika lagu itu untuk dipersembahkan kepada khalayak tanpa mengira apa fahaman politik mereka sekalipun.

Saya suka mendengar lagu-lagu patriotik lama contohnya seperti lagu “Samudera Raya” dan “Perajurit Tanahair” ciptaan Saiful Bahari, “Malaysia Tanah Airku” ciptaan Johar Bahar ataupun lagu “Bahtera Merdeka” ciptaan Kassim Masdor.

Lagu-lagu patriotik mereka masih Evergreen dan didengar sehingga ke hari ini. Atau cuba dengar lagu “Warisan” dendangan arwah Sudirman yang lagunya dicipta oleh Syed Haron Ahmad manakala liriknya oleh Sudirman sendiri. Lagu ini berkualiti dan liriknya juga bersifat jujur. Kejujuran dalam berkarya adalah suatu asas yang penting kerana siapalah kita tanpa nilai itu?

Saya memang suka lagu patriotik lama kerana susunan muzik dan rakamannya masih lagi di era manual. Proses rakaman pula biasanya dijalankan di studio dengan iringan orkestra, Jadi nilai mood dan sentimentalnya memang dekatlah dengan telinga pendengar masyarakat kita.

Lagu-lagu hari ini segalanya dalam bentuk digital. Apabila ianya digital dari segi feelnya kuranglah. Apabila yang bermain muzik itu bukan manusia melainkan bunyi yang keluar dari workstation keyboard, apa yang boleh kita expect sangat?

Nak bunyi drum, keyboard, bass malah segala instrumen termasuklah bunyi vokal semuanya ada dalam workstation keyboard, jadi hasilnya digitallah. Maka para sessionist tak boleh nak cari makanlah dengan adanya teknologi yang berkembang pesat hari ini.

Kita setiap rakyat walau siapapun kita sepatutnya punya rasa cinta yang tinggi terhadap tanahair kita sendiri. Apabila kita mahu menyatakan rasa kasih kita kepada negara kita sendiri melalui lagu dan lirik, ia sepatutnya lahir dari hati yang ikhlas dan tidak berkepentingan.

Penyanyi legenda folk Indonesia “Gombloh”menyatakan semangat nasionalisme di dalam lagu-lagu yang diciptanya seperti lagu Pesan buat Negeriku, Indonesiaku, Indonesia Kami dan Kebyar-kebyar  antaranya. Sehingga dalam salah satu liriknya menyatakan:

Biarpun bumi bergoncang, kau tetap Indonesiaku

Andaikan matahari terbit dari barat

Kau tetap Indonesiaku

Tak sebilah pedang yang tajam

Dapat palingkan daku darimu...

(Petikan dari lagu Kebyar-kebyar (1979)- Gombloh)

Apabila rasa cinta kepada negara di gambarkan dengan penuh semangat yang menyala, apa itu kita katakan berlebihankah? Gombloh (lahir di Jombang, Jawa Timur pada 19hb julai 1948 dan meninggal di Surabaya, Jawa Timur pada januari 1988) selepas kematian, namanya tetap dikenang sebagai Pahlawan Seniman sehingga dibina patung Gombloh yang ditempatkan di Taman Hiburan Rakyat, Surabaya pada tahun 1996.

Apabila saya mendengar lagu-lagu patriotik mahupun kebangsaan yang ke udara di radio dan televisyen kebanyakan isinya hanya kosong melainkan mulut yang menyatakan, bukan hati. Nilai telus itu tidak sampai ke jiwa, penuh dengan elemen kebendaan dan pura-pura.

Mungkin untuk kanak-kanak yang masih bersekolah itu tidak mengapa kerana tahap faham mereka masih belum berkembang, namun apabila ianya untuk untuk diperdengarkan kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama tanpa had umur, kita perlu lebih bijak dalam menanganinya dan perlu lebih selektif untuk memilih hanya yang berkualiti yang lebih berhak.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Talk of the web