Opinion

Menengok Kuta lebih dalam

June 29, 2012

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).

29 JUN — Siapa tidak kenal Bali? Saya percaya para pembaca sekalian yang belum menjejak kaki pasti tahu dan bercadang ke sini setelah mengetahui tentang Bali dari pelbagai sumber dan kepada yang sudah, Bali pastinya banyak meninggalkan kenangan manis dan sedikit pahit juga . Saya percaya bayangan majoriti dari kita tentang Bali adalah Kuta, dan segelintir kecil barangkali mengetahui Bali melalui Ubud. Tidak memeranjatkan jika ada yang menafikan mengetahui Bali melalui Kuta sebaliknya Ubud supaya dilihat lebih berbudaya lantas layak memakai kata “cool” pada dirinya. Itu sah-sah sahaja.

Menurut laporan berita Antara (5/6), “Selama 2011 masyarakat Malaysia yang berkunjung ke Bali sebanyak 151,716 orang atau meningkat 11.71 persen dibandingkan tahun 2010 yang hanya tercatat 135,811 orang. Malaysia menempati peringkat keempat setelah Australia, China, dan Jepang dari 10 negara terbanyak memasok turis ke Pulau Dewata”.

Saya tidak pasti di mana para pelancong Malaysia ini menginap dan ke mana mereka berjalan-jalan sepanjang di Bali. Namun berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sepanjang lebih 4 bulan di sini dan dari mendengar serta membaca kisah-kisah perjalanan pelancong Malaysia dari pelbagai sumber, saya membuat kesimpulan majoriti pelancong Malaysia memilih untuk tinggal di Kuta semasa percutian mereka. Kawasan Kuta (pantai, deretan kedai, mal, kelab malam, pub, warung makan, restoran elit, pelacuran dll) adalah Bukit Bintang atau Orchard Roadnya versi Bali. Kawasan Kuta dikepung budaya kosmopolitan di mana tradisi dan modernisasi bertembung; suara genta, kidung dan mantra bersanding alunan muzik jazz, rock n' roll dan Tiesto.

Ada apa dengan Kuta?

Bagi Bali, Kuta adalah berkat di mana di sinilah limpahan rezeki pelancongan bermula dan mengalir ke seluruh pelusuk Bali. Setiap hari pelancong dari seluruh belahan dunia (lebih dari 150 buah negara) berduyun datang ke Kuta menikmati ombak dan pasir putih, mengkagumi matahari terbenam, bermain surfing, mencari pelacur lelaki dan juga wanita, merai keliaran dengan arak murah, berbelanja dan tujuan-tujuan lain.

Pantai Kuta menjelang senja.Menurut buku sejarah rasmi dari Pemerintah Kelurahan Kuta, Kuta mulai dikenal pada 1336, Gajahmada dan pasukannya dari Majapahit mendarat di bahagian selatan pantai ini. Daerah ini kemudian dikenal dengan nama Tuban, seperti salah satu nama kota kecil di pesisir Jawa Timur. Kerana tempatnya bagus untuk pendaratan kapal, perlahan-perlahan daerah ini menjadi pelabuhan kecil. Warga pun menyebut kawasan di Banjar Segara Kuta ini dengan nama Pasih Perahu yang berarti pantai perahu.

Awal perkembangan dunia pelancongan di Kuta dikatakan dipicu atas kedatangan wanita Amerika kelahiran Scotland, Vanine Walker sekitar tahun 1932. Wanita ini lebih selesa menggunakan nama khas Bali, Ktut Tantri setelah diangkat menjadi anak oleh seorang bangsawan Bali. Di Kuta wanita ini mendirikan hotel pertama yang diberi nama “Suara Samudera” dan apa yang dilakukan beliau diikuti oleh warga Kuta. Mereka yang sebelumnya hidup sebagai nelayan dan petani, mulai mencuba menyewakan rumah sendiri kepada para pelancong-pelancong asing yang datang ke tempat mereka.

Menurut Michel Picard pula, peneliti pelancongan dari Perancis di dalam bukunya, “Bali: Pariwisata Budaya dan Budaya Pariwisata (2006)”, “Pada masa penjajahan, Kuta adalah sebuah desa miskin berdebu yang terletak di dekat sebuah pantai yang indah. Pantai itu baru “ditemukan” pada tahun 1936 oleh pasangan seniman Amerika Louise Garrett dan Robert Koke pada waktu berjalan keliling menaiki basikal. Terpegun oleh keindahan tempat itu, mereka membangun beberapa bungalow dengan gaya lokal untuk melayani pelancong yang bosan dengan Dempasar dan kemewahan yang didapatkan di Bali hotel”.

Multikulturalisme Kuta

Saya mempunyai kebiasaan minima seminggu sekali mengunjungi Kuta baik untuk bertemu teman, merasai suasana kosmopolitannya, melepak makan dan minum, berjalan kaki di sepanjang pantai, urut relaksasi, memesan kamar untuk teman-teman yang ingin ke sini dan urusan-urusan lain. Saya juga mempunyai kebiasaan gemar kepada suasana hiruk pikuk kenderaan dan manusia serta keinginan untuk menjelajah lebih dalam di balik segala keriuhan tersebut.

Keinginan itu menemukan saya dengan tulisan Anton Muhajir, teman seaktivis yang diperkenalkan sewaktu perayaan ulang tahun Institut Sloka beberapa bulan lalu. Dalam tulisan beliau yang tersiar di Balebengong.net (23/11/08), Anton mengajak pembacanya untuk menelusuri Kuta dari sisi sejarah dengan mengenalkan lima tempat bersejarah di Kuta iaitu Pantai Pasih Perahu, Vihara Dharmanaya, Makam Mads Lange, Poppies Restaurant dan Monumen Bom Bali.

Seperti Anton, dua tempat terakhir sering saya kunjungi dan lewati kerana letak lokasinya di kawasan di mana segala urusan kerja dan lepak saya dilaksanakan. Jadi beberapa minggu lepas saya menyempatkan diri untuk berkunjung ke Vihara Dharmanaya dan saya menyarankan anda yang ingin menghabiskan masa di Kuta untuk berbuat sama (melawat 5 tempat tersebut).

Kuta sekarang terdiri dari berbagai macam suku, etnik, agama, kebudayaan dan sebagainya; ada masyarakat Cina dan Muslim yang cukup besar yang hidup berdampingan dengan majoriti masyarakat Bali beragama Hindu. Vihara Dharmayana merupakan tempat masyarakat keturunan Cina bersembahyang dan dengan berkunjung ke sini, kita dapat belajar tentang sejarah masyarakat Cina di Kuta. Dalai Lama pernah berkunjung ke kuil yang cukup besar ini pada 1982 dan itu tidak menjadikan ia bertambah popular juga dan sehingga kini masih tidak banyak pelancong menyempatkan diri untuk bertandang. Barangkali kerana lokasinya yang agak tersorok di tengah-tengah kediaman warga, kurang dipromosikan pemerintah setempat atau kerana pemandu pelancongnya tidak mendapat komisen.

Jika menuju Kuta dari lapangan terbang, anda pasti diberi gambaran awal Bali yang berbeza di mana penampilan luaran kedai-kedai makan di pinggir jalan persis seperti di Pulau Jawa serta pemandangan masjid-masjid. Jika melihat ini, jangan merasa ragu-ragu dan tertanya-tanya adakah saya telah salah mendarat dan di manakah kuil-kuil Hindu yang sering terpapar di risalah pelancongan? Anda jangan salah faham kerana daerah yang dinamakan Tuban itu memang banyak dihuni masyarakat Jawa Muslim dan ketersediaan makanan halal yang sering dipermasalahkan sebenarnya tidak ada, tinggal saja anda menyelami Kuta dengan lebih dalam. Kini masyarakat Muslim di Kuta hidup dalam suasana harmoni bersama masyarakat lain terutama Hindu Bali walaupun sempat mengalami “masa tegang” pasca pengeboman di Bali pada 2002 dan 2005.

Tradisi yang mengukuh

Kuta sering dianggap sebagai kota para hedonis sedunia bersatu, namun jika anda melihat Kuta lebih ke dalam, nilai tradisi Bali tetap kental dan masih dalam suasana pertarungan dengan modernisasi untuk menentukan siapa pemenangnya. Saya sempat mengikuti seorang teman yang aktif di salah satu banjar di Desa Adat Kuta dan merasa kagum dengan semangat kekerabatan yang masih kuat. Ini dibuktikan ketika benda berbentuk lonjong memanjang dibunyikan bertalu-talu, orang Kuta segera berpergian ke banjar (pusat aktiviti penduduk seperti Rukun Tetangga atau JKKK di Malaysia) walaupun punya kerja di disko, hotel, toko dan sebagainya. Oh bagaimana boleh meninggalkan kerja demi tradisi? ini polemik klasik di Bali dan akan saya kupas di dalam tulisan lain, tentang keenganan banyak pengusaha terutama hotel untuk mengambil pekerja Bali beragama Hindu yang dianggap tidak produktif kerana sering terlibat upacara tradisi.

Saya diberitahu oleh teman tersebut bahawa seperti di luar Kuta, tradisi membuat banten tetap kuat di sini di mana para ibu secara kolektif akan membuat segala jenis “peralatan upacara” setiap kali ada upacara walaupun secara ekonomi mereka tergolong mampu untuk membelinya. Fakta di lapangan memberitahu bahawa dengan segala hingar bingar dan dunia gemerlap pelancongan ternyata tidak membuatkan kesedaran kolektif masyarakat Kuta melemah. Saya melihat masyarakat Kuta sangat toleran dengan perangai-perangai liar pelancong hedonis seluruh dunia tetapi di dalam masa sama mereka tidak akan membiarkan hedonisme yang dimunculkan modernisasi muncul sebagai pemenang, sebaliknya tradisi masyarakat Kuta menjadi semakin kukuh.

Kaum terpinggir

Meski demikian di dalam pertarungan tradisi dan modernisasi, tetap ada kelompok yang saya lihat dipinggirkan oleh penguasa, pengusaha dan masyarakat tradisi iaitu pedagang-pedagang kecil dan para nelayan. Sedang penguasa dan pengusaha rakus dengan ego dan wang berlimpah melebihi keperluan dan masyarakat tradisi yang rakus dalam upacara-upacara yang tidak pernah henti, mereka ini hidup dengan pendapatan bersih sehari tidak lebih 50,000 rupiah sedangkan jutaan malah bilion rupiah mudah bertukar tangan dan dihabiskan untuk membeli undi, merasuah dan membuat upacara yang megah-megah.

Kita sebagai warga pelancong dan penghuni sementara boleh memilih untuk tidak peduli dengan permasalahan ini kerana pada akhirnya kita akan pulang ke tempat asal. Namun tidak salah untuk melakukan keduanya, melancong dan berbagi sesama kerana menurut saya kepedulian terhadap kemanusian tiada mengenal istilah pelancong mahu pun pendatang. Semoga dengan menjadi pelancong yang cerdas dan peduli akan mampu mengalahkan arus mega eksploitasi yang kuat terjadi di kedua-dua kubu yang bertentang; tradisi dan modernisasi.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Talk of the web