Perihal kritikan pedas Chef Wan, kesediaan kita menerima kritikan dengan hati terbuka
1 JAN — Tiada siapa daripada kita yang suka dikritik oleh orang lain. Baik dari kalangan pemimpin atasan mahupun rakyat marhaen seperti penulis, semuanya sependapat dengan hakikat berkenaan.
Maklumlah itu merupakan sikap semula jadi manusia yang sentiasa mahu dirinya dihargai apatah lagi dihormati. Apabila dihamburkan dengan pujian, secara tidak langsung ia boleh dianggap satu pengiktirafan kepada diri seseorang lantaran meningkatkan keyakinannya.
Bagi mereka, sebarang kritikan biar yang kecil sekalipun seolah-olah meletakkan diri mereka dalam keadaan yang negatif. Lebih buruk lagi, kritikan itu turut dilihat sebagai mencabar wibawa dan maruah dirinya yang perlu ditebus.
Apabila wibawa dirinya tercabar, mereka melenting dan bermula dari peringkat inilah, mekanisme pertahanannya diaktifkan. Perihal mekanisme pertahanan yang dimaksudkan di sini ialah kecenderungan individu tertentu menggunakan bermacam cara untuk mempertahankan pendiriannya biarpun adakalanya tidak betul.
Pelbagai alasan terus diberikan dengan harapan orang lain akan termakan dengan pendiriannya. Kelazimannya, individu-individu sebegini gemar memanipulasikan situasi di hadapan mereka seolah-olah seluruh dunia sedang menentangnya.
Situasi tersebut tidak mungkin akan berlaku jika mereka berlapang dada dan menganggap kritikan yang dilontarkan sebagai sesuatu yang membina dan bukannya elemen desktruktif.
Akan tetapi bagi mereka yang ego, sombong dan hanya melihat dirinya sahaja yang betul, apa jua kritikan akan menyebabkan mereka cepat melatah malah tidak mungkin mampu merobah perangai buruknya itu.
Dan ini membawa penulis kepada kontroversi membabitkan juri Maharaja Lawak Mega (MLM), Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan baru-baru ini yang mengeluarkan komen-komen pedas terhadap mutu persembahan peserta-peserta MLM yang disifatkannya belum mencapai lawak yang dimahukan.
Komen-komen pedas Chef Wan yang pada dasarnya cukup ikhlas itu bagaimanapun tidak begitu disenangi oleh segelintir individu yang menyifatkan komen beliau agak keterlaluan.
Apapun tabik kepada Chef Wan kerana ketika ditemuramah dalam program bual bicara Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24 beliau dengan lantangnya menegaskan, tidak kisah dengan perkembangan terbaru itu sebaliknya percaya bahawa komen-komen pedas yang dilontarkan bukan bertujuan untuk mengaib mana-mana peserta tetapi untuk memperbaiki kelemahan mereka.
Katanya, peserta-peserta tidak boleh selalu mengharapkan pujian sepanjang masa daripada barisan juri kerana jikalau persembahan mereka sememangnya tidak memuaskan, maka perkara sebenar perlu dinyatakan, bukan menyembunyikannya.
Dalam konteks ini, terserlah kejujuran Chef Wan dalam memberikan kenyataan mengenai prestasi peserta MLM. Pendek kata, hitam tetap hitam dan putih tetap putih, bukan sebaliknya. Penulis bukanlah berniat untuk memihak kepada Chef Wan tetapi sebagai seorang yang mementingkan prinsip dan kejujuran, kelantangan Chef Wan wajar dicontohi.
Perlu diakui bahawa nada suara Chef Wan dalam temuramah berkenaan sememangnya panas, tetapi di sebalik “kepanasan” emosinya itu, terselit mesej tersirat yang boleh dijadikan iktibar untuk kepentingan bersama.
Dengan suasana masyarakat yang semakin individualistik dan kepura-puraan, bukankah sikap berterus-terang dan jujur resipi terbaik dalam pengisian kehidupan seharian kita? Sampai bilakah kita harus membiarkan kehidupan seharian kita dibayangi dengan kepalsuan dan kepura-puraan?
Meskipun bilangan orang yang lantang memberikan pendapat secara kritis tidaklah sebanyak mana, tetapi langkah pertama tetap menjadi langkah terpenting dalam memecahkan tembok kebuntuan itu.
Apalah sangat dengan kritikan jika ia berniat baik, ikhlas dan penting untuk masa depan negara tercinta kita? Apakah ada pihak berkepentingan yang takut dengan bayangannya sendiri? Mengapa kebanyakan daripada masyarakat melihat kritikan itu sebagai sesuatu yang negatif?
Kita mungkin telah diajar untuk menganggap kritikan sebagai sesuatu yang negatif sebelum ini, namun ia tidak bermakna pandangan terbabit harus kekal sedemikian hingga ke akhir hayat. Yang pasti, pandangan tersebut boleh diubah jika wujud kesungguhan daripada setiap individu. Daripada melihat kritikan sebagai elemen destruktif, ia seharusnya dipandang sebagai ejen perubahan.
Apabila takuk pemikiran ini tidak diubah, lama-kelamaan ia pasti menjadi ikutan ramai. Dan selagi takuk minda lama tidak berubah, maka selama itulah budaya ini akan membarah. Apa yang anda saksikan dalam dunia politik negara terutamanya percakaran sesama pemimpin politik yang gemar cabar-mencabar di khalayak adalah berpunca daripada keengganan mereka untuk menerima kritikan.
Masing-masing kiasu, kiasi dan begitu pentingkan maruah. Apakah begitu sukar untuk merendahkan ego mereka? Apakah mendengar kritikan daripada pihak lain mampu merendahkan martabatnya?
Untuk melangkah lebih jauh, sudah tiba masanya untuk mengubah tabiat buruk ini. Umumnya, jangan menganggap kritikan yang dilontarkan oleh seseorang sebagai sesuatu yang tidak berguna. Adalah merupakan satu kesilapan besar jika kritikan sedemikian diketepikan begitu sahaja hanya disebabkan individu yang mengkritik itu adalah musuh ketat anda. Yang pentingnya, melalui kritikanlah, segala kepincangan diri dapat dikesan sekaligus diperbetulkan semula.
Apa yang pastinya, apabila ada orang yang mengkritik, ia bermakna ada pihak yang prihatin dan mahu melihat penambahbaikan. Jangan sampai tidak ada orang mengkritik nanti, segalanya mungkin sudah terlambat. Ubahlah sikap kita dalam menilai sesuatu kritikan.
Jangan menilai sesuatu hanya pada permukaan sahaja. Dengar baik-baik sebelum melatah. Elak daripada berfikiran bahawa hanya pandangan anda sahaja yang betul manakala selebihnya adalah salah.
Hari ini merupakan hari pertama dalam Tahun Baharu 2012. Sesungguhnya, di awal tahun baharu, tertanam tekad dan azam untuk kehidupan yang lebih berjaya dan gemilang, lebih-lebih lagi dalam kerjaya masing-masing. Menyedari hakikat itu, beranikah, mampukah dan sanggupkah kita semua berubah ke landasan yang lebih baik sempena tahun baharu 2012 ini?
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
* Segala pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.





