Opinion

Mansuh ISA tak seperti ‘Malay Dilemma’ mahu

April 23, 2012

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

23 APRIL — Rang undang-undang ganti ISA seolah-olah dibentang pagi di Parlimen, petangnya ia pun jadi akta. Maka mansuhlah ISA.

Apa yang Buku Jingga saran untuk memansuhkan ISA dalam masa 100 hari Pakatan Rakyat mengambil Putrajaya, telah menjadi kenyataan menjelang 100 hari kuasa itu hendak diambil, jika PRU 13 Jun 2012.

Perdana Menteri Najib seolah-olah bertindak bagi pihak Buku Jingga.

Tetapi ISA itu ada gantinya. Akta ganti itu dibahas sehari saja.

Dalam bukunya “Malay Dilemma” yang diterbitkan tahun 1970, Dr Mahathir Mohamad mengecam cara Parlimen membuat undang-undang. Pagi rang undang-undang dibentang di Parlimen, petangnya ia pun jadi akta.

Kata Dr Mahathir kira-kira, jadilah akta itu seperti sekeping kertas yang tidak berguna.

Saya tidak bercadang untuk menggulas cara Parlimen membuat undang-undang semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Tetapi saya tertarik dengan akta ganti ISA itu kira-kira sama seperti yang dikecam oleh Dr Mahathir dalam bukunya itu.

Jika kebanyakan rang undang-undang yang diluluskan dalam pemerintahan Tunku yang orang kuatnya ialah Tun Razak, dikira oleh pengarang sebagai perca kertas yang tidak berguna, apakah tidak mungkin akta ganti ISA yang juga dibuat mengikut cara Parlimen Tunku dulu juga boleh menjadi kertas dokuman yang berharga murah?

Sekali pun rang telah diedarkan awal, tetapi ada masa sehari saja ia dibahas. Dr Mahathir dulu melihat cara begitu adalah gopoh.

Apakah masa sehari itu sudah cukup? Tetapi Dr Mahathir telah mengecamnya dalam bukunya. Dia juga mungkin sudah langgar kehendak isi bukunya, tetapi dia tidak pernah menarik balik kecaman dalam bukunya itu.

Saya juga terasa sepertinya. Masa sepuluh jam antara pembentangan dan meluluskannya, mungkin tidak memberi masa yang cukup kepada Parlimen untuk meneliti rang itu.

ISA tidaklah dibuat dalam sehari. Ia dibahas panjang juga. Kerajaan masa itu juga memberi jaminan seperti yang dibuat oleh kerajaan sekarang, bahawa ISA itu tidak disalah gunakan.

Tunku semasa membentang rang menyebut bahawa ISA adalah untuk membendung ancaman komunis dan suversifnya. PAS bimbang kemungkinan ia tidak digunakan terhadap komunis saja. Ia akan ditujukan kepada pihak lain sama.

Tunku berjanji ia tidak akan ditujukan kepada selain dari komunis. PAS tidak berapa percaya. Pembangkang yang lain seperti Front Sosialis langsung tidak mempercayainya.

Terbukti betul. Jaminan Tunku dan Tun Razak tidak lebih dari kata-kata lidah yang tidak bertulang. ISA bukan saja menzalimi mangsanya, malah dalam usaha untuk menguatkuasakan akta itu telah terbunuh 14 orang awam dan empat anggota polis di Memali dalam tahun 1985. Ramai juga cedera.

Ada janji-janji manis dari akta ganti itu seperti tahanan penyiasatan tidak lagi 60 tetapi dipendekkan kepada 28 hari. Mangsa ada ekses kepada peguam dan mahkamah. Tapi polis masih berkuasa menahan dan menyiasat seperti 60 hari dulu juga.

Kalau akta pilihanraya yang memberi banyak jaminan juga telah disonggelap dalam pelaksanaannya oleh SPR, dibantah oleh puluh ribu orang, pun tidak apa yang dapat dibuat, maka bagaimana pula dengan jaminan yang memberi kuasa penuh kepada polis?

Apa jaminan janji Najib itu tidak sama dengan janji Tunku dan bapanya dulu? Sebelum janji Najib itu boleh dipercayai, polis itu mesti dipercayai dulu. Betulkah polis itu profesional? Selagi Putrajaya di bawah Umno/BN polis tetap tidak profesional. Seolah-olah OCPD boleh diarah oleh ketua Umno cawangan.

Najib boleh berjanji tetapi kes pembunuhan Altantuya masih belum diselesaikan secara profesional. Macam mana semua janji itu tidak sekadar manis-manis mulut saja? Segala-galanya masih dalam suasana harap ada, percaya tidak.

Janji Buku Jingga masih relevan. Tiada teka teki tentang janji memansuhkan ISA dalam masa 100 hari. ISA hanya benar-benar mansuh bila Putrajaya berubah kuasa. Pertama ISA mesti dimansuhkan dulu. Ada pun gantinya akan disyurakan.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Talk of the web