Pemilihan calon PRU harus tepati citarasa rakyat
22 APRIL — Bulan Jun kini dilihat sebagai bulan yang paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13. Sehingga artikel ini ditulis, teka-teki mengenai tarikh sebenar PRU 13 masih hangat diperkatakan.
Ini adalah berdasarkan kepada arahan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa senarai calon-calon parti komponen untuk PRU perlu diserahkan dalam tempoh dua minggu akan datang.
Menghangatkan bahang dan suasana PRU 13 ialah ramalan Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA) bahawa BN dijangka meraih kembali undi majoriti dua pertiga di Parlimen selain merampas beberapa buah negeri yang ditawan oleh pembangkang pada PRU 2008.
Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pula begitu giat dengan jelajah mereka ke seluruh negara untuk bertemu dengan rakyat bagi merasai sendiri nadi dan keluhan rakyat jelata.
Kesemua berita-berita yang dilihat positif itu nampaknya meyakinkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bahawa inilah masa terbaik untuk mengadakan PRU.
Bagi kalangan pemimpin politik terutamanya mereka yang masih berjawatan dan mereka yang memasang impian untuk terus berkuasa, saat ini merupakan mati hidupnya kerjaya politik mereka.
Apa tidaknya, jika terpilih sebagai calon bermakna mereka berpeluang untuk terus bergelar sebagai Yang Berhormat tetapi kepada mereka yang gagal dan tumpas, perkembangan tersebut sudah tentu menandakan berkubur terus kerjaya politik mereka. Pendek kata, selepas ini tiada lagi kesempatan untuk berada di hadapan lensa media saban hari.
Dari kaca mata rakyat marhaen, persoalan bilakah PRU 13 akan diadakan tidak begitu signifikan kepada mereka. Bagi rakyat marhaen, agenda yang lebih dekat dengan nadi mereka adalah isu-isu yang menjurus kepada kehidupan seharian. Isu-isu seperti kos sara hidup yang semakin meningkat, inflasi, rasuah, jenayah dan sistem pentyampaian kerajaan merupakan antara isu yang seringkali diangkat sebagai isu berkempen.
Rakyat marhaen sesungguhnya amat dahagakan calon-calon wakil rakyat yang berkaliber, telus dan berjiwa rakyat. Apa yang cukup dibimbangi rakyat ialah mereka akan mungkin tersalah memilih pemimpin lagi pada PRU kali ini. Beberapa insiden buruk yang menyaksikan beberapa wakil rakyat berpaling tadah dan bertindak meninggalkan parti politik yang didukungi mereka terdahulu dengan alasan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk kepimpinan parti.
Namun, cara pemimpin-pemimpin politik berpaling tadah dengan cara yang kurang profesional dan beretika telah meninggalkan kesan yang negatif di mata rakyat. Barangkali kerana sikap yang kurang bertanggungjawab dan kurangnya integriti pada diri pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan, persepsi serong rakyat terhadap pemimpin politik terus meningkat.
Rakyat kini tertanya-tanya sejauhmanakah komitmen dan dedikasi wakil-wakil rakyat yang dipilih ini? Adakah mereka yang dipilih itu benar-benar ikhlas, komited dan berdedikasi untuk menunaikan tanggungjawab hakikinya sebagai wakil rakyat dengan baik? Ataupun matlamat utama mereka hanyalah untuk memegang kuasa dan membuktikan mereka yang paling berkuasa?
Kebimbangan yang ditunjukkan rakyat marhaen terhadap aspek ini ada asasnya memandangkan terdapat segelintir daripada pemimpin politik yang nampaknya lebih cenderung untuk berpolemik secara keterlaluan.
Saban hari ada sahaja perang lidah antara pemimpin daripada kedua-dua belah pihak baik kerajaan mahupun pembangkang yang merungut dan mencabar antara satu sama lain ibarat budak sekolah semata-mata untuk meraih sokongan pengundi dan syok sendiri. Sikap sedemikian merupakan suatu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat.
Keghairahan mereka untuk berpolemik melampaui batasan yang dibenarkan secara tidak langsung melencongkan tumpuan mereka untuk membela nasib rakyat yang memerlukan. Dan apabila nasib rakyat tidak terbela, sudah pasti mereka akan mencari alternatif yang lebih berkesan untuk menjamin nasib masa depan mereka yang terpelihara.
Apabila senario berkenaan berlaku, pemimpin-pemimpin politik tidak wajar tersentak atau berasa marah terhadap pengundi di kawasannya. Sebaliknya, wakil-wakil rakyat sebegini harus bermuhasabah diri dan memikirkan keperluan untuk berundur lantaran memberi laluan kepada calon-calon yang lebih layak dan berkemampuan.
Yang menjadi masalah mutakhir ini ialah masih terdapat segelintir pemimpin yang merasakan dirinya masih layak, calon yang boleh menang dan mahu bertanding sedangkan keadaan sebenar di akar umbi menceritakan cerita yang sebaliknya.
Wakil-wakil rakyat sewajarnya bimbang dengan persepsi negatif rakyat terhadap pemimpin-pemimpin politik. Persepsi yang begitu negatif menceritakan segala-galanya yakni pemimpin politik tidak boleh dipercayai dan mempunyai agenda tersendiri. Apabila persepsi negatif terus dibiarkan berterusan, ia sudah pasti akan mengikiskan lagi kredibiliti serta integriti kedudukan seseorang pemimpin politik. Apa sahaja yang diusahakan oleh pemimpin politik selepas ini walaupun usaha itu bersifat murni, akan dianggap sebagai mempunyai agenda tersembunyi.
Ketidakpercayaan rakyat terhadap pemimpin politik hanya akan mewujudkan satu vakum luas yang perlu diisi oleh pihak yang lain. Persoalannya, siapakah pihak yang boleh mengisi vakum yang ditinggalkan itu? Pertubuhan bukan kerajaan, institusi diraja ataupun orang-perseorangan?
Justeru, adalah menjadi harapan rakyat marhaen agar senarai calon-calon yang diturunkan nanti benar-benar berpegang teguh kepada janji untuk membela nasib rakyat. Janganlah menjadi seorang wakil rakyat yang angkuh, bermusim dan tidak boleh didampingi. Dampingilah rakyat senantiasa kerana kuasa untuk mengundi atau menolak wakil rakyat terletak di tangan mereka. Tidak ada wang yang sebanyak mana yang boleh membeli atau menyogok pendirian mereka.
Rakyat marhaen tidak membuat permintaan yang melampau. Mereka hanya mahu seorang wakil rakyat yang berjiwa rakyat, rendah diri, dan berupaya untuk mendengar segala permasalahan mereka. Apabila kesemua permintaan itu dapat dipenuhi, perjuangan mereka untuk meraih kemenangan pada PRU sebenarnya sudah menghampiri kenyataan.
Maka kerana itu, buatlah pilihan yang tepat dan bijak agar tidak akan merana di kemudian hari!
*Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.





