Lynas, kerajaan sangka rakyat bodoh
30 APRIL — Adakah pemimpin kerajaan pusat dan pemimpin kerajaan Pahang bodoh apabila mereka bersetuju membawa pelaboran Lynas dari Australia ke Gebeng, Kuantan?
Lynas itu memperniagakan nadir bumi yang asalnya ada bahan radioaktif. Sekali pun ia dikatakan tiada sisa kesan lagi, mengapa syarikat Australia tidak melambakkan di negaranya yang luas itu?
Bumi Australia itu adalah sebesar Amerika Syarikat, sebesar China dan sebesar India. Penduduknya terlalu kecil bagi buminya yang luas itu. Mengapa ia tidak gunakan secebis dari buminya di kawasan yang jauh dari orang untuk kilang itu? Terpaksa merentas laut beribu-ribu batu ke Gebeng untuk melambakkannya.
Ertinya Australia mahu apa-apa risiko baik mengenai sisa radioaktifnya mahu pun risiko tentangan rakyatnya.
Lalu ia mencari orang bodoh untuk melepaskan masalahnya supaya boleh mengaut keuntungan. Ia dapat Pahang di Malaysia.
Adakah pemimpin kerajaan Pahang dan kerajaan Malaysia bodoh lalu menjadi pak sanggup? Sepatutnya mereka mesti tahu mengapa ia tidak diurus di Australia saja? Apa syarikat Australia itu boleh, tidak mahu yang menguntungkan itu dilimpahkan kepada rakyatnya saja? Mengapa sedia ke Malaysia?
Mungkin mereka ditipu oleh penyangak Australia dan diperlemah oleh penyangak dalam negeri. Ceritakan tentang untungnya saja kepada orang yang tamakkan keuntungan semata-mata.
Mungkin mereka diperbodoh dan mungkin juga mereka tahu semua masalah, tetapi kerana disangka rakyat boleh diperbodoh sejak lebih 50 tahun dulu, lalu ia disanggupi. Lalu risiko tidak dipedulikan asal dari pelaboran beratus juta itu ada bahagian untuk mereka dan ada pula bahagian yang boleh digunakan untuk menghadapi PRU 13.
Rakyat boleh diperbodohkan kerana begitulah mereka selama ini.
Bagaimana kalau rakyat bangkit. Kalau otak rakyat Australia jangkit ke otak orang Malaysia, macam mana? Jika ada bantahan hingga menyebabkan mengancam harapan parti kerajaan meneruskan kuasa, bagaimana?
Kerajaan boleh membatalkan dengan membayar ganti rugi dan denda kepada syarikat Australia itu. Ganti rugi itu tentulah besar dan lebih besar dari modal yang sudah dilambakkan.
Ada isyarat dari kerajaan dikatakan sedia membayar hingga dua bilion bagi membatalkan projek itu. Dengan pembatalan itu dihebahkan kepada rakyat bahawa kerajaan yang mendahulukan rakyat mendengar pandangan rakyat. Ada harapan sokongan rakyat yang terpengaruh dengan bantahan itu dapat diredakan dan boleh memulihkan semua sokongan kepada kerajaan BN.
Jika membatalan itu melibatkan wang negera dan wang rakyat yang banyak, maka habis begitu saja duit kita. Mungkin pada rakyat biarlah banyak wang rakyat habis, tetapi ia lebih baik dari risiko racun sisa radioaktif yang boleh membunuh itu.
Rupanya rakyat sudah tidak boleh diperbodoh lagi. Mereka membantah. Memang besar risiko buat pimpinan Najib dan kerajaan BN.
Gara-gara bantahan kononnya didalang pembangkang Pakatan Rakyat, kerajaan terpaksa membayar pula sehingga, mungkin dua bilion. Pembangkang seolah-olah menang tetapi negara menanggung kos yang tinggi.
Tetapi bagi pemimpin dan BN yang perlukan banyak duit untuk PRU yang mencabar itu, apakah dalam bayaran ganti rugi itu tiada lagi tambahan untuk tujuan itu?
Bagi kerajaan dan pimpinan yang dilihat rasuah di sebuah negara rasuah, amalan seperti ia adalah adat. Seperti gergaji disurung makan ditarik pun makan.
Jika betul kerajaan tidak akan dapat mempertahankan puaka Lynas itu, ia mungkin membayar pampasan sehingga dua bilion. Orang boleh kata pemimpin Malaysia telah ditipu oleh penyangak antarabangsa. Adakah mereka bodoh hingga boleh ditipu?
Mereka tidak bodoh kerana mereka dapat apa yang diperlukan oleh mereka dan jentera pilihan raya menghadapi PRU 13. Cuma rakyat sudah tidak dapat dibodohkan seperti dulu lagi. Yang boleh dibodohkan masih ada tetapi yang tidak dapat dibodohkan bertambah ramai.
Mungkin BN tumbang tetapi ada orang yang untung dari membawa Lynas ke Gebeng dan kemudian beroleh untung juga bila ia dibatalkan. Yang menanggung ialah rakyat yang dikatakan didahulukan.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.





