Masih wujudkah budaya bersopan dan tolak ansur di jalan raya?
8 JULAI — Kita pernah diajar di bangku sekolah dahulu oleh guru-guru kita untuk sentiasa bertatasusila dan bersopan-santun.
Amalan itu merangkumi segala aspek kehidupan kita baik dalam perlakuan, tutur kata mahupun tindakan kita.
Semuanya ini penting kerana ia melambangkan perwatakan dan keperibadian kita.
Lagipun, tatasusila dan sikap hormat-menghormati merupakan sebahagian daripada budaya ketimuran yang kita banggakan.
Namun, benarkah amalan itu diterapkan secara serius dalam kehidupan seharian kita? Jika sikap manusia di atas jalan raya dijadikan sebagai penanda aras, maka adalah sedih untuk mengatakan amalan itu sama tidak kelihatan ataupun tidak diamalkan langsung.
Sama ada trend ini berlaku secara sengaja atau sebaliknya, hanya si pelaku yang berada di atas jalan raya mempunyai jawapannya.
Yang ada di atas jalan raya kini rata-ratanya adalah kaki buli, individu dan pemandu yang biadap lagi berlagak yang cenderung untuk melanggar peraturan jalan raya.
Modus operandi mereka mudah dikenal pasti. Mereka tidak kenal peraturan, mereka juga tidak peduli peraturan maka peraturan sebenarnya tidak wujud dalam diri mereka. Batang jalan raya yang begitu besar seolah-olah milik mereka sahaja.
Budaya bersopan dan toleransi di atas jalan raya yang begitu subur suatu ketika dahulu, kini memberi laluan kepada budaya samseng. Walaupun pada permukaannya, semua dilihat biasa sahaja tetapi ia sebenarnya sudah mencapai tahap serius.
Sekiranya anda tidak percaya, cuba buat satu pemerhatian di persimpangan jalan raya yang mempunyai lampu isyarat. Tidak kira sama ada pemerhatian itu dibuat pada waktu puncak atau tidak, anda dapat lihat sekurang-kurangnya 8 daripada 10 pemandu kereta atau pembonceng motosikal melanggar peraturan jalan raya.
Bagi golongan berkenaan, peraturan tidak penting. Baginya, kepentingan mereka sahaja yang dianggap penting. Malah pada hemat mereka, peraturan jalan raya boleh diubah, dilanggar dan diperlekehkan mengikut kemahuannya. Mereka sedar apa yang dilakukannya adalah salah tetapi tetap melakukannya. Mereka berani berbuat demikian kerana mereka sedar pihak berkuasa tidak mungkin mengambil tindakan ke atas semua yang terbabit.
Tidak terlintas dalam benak fikiran mereka bahawa keselamatan penting buat diri mereka. Apa yang berlaku di atas jalan raya di seluruh negara ketika ini banyak berpunca daripada ketidaktegasan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang.
Sebagai contohnya, mengapa perlu beri diskaun kompaun kepada pesalah-pesalah yang melanggar peraturan jalan raya? Apakah perlu ada sifat-sifat kemanusiaan atau belas kasihan kepada pesalah-pesalah degil ini?
Jika kita praktikkan sifat berperikemanusiaan dalam hal sedemikian, maka apa relevannya lagi undang-undang yang digubal? Lebih baik kita gunakan sifat perikemanusiaan untuk hal-hal lain. Ada ketikanya, ada perkara yang memerlukan pihak berkuasa bertegas, mereka harus bertegas. Letakkan keutamaan pada tempat yang sepatutnya.
Jika pendekatan berlembut tidak memberi kesan, maka pendekatan keras menjadi penyelesaian terbaik. Pihak berkuasa perlu menghantar satu mesej jelas kepada rakyat Malaysia bahawa tidak ada mana-mana individu yang melebihi undang-undang. Bererti, jika mereka melakukan kesalahan haruslah menerima hukuman yang setimpalnya.
Pihak berkuasa tidak harus bertolak ansur dengan sikap biadap pemandu. Kalau tidak, kita tidak perlukan undang-undang, lampu isyarat dan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ. Biarkan manusia menentukan undang-undang.
Adakah senario begitu yang kita impikan? Jika anda sudah membuat pilihan untuk menuju ke arah itu, jangan mengeluh sekiranya keadaan semasa menjadi semakin buruk.
Anda telah pun diberikan peringatan!
p/s: Untuk negara Malaysia mencapai Wawasan 2020 yakni menjadi sebuah negara maju, perkara pertama yang harus diubah ialah sikap biadap pemandu di jalan raya.
* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.





