Masih ada harapan untuk pasukan bola sepak Kuala Lumpur?
22 JULAI — Lebih dua dekad lalu, pasukan bola sepak Kuala Lumpur merupakan kuasa besar dalam arena bola sepak negara.
Mereka mungkin tidak sehebat pasukan Selangor ataupun Kelantan tetapi tiga kejuaraan Piala Malaysia secara berturut-turut dari 1987 hingga 1989 meletakkan pasukan ibu kota antara pasukan yang digeruni ketika itu.
Sebut sahaja Kuala Lumpur, mereka tampil dengan reputasi menggerunkan hingga dicemburui oleh pasukan-pasukan lain. Dalam erti kata lain, KL ibarat pasukan idaman sepanjang tempoh itu.
Apa tidaknya, Kuala Lumpur pernah dibarisi oleh kalangan pemain ternama negara dan dikendalikan oleh jurulatih yang tersohor. Nama-nama pemain seperti Subadron Aziz, Shahrin Majid, Azman Adnan, T.Gopinath Naidu, Yap Wai Loon, Yap Kam Choon, Razip Ismail dan V. Murugan adalah antara mereka yang pernah mewakili KL.
Chow Kwai Lam pula satu-satunya jurulatih tempatan yang paling berjaya dalam mengemudi pasukan KL. Beliau telah membuktikan bahawa jurulatih tempatan juga mampu mencipta kejayaan biarpun tidak mempunyai kelebihan dari aspek pemain import.
Selama ini, pasukan KL terkenal dengan kejayaan melahirkan pemain-pemain baru dari barisan pelapis mereka. Bercakap mengenai soal ini, penulis teringatkan akan senario sama di England yang mana kelab BPL West Ham United memiliki reputasi serupa.
West Ham United telah melahirkan beberapa pemain terkenal seperti Rio Ferdinand, Frank Lampard, Joe Cole dan lihat sahaja di mana mereka sekarang. Ferdinand bersama Manchester United, Lampard dengan Chelsea manakala Cole bersama Liverpool.
Namun demikian, segala reputasi dan keagungan pasukan KL hanya tinggal dalam lipatan sejarah! Lewat kebelakangan ini, pasukan bola sepak KL mendapat liputan media untuk perkara yang tidak begitu indah.
Masalah kewangan yang kritikal, kegagalan pasukan meraih sebarang kemenangan dalam Liga Super dan seterusnya diturunkan ke divisyen rendah, dan ketiadaan penonton ke stadium menjadikan KL kini ibarat hidup segan mati tak mahu.
Apabila berbicara mengenai pasukan KL, dua buah lagi pasukan bola sepak terkenal dunia iaitu Nottingham Forest dan Leeds United pernah mengharungi detik-detik suram itu. Forest yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebanyak dua kali pada 1978 dan 1979 manakala Leeds pula pernah layak ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan yang sama.
Sepanjang tempoh satu dekad ini, ia merupakan detik-detik suram buat kedua-dua pasukan berkenaan. Bukan sahaja mereka terpaksa bermain dalam liga bola sepak yang kurang berprestij tetapi juga kehadiran penonton yang rendah ke stadium.
Sebagai seorang warga KL sejati, amat menyedihkan untuk melihat pasukan bola sepak KL berada dalam keadaan sedemikian. Apakah sebenarnya yang sudah berlaku? Mengapakah pasukan KL boleh berada pada situasi yang begitu mengaibkan ini? Apakah pengurusan Persatuan Bola Sepak KL, KLFA harus dipersalahkan dalam perkara tersebut? Mungkinkah pasukan bola sepak KL perlu dibubarkan selepas ini bagi menyelamatkan keadaan?
Tempoh hari ketika melayari sebuah laman blog sukan mengenai isu sama, penulis difahamkan hasil kutipan jualan tiket untuk perlawanan Liga Super antara KL dan The Red Warriors, Kelantan disumbangkan kepada KL bagi menampung kos perbelanjaan perlawanan.
Bagi penulis, situasi itu merupakan satu perkara memalukan. Kenapakah tidak kelihatan syarikat-syarikat gergasi atau korporat yang tampil untuk memberi bantuan kepada pasukan KL? Sanggupkah pihak tertentu melihat pasukan bola sepak KL berkubur begitu sahaja?
Penulis tidak berhasrat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak mahupun membuat sebarang spekulasi terhadap isu ini. Tetapi apa yang pasti, nasib yang menimpa pasukan KL dewasa ini harus dijadikan iktibar kepada pasukan bola sepak lain agar ia tidak terjerumus ke dalam takuk yang sama.
Untuk memastikan senario sama tidak berulang, pihak yang menguruskan kelab bola sepak harus memberi penekanan kepada pengurusan yang profesional. Sebuah pengurusan yang profesional memerlukan kumpulan individu yang komited terhadap usaha itu. Selain komitmen yang jitu, kepimpinan utuh amat diperlukan bagi menggalas tanggungjawab berat menguruskan sebuah pasukan bola sepak. KL berjaya pada dekad 80-an kerana mempunyai kepimpinan kuat di bawah Tan Sri Elyas Omar. Tetapi itu tidak kelihatan pada masa ini.
Memang benar, sukan bola sepak negara sudah mencapai tahap profesional. Tetapi apa yang berlaku kepada KL jelas tidak menggambarkan keadaan yang dimaksudkan, malah jauh sekali daripada bertaraf profesional. Jika profesional namanya, perkara seperti pemain tidak mendapat gaji berbulan-bulan lamanya (kelab-kelab lain) tidak sepatutnya berlaku.
Sama ada masa depan skuad bola sepak KL akan menemui sinar harapan selepas ini, penulis tidak begitu pasti. Namun, segalanya belum terlambat untuk menyelamatkan keadaan.
Paris St. Germain, sebuah kelab bola sepak dari Liga Perancis hampir di ambang kemuflisan lebih kurang setahun yang lalu tetapi dengan pelaburan yang diberikan oleh pemilik Arab mereka, PSG kini berdiri sama tinggi dengan kelab ternama lain di dunia. Malah, mereka berjaya membeli pemain-pemain ternama dunia untuk memperkukuhkan barisannya.
Mungkinkah sudah tiba masanya FAM menimbangkan kemungkinan membenarkan pemilik-pemilik asing untuk membeli kelab bola sepak tempatan di negara ini? Idea ini mungkin radikal sedikit tetapi apa salahnya jika ia boleh membantu pembangunan kelab terbabit?
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.




