Mengurus ‘indie’
| Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com). |
15 SEPT — Pasca-2008 bukan saja latar politik berubah, latar seni budaya terutama scene “indie” baik penerbitan, muzik, teater, filem dan penganjuran acara seni turut berubah. Sebelumnya maksud indie bagi saya bebas tafsir bergantung kepada sang pemakna. Namun secara umum indie dalam takrif Malaysia adalah sesuatu yang frinjan atau pinggiran (fringe), alternatif, eksperimental, urban dan apa-apa yang berlawanan dengan arus perdana.
Sebelum 2008 penganjuran acara berbau indie sangat sedikit dan jika ada didominasi muzik dan kekerapannya sekejap ada dan sekejap tidak ada. Dari segi geografi, kebanyakan acara masih berpusat di Kuala Lumpur. Sekadar menyebut beberapa nama acara; Acara Baca Puisi Keliling (Apuke), Layar Tancap, Maskara dan Rantai. Penerbitan terutama berbahasa kebangsaan boleh dikira dengan jari; Sindiket Soljah, Sang Freud Press dan Republik Kutu.
Kini suasana berubah; penganjuran acara mulai tersebar ke luar Kuala Lumpur; Projek Rabak di Ipoh, JOHO di Johor Baru, Frinjan di Shah Alam, Buku Jalanan di lapan buah kota termasuk Sabah dan Sarawak dan banyak lagi yang tidak tersebut di sini. Penerbitan bersemangat “indie” sudah merambah pasar yang lebih besar tanpa perlu menjadi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), malah beberapa judul dari penerbit Fixi yang dimiliki Amir Muhammad dan Lejen Press menjadi buku terlaris di beberapa kedai buku tempatan. Pementasan teater bersemangat “indie” pula jika kena cara boleh membuat keuntungan, sesuatu yang tidak pernah terfikir pada masa dulu.
Sebagai penggerak awal Frinjan yang aktif pasca-2008 dan bersama-sama membangun scene, apa yang terhasil sekarang sangat di luar dugaan dan harus disyukuri. Meskipun semakin besar, semangat “indie” hampir semua yang terlibat dilihat tetap utuh walaupun pendekatan mengalami penyesuaian dan strategi baru digunapakai. Apa yang saya maksud dengan semangat “indie” adalah obsesi untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik dan diingini tanpa campur tangan pihak-pihak yang bermentaliti untung rugi. Walau tidak dinafikan faktor wang sangat penting untuk kesinambungan, ada beza yang jelas antara kepentingan wang untuk mengisi perjuangan dan kepentingan wang untuk mengeksploitasi dan kemudian hilang apabila tidak menguntungkan.
Persoalan sekarang bagaimana untuk mengurus scene “indie” yang sedang rancak ini supaya tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan tanpa sedar oleh beberapa scene yang akhirnya sekadar menjadi tren seperti berbasikal fixie. Sudah lumrah sesuatu scene akan mengalami pasang surut, namun biarlah ia berlaku dengan meninggalkan isi dan jejak supaya suatu saat akan didokumentasi dan dijadikan kajian akademik. Lebih cemerlang jika debat intelektual muncul darinya. Maka, keperluan untuk mengurus sangat penting supaya daya tahan akan lebih lama dan tidak terjebak dengan sensasi luaran tetapi miskin dalaman.
Menurut saya, salah satu mekanisme kawalan yang boleh dilakukan adalah dengan tidak bersifat eksklusif, dalam erti kata lain hanya untuk kawan-kawan yang disukai. Sudah menjadi tabiat scene selalunya tidak ramah terhadap kawan-kawan yang belum dikenali, apatah lagi kawan-kawan yang tidak disukai. Meski tidak dinafikan sokongan kawan-kawan yang disukai amat penting, namun dengan berjiwa kecil acapkali mematikan apa yang kita mulakan dengan kadar segera.
Lalu bagi saya, kerjasama atau koloborasi dengan pihak-pihak lain terutama yang berbeza baik ideologi, bahasa, metode dan lain-lain amat penting supaya pengembangan dapat berjalan. Jangan dikeranakan kelompok berseberangan berideologi kanan atau berbahasa elit kita menjarakkan diri. Malang jika memilih untuk menolak diversiti dan pluralisme dalam berkesenian kerana yang akan lahir adalah minda tertutup.
Terakhir, jangan sesekali menganggap gerakan “indie” kita paling benar dan cool sehingga lahir pandangan mereka yang memilih jalur berbeza sebagai kampungan, mat rempit, tidak urban dan sebagainya. Mengaitkan sesuatu gerakan untuk sekadar dilihat berbeza dan kelihatan cool adalah pembodohan yang wajib dilawan. Mengatakan jika hadir ke Pekan Frinjan sebagai contoh adalah aksi cool dan ke Jom Heboh sebagai tidak cool adalah dosa besar dan buah paku keras yang akan membunuh gerakan. Sebuah gerakan harus berusaha untuk merakyat, merata dan mempersatu bukan sebaliknya membezakan darjat dan memecah belah atas faktor luaran. Andai perbezaan terlahir atas faktor dalaman atau isi dan pertandingan idea itu barangkali masih boleh diterima. Lebih keji perbezaan dan perpecahan dilahirkan kerana merebut sang lelaki atau sang wanita.
Introspeksi atau melihat semula wajar dilakukan dari masa ke semasa supaya scene indie akan terus bersinar secara semangat sampai bila-bila seperti contoh scene di Korea Selatan dan Indonesia. Arus perdana dan indie wujud untuk saling lengkap melengkapi dan kita semua bertanggungjawab untuk merayakannya dan mengurus keduanya supaya lambat laun pengisian yang berbicara bukannya wang ringgit dan kepalsuan semata.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.





