Opinion

Lepak, Teh Tarik & Arak Bali

April 14, 2012

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).

14 APRIL — Jom lepak! yuk nongkrong! 

Dua kata dari dua bahasa berbeza tetapi berakar sama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia. Keduanya punya maksud seerti iaitu mengajak untuk lepak dan minum-minum (makan juga). 

Saya masih ingat di awal 90an lepak masih dianggap sebagai suatu budaya negatif yang sering menjadi perbahasan di media-media dan seringkali objek sasaran adalah remaja sekolah dan anak muda yang sedang bertenggek di hadapan pusat membeli belah dan tempat awam seperti Dataran Seni di Klang. Budaya lepak semakin dihitamkan dengan gelojak gejala sosial zaman itu iaitu, bohsia dan bohjan yang ‘positifnya’ sudah tidak wujud lagi sekarang kerana peranannya sudah digantikan dengan ‘bohsia’ dan ‘bohjan’ media sosial. 

Perlahan-lahan budaya lepak mengalami masa perubahan dari budaya yang dipandang negatif ke arah suatu budaya yang boleh diterima, proses neutralisasi ini berlangsung pertengahan 90an sehingga memasuki awal abad ke 21. Perubahan ini tidak berlaku tanpa tentangan, saya sendiri sering dipandang negatif oleh lingkungan setiap kali keluar malam melepakkan diri bersama kawan-kawan seolah-olah keluar malam itu adalah menghisap dadah, bergaul bebas dan merempit. Saya yakin ramai di kalangan generasi saya turut mengalami hal yang sama. 

Sukar untuk menyatakan dan memahamkan bahawa pada ketika lepak berlangsung, topik yang dibicarakan malah berat seperti persoalan politik, pendidikan, pemikiran dan yang setahap dengannya dan pastinya diselang seli dengan cerita tentang awek dan bola sepak. Apatah lagi zaman transisi ini diwarnai dengan politik Malaysia yang bergejolak dengan kes pemecatan Anwar Ibrahim dan Reformasi yang kemudiannya menghebohkan negara. 

Menariknya budaya lepak pada waktu itu masih didominasi kaum lelaki dan tidak menghairankan apabila topik tentang wanita sering menjadi hal penting untuk dibicarakan mengingatkan tiada dan jarang sekali wanita menyertai sesi lepak atau diskusi kami ini. Berbeza sekali dengan apa yang berlaku sekarang di mana budaya lepak sudah menjadi milik semua, tiada bias gender apatah lagi kaum dan agama. Bahkan sudah menjadi pemandangan yang biasa melihat satu keluarga dengan anak-anak sedang menikmati supper mereka pada jam 1 pagi dengan riang dan gembira. 

Dari sisi politik, kita harus mengakui bahawa polisi kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan yang membenarkan lokasi tempat lepak seperti restoran dan warung beroperasi 24 jam inilah yang mengizinkan budaya ini melalui prosesnya sehingga diterima sebagai suatu hal yang biasa-biasa sahaja seperti mana makan tengahari dan minum petang. Asal sahaja tidak melakukan perkara-perkara yang dianggap kurang sopan dan negatif di kalangan masyarakat banyak yang hakikatnya bebas dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tidak perlu malam pun. 

Jadi jika anda sedang melepak pada larut malam dan terdengar teman mengatakan ‘saya tak suka politik’, sebaiknya anda menasihatkan mereka bahawa keberadaan dia pada sesi lepak itupun diperbolehkan kerana tindakan ‘politik’ melalui polisi yang diberlakukan kerajaan pada peringkat tempatan. 

Teh Tarik 

Jika bicara tentang lepak, mahu tidak mahu ‘teh tarik’ sebagai menu minuman khas para penggemar lepak tidak boleh dikesampingkan. Budaya lepak yang berawal dari bertenggek di hadapan pusat membeli belah mengalami evolusi sejajar dengan kehadiran restoran-restoran mamak (India Muslim) yang identik dengan teh tarik di seluruh bandar dan pekan di Malaysia. 

Teh tarik sebagai alat kapitalis (baca sebagai restoran mamak) berjaya menghipnotis warga Malaysia terutama di bandar-bandar besar untuk melabuhkan punggung mereka baik di bangku atau kerusi empuk mamak, kadang-kadang sehingga 8 jam yang pernah saya alami di warung mamak di Jalan Alor dan paling ekstrem 11 jam di Restoran Syed di Bangsar. 

Teh tarik telah berjaya sebagai suatu modal untuk kita duduk bersama baik sekadar membuang masa, melepas rindu, mengeratkan ikatan apa saja dan kerap kali belakangan ini sebagai sekadar alasan untuk duduk bermesyuarat secara informal untuk tujuan murni baik untuk pengembangan perniagaan atau pengembangan pemikiran anak bangsa Malaysia. 

Kopitiam 

Selain mamak, beberapa tahun kebelakangan ini kopitiam yang bermaksud warung kopi perlahan-lahan menjadi alternatif baru untuk kaki lepak. Kopitiam yang dahulunya menjadi medan lepak warga emas dan generasi Merdeka mengalami evolusi barangkali melihat perkembangan budaya lepak yang menjanjikan pulangan yang tidak kurang lumayan. Nama seperti ‘Old Town Kopitiam’ tidak asing bagi kita generasi muda yang mengenal kopitiam bukan seperti yang dahulu, kusam dan tidak bertenaga. 

Seperti kopitiam versi tradisional yang popular di bandar kecil dan pekan, warung kopi sebagai medan lepak telah lama muncul di kampung-kampung dan bezanya jika di kopitiam didominasi kaum Cina manakala warung kopi sebaliknya kaum Melayu. Berlainan dengan mamak, kekuatan kopitiam dan warung kopi terletak pada kopinya. 

Jika dilihat ketiga-tiga lokasi lepak ini secara tidak langsung menjadi tembok terakhir ‘melawan’ lokasi lepak bermodalkan pemodal besar seperti Starbucks, McDonald’s dan KFC. Namun persoalannya adakah restoran mamak, kopitiam dan warung kopi yang masih menjadi pilihan rakyat terbanyak kerana faktor harga mampu ini boleh menjadi alat untuk menyumbang bakti kepada masyarakat? 

Bagaimana? Sumbangan kepada masyarakat boleh dilaksanakan di dalam beberapa hal seperti menggajikan selayaknya penduduk tempatan untuk bekerja, membeli bahan-bahan mentah dari masyarakat sekitar dengan terma yang adil dan pastinya bagaimana kewujudan mereka boleh merubah hubungan mereka bukan sekadar sebagai jual-beli sahaja bahkan melibatkan pembinaan komuniti setempat. 

Arak Bali 

Seperti di Malaysia, lepak turut menjadi budaya di Bali. Bezanya jika di Malaysia mereka ‘mabuk manis’, di sini mereka mabuk sebenar dengan minuman khas mereka iaitu, Arak Bali. Arak Bali adalah produk lokal dan merupakan industri rumah tangga turun-temurun yang dikonsumsi kebanyakan masyarakat Bali. 

Arak Bali seperti teh tarik menjadi alat untuk masyarkat Bali bersama-sama melepaskan kepenatan dan melupakan masalah bersama-sama dan budaya ini diterima sebagai hal yang positif selagi tidak berlaku hal-hal yang kurang menyenangkan. 

Menariknya di Bali, Arak Bali sehingga kini berjaya menjadi simbol perlawanan terhadap minuman beralkohol lainnya dari jenama pemodal besar dan tetap bertahan menghidupkan perekonomian penduduk baik yang mengusahakan dan menikmatinya. Malah sudah beberapa kali pemerintah Bali cuba untuk mengawal industri ini atas alasan standarisasi dan kutipan cukai, namun masih belum terlaksana jua. Semoga nantinya jika peraturan terkait Arak Bali dilaksanakan, itu bukanlah awal kepada masuknya pemodal-pemodal besar untuk menguasai. 

Jika Bali dengan araknya boleh mensejahterakan masyarakatnya, kenapa tidak para pengusaha restoran mamak, kopitiam dan warung kopi? Ya memang sudah ada usaha-usaha sebelum ini tetapi masih kecil. Jika tidak, sama ada mereka itu pemodal besar, sederhana mahupun kecil tidak ada bezanya. Jangan salahkan kami jika gemar menikmati kopi di Mc Donald’s, murah dan boleh diisi semula semahunya.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Talk of the web