Opinion

Laporan PSC disambut dengan Bersih 3.0

April 12, 2012

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

12 APRIL — Selagi Barisan Nasional tidak terdiri dari orang-orang baru, laporan suruhanjaya khas atau komiti penambahbaikan mana-mana system tidak akan dihormati kerajaan.

Laporan suruhanjaya mengenai penambahbaikan polis boleh dikira elok tetapi yang terjadi? Membuang masa dan ringgit serta penat mengadakannya, balik ke takuk lama.

Seperti laporan tentang penyiasatan pembunuhan pegawai anak syarikat Bank Bumiputera di Hong Kong hampir 30 tahun lalu, reaksi kerajaan amat menawarkan hati.

Maka sekarang keluarlah laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tentang pilihan raya yang separuh masak. Tanda awal sambutan dingin kerajaan ialah reaksi Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya. Tidak banyak yang dapat dipakai dari laporan itu kiranya PRU 13 hendak diadakan dalam tahun ini.

Memang tidak banyak dari laporan itu dapat dibuat oleh SPR kalau kerajaan tidak mengambil langkah melaksanakannya untuk diserah kepada SPR bagi tindakan.

SPR sebagai badan pelaksana tidak boleh kata apa tentang laporan itu. Serahkan kepada sikap kerajaan. Kalau kerajaan setuju dan mengambil apa-apa tindakan untuk melaksanakannya, maka SPR mesti buat. Kalau ia tidak terdaya melaksanakannya, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengangkat sesiapa yang boleh melaksanakannya.

Apa pun laporan PSC itu boleh dikira hampas apabila pandangan pembangkang tidak diambil kira dan tuntutan Bersih 2.0 tidak dipedulikan.

Pembangkang sudah menolaknya dan Bersih 3.0 yang begitu sabar menunggu PSC menyiapkan laporannya sudah pun menjawab Bersih 3.0 akan diadakan pada 28 April ini di banyak negeri.

Jawapan Bersih 3.0 itu adalah kerana tidak dapat menerima laporan yang hampas itu. Bersih 3.0 tidak ada kalau tuntutan Bersih 2.0 diberi layanan yang sewajarnya. Mungkin tidak semua yang dituntut sukar dipenuhi, tetapi biarlah laporan itu memberi menang-menang kepada semua pihak.

Kerajaan, menteri-menteri, polis dan semua NGO tajaan Umno tidak usah kata apa kepada Bersih 3.0 yang akan keluar ke bandar-bandar besar pada 28 April ini.

PSC itu ada kerana adanya Bersih 2.0 Julai tahun lalu. Baik buruk Bersih 2.0 kerana adanya tuntutan Bersih 2.0. Jika Bersih 2.0 tidak diadakan dan tidak ada tuntutannya, maka PSC pun tidak ada.

Adanya PSC kerana ada kebangkitan rakyat dalam bulan Julai lalu. Pada mulanya pembangkang tidak berniat untuk menyertainya. Mereka tidak percaya kerajaan menyedari teruknya perjalanan pilihan raya selama ini.

Pembangkang berharapkan kebaikan dari penubuhan PSC itu tetapi mereka tidak mempercayainya. Mereka menyertainya juga dengan harapan ada kebaikan dan sumbangan yang dapat dibuat. Tetapi benarlah seperti yang disangka, harap ada percaya tidak.

Jika kerajaan dan PSC berunding dengan baik dengan pembangkang dan dengan Bersih 2.0. Bincangkan apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak dapat dibuat?

Mengapa peluang mengundi tidak boleh diberi kepada rakyat yang berusia 18 pada PRU 13 kalau pilihan raya hendak diadakan segera? Yakinkan Berish 2.0 ia payah diadakan.

Bagi menjawab soalan itu PSC mencadangkan had umur boleh mengundi diturunkan dari 21 kepada 20 tahun. Mengapa kepada 20 tahun saja? Mengapa tidak 18 tahun seperti yang diminta? Untuk mencari jalan tengah mengapa tidak dijadikan 19 tahun?

Bersih 2.0 minta undi pos ditiadakan. PSC bersetuju dengan SPR supaya ditambah lagi orang layak mengundi secara pos. Undi pos selama-lamanya adalah diragukan.

Perdana Menteri boleh kata apa yang hendak dikata tentang pembangkang melihat laporan PSC itu sebagai hampas. Apa pun yang dikata, negara mesti bersedia menghadapi Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Apa pun yang terjadi, ia sudah memungkin PRU sebelum Jun bertambah kabur. Pakatan Rakyat mungkin tidak membubarkan DUN yang dikuasainya. Untuk menyelesaikan hasil Bersih 3.0 mungkin mengambil masa.

Kita tidak usah bercakap tentang Mesir, Libya dan Syria. Mereka tidak tahu menyelesaikan rintihan rakyatnya selama ini. Jangan semua berfikir dan terfikir seperti mereka. Jangan Malaysia di bawah BN dan dibawah Perdana Menteri Najib Razak pula jadi serupa itu juga.

PSC akan jadi baik apabila ada orang-orang baru dalam Umno dan BN seperti adanya generasi baru dalam PAS dan DAP. Negara tidak boleh bergantung lagi kepada glori Tunku dan Tun Razak 50 tahun dulu. Zaman itu sudah berlalu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Talk of the web