7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Opinion

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Beliau memblog di www.aminiskandar.blogspot.com dan "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

PPSMI: Berpijaklah di alam nyata

November 18, 2011

18 NOV — Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai iklim panas dan lembab sepanjang tahun. Sebulan dua ini, hujan turun hampir setiap hari. Kadang kala hujan terlalu lebat dan angin kuat hingga menyebabkan pokok-pokok tumbang.

Apa pun yang kita lakukan, kita tidak akan dapat mengubah Malaysia dari realiti ini. Malaysia tidak mungkin akan menjadi sebuah negara empat musim. Itulah realitinya. Itulah kenyataan yang tidak dapat kita ubah.

Baru-baru ini isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kembali bergema.

Sebelum ini, isu PPSMI senyap seketika selepas Gerakan Anti PPSMI menganjurkan demonstrasi besar-besaran yang dihadiri oleh puluhan ribu rakyat di ibukota dan berjaya mendesak kerajaan untuk memansuhkan PPSMI.

Isu ini muncul kembali apabila dua organisasi seperti Jaringan Melayu Muda (JMM) dan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) membantah tindakan kementerian pelajaran untuk tidak meneruskan PPSMI dan menggantikannya dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

JMM dan PAGE mendakwa mereka mewakili ibubapa-ibubapa yang mahukan anak-anak mereka terus mempelajari matapelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris.

PAGE mengemukakan keputusan bahawa kajian yang dijalankan oleh JMM membuktikan lebih separuh daripada lebih 50,000 responden tidak boleh menerima MBMMBI dilaksanakan di sekolah-sekolah bagi menggantikan PPSMI.

Kajian JMM

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi memperlekehkan kajian JMM tersebut dan menyifatkan kajian tersebut sebagai tidak mewakili pola pemikiran dan pendapat umum yang boleh dipercayai.

Sebagai Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad sudah pasti terdedah dengan data-data tentang bagaimana PPSMI telah menyebabkan peratusan untuk lulus terpaksa diturunkan dengan begitu rendah sekali untuk memastikan majoriti pelajar lulus dalam kedua-dua matapelajaran ini.

Dari maklumat yang saya perolehi daripada “orang dalam” Kementerian Pelajaran, pernah satu ketika peratusan untuk lulus bagi matapelajaran tersebut terpaksa diturunkan sehingga 20 peratus!

Seperti biasa, penghujahan pro PPSMI yang digunakan sama, mereka (baca: JMM dan PAGE) percaya, dengan mempelajari Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris, lebih mudah untuk anak-anak mereka menguasai kedua-dua bidang tersebut. Selain itu mereka juga percaya PPSMI akan memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris anak-anak mereka.

Mungkin JMM, PAGE dan golongan pro PPSMI terlepas “pandang ke Timur”. Di negara seperti Jepun dan Korea Selatan, tanpa PPSMI, mereka telah berjaya melahirkan ramai rakyat yang mempunyai kemahiran sains dan matematik sehingga mampu untuk mengangkat martabat negara mereka ke persada antarabangsa.

Malahan mereka mampu menewaskan Barat dari segi sains dan teknologi dalam pelbagai bidang. Tidak perlulah dihuraikan dengan lebih lanjut lagi tentang ini oleh kerana sudah ramai yang tahu.

Jika kita “pandang ke Barat” sekalipun, kita akan melihat negara seperti Jerman yang tidak melaksanakan dasar PPSMI akan tetapi berjaya melahirkan rakyat yang cerdik pandai menguasai sains dan matamatik.

Di jalanraya-jalanraya di Malaysia boleh terlihat banyak kenderaan-kenderaan yang dihasilkan oleh negara Jerman seperti Volkswagen, BMW, Porshe dan banyak lagi. Ini juga tidak perlu saya nyatakan satu persatu oleh kerana ramai yang sudah tahu.

Adalah dangkal pemikiran jika kita berfikir penguasaan bahasa Inggeris akan menjadi mantap dengan adanya PPSMI.

Jika benar-benar ghairah untuk memastikan pelajar-pelajar di Malaysia mahir dalam bahasa Inggeris, panjangkan waktu pembelajaran bahasa Inggeris dan perkenalkan matapelajaran sastera Inggeris di sekolah-sekolah. Ini sudah tentu lebih berkesan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris.

Sejarah PPSMI

PPSMI dilaksanakan satu ketika dahulu secara tergesa-gesa pada tahun 2003 sebelum bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan. PPSMI dilaksanakan tanpa percubaan dan kajian yang mendalam. Di katakan belanjanya juga agak mahal sehingga mencecah berbelas billion.

Pelaksanaan PPSMI ini menunjukkan kontradiksi di dalam pemikiran Dr Mahathir. Beliau yang memperkenalkan dasar “pandang ke Timur” juga adalah orang yang memperkenalkan PPSMI. Tidak nampakkah percanggahan dalam pemikiran?

Jika kita “pandang ke Timur”, kita akan melihat Jepun dan Korea Selatan seperti yang saya nyatakan diatas dan tidak perlu PPSMI. Yang mana sebenarnya dimahukan Mahathir?

Apakah PPSMI diperkenalkan semurni-murni niat untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam Sains dan Matematik serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris atau kontrak dan projek untuk melaksanakan dasar ini yang dikejar?

Hanya tuan punya diri yang tahu niat sebenar pelaksanaan dasar ini.

Pengkritik filem, saudara Mansor Puteh di dalam penulisan di blognya turut mengkritik PPSMI. Dengan sinisnya Mansor melabelkan golongan pro PPSMI ini sebagai “lebih Inggeris daripada orang Inggeris”.

Dalam isu ini, seelok-eloknya kita berpijak di alam nyata. Dasar pelajaran tidak boleh di buat bercampur-campur.

JMM dan PAGE masih mempunyai pilihan, jika tetap berkeras mahukan PPSMI, hantarlah anak-anak ke sekolah antarabangsa atau lebih baik lagi, hantar sahaja anak-anak untuk bersekolah di London.

Sudah pasti penguasaan bahasa Inggeris anak-anak mereka setaraf atau lebih baik lagi dari penduduk London.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.