15 JAN — Apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini mengumumkan bahawa partinya tidak akan menerima sebarang jawatan dalam Kabinet jika mempamerkan keputusan buruk pada PRU 13 nanti, ada yang melihatnya sebagai satu pengorbanan besar daripada parti kedua terbesar dalam komponen Barisan Nasional (BN) itu. Bagi kumpulan individu tersebut, tindakan MCA berkenaan dilihat sebagai manifestasi rasa tanggungjawab mereka terhadap masyarakat Tionghua yang selama ini menjadi tunjang utama dalam perjuangannya. Sedia maklum MCA merupakan sebuah parti politik yang berasaskan kaum Cina.
Mereka percaya dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian, masyarakat Tionghua yang telah berarah angin kepada pakatan pembangkang pada PRU12 lalu akan kembali menyokong parti tersebut. Apa tidaknya, strategi sedemikian pernah digunakan dalam PRU sebelumnya dan ia terbukti berjaya.
Rasional yang disandarkan oleh mereka kepada masyarakat Tionghua ialah jika parti MCA tidak diwakili dalam kerajaan maka suara masyarakat Tionghua akan hilang dan bermakna kepentingan masyarakat Tionghua juga terancam.
Jika dilihat secara teliti kenyataan itu dari pelbagai sudut, ia boleh dianggap sebagai satu kenyataan politik dengan tujuan untuk menilai reaksi dan mencetus tindak balas daripada masyarakat Tionghua. Matlamatnya untuk mencetuskan ketidaktentuan dalam pemikiran mereka dan memberikan gambaran bahawa seolah-olah MCA sahaja yang mampu membela nasib mereka.
Dari satu sudut yang lain pula, MCA tidak mempunyai banyak pilihan melainkan melakukan sesuatu yang drastik untuk terus relevan dalam lanskap politik semasa. Dengan PRU13 dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini dan paling sengit pernah diadakan, mahu tidak mahu MCA perlu berubah jika tidak mahu diubah.
Yang pasti, kenyataan Presiden MCA itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan mahupun satu kenyataan politik yang bijak. Sebaliknya, ia terus mempamerkan kedangkalan pemimpin-pemimpin parti politik yang saban kali tampil dengan kenyataan-kenyataan yang panas semata-mata untuk memenuhi ruang dada akhbar tetapi tidak mencongak secara teliti kesudahan di sebalik pengumuman itu.
Tidak dinafikan keyakinan Soi Lek dalam mengeluarkan kenyataan itu sememangnya dikagumi lebih-lebih lagi dalam suasana sentimen semasa masih tidak memihak kepada MCA. Pada ketika tindakan sedemikian dilihat sebagai sesuatu yang “suicidal” dan memakan diri, pendekatan itu juga yang diambilnya. Kata orang, senjata yang paling baik ialah untuk menyerang bukannya bertahan.
Tetapi, apakah saranan itu benar-benar akan diikuti oleh kalangan pemimpin-pemimpin MCA lain yang berjawatan tinggi dalam Kabinet? Apakah kumpulan pemimpin MCA yang memegang jawatan tinggi dalam Kabinet benar-benar bersedia untuk menyerahkan jawatannya jika itulah senarionya pada pasca PRU13 nanti? Inilah yang ingin diketahui oleh rakyat marhaen seperti penulis.
Maklumlah segala kata-kata yang dijanjikan oleh pemimpin politik, bukannya 100% boleh dipercayai. Terdapat kecenderungan oleh pemimpin politik untuk menjanjikan sesuatu yang hebat-hebat belaka tetapi pada akhirnya, terpaksa menelan kembali janji itu. Mungkinkah jawatan dan pengaruh yang ada pada mereka terlalu sukar untuk dilepaskan?
Dalam konteks ini, rakan-rakan seperjuangan Soi Lek dalam MCA yang sebenarnya akan merasa tempias di atas pengumuman tersebut. Bagi Soi Lek yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet, beliau boleh melakukan pelbagai pembaharuan untuk mengukuhkan cengkaman dalam parti manakala perkara yang sama tidak boleh diperkatakan untuk pemimpin-pemimpin tertinggi lain. Siapakah yang akan mengisi kekosongan jawatan-jawatan yang ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin MCA nanti sekiranya ramalan mengenai prestasi buruk MCA pada PRU 13 kelak menjadi kenyataan?
Sama ada disedari atau tidak, kenyataan Soi Lek itu tidak akan banyak membantu meyakinkan kembali masyarakat Tionghua untuk menyokong MCA tetapi memberi gambaran seolah-olah MCA kini kian terdesak hinggakan janji yang suicidal sebegini boleh diberikan. Malah, nampaknya mereka lebih rela mengorbankan kepentingan jangka panjang untuk memenuhi kepentingan jangka pendek.
Apa yang digambarkan sebentar tadi sebenarnya merupakan antara simptom-simptom utama yang memperlihatkan ciri-ciri sesebuah pihak yang terdesak untuk meraih sokongan yang tidak kembali. Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan terang-terangan kepada Soi Lek dan pucuk kepimpinannya di atas kenyataan itu. Jika penulis berada di pihak Soi Lek sekalipun, penulis berkemungkinan besar akan berbuat perkara yang sama. Maklumlah apabila sudah berada dalam keadaan terdesak, pelbagai strategi perlu digunakan.
Mengambil kira kedudukan MCA di mata masyarakat Tionghua ketika ini yang masih rendah, Soi Lek dan kepimpinannya tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada mencuba nasib yang sekurang-kurangnya menjanjikan sedikit harapan ataupun menunggu waktu dan ketikanya dipinggirkan oleh rakyat.
Untuk itu, penulis kena beri “pengiktirafan” kepada Soi Lek kerana sekurang-kurangnya beliau mencuba. Kesediaan beliau untuk mengambil tindakan itu biarpun berisiko, secara tidak langsung memperlihatkan “kejantanan” beliau untuk menangani sesuatu isu secara hands-on, bukannya bersembunyi seperti pemimpin-pemimpin terdahulu.
Begitupun, pucuk kepimpinan MCA termasuk Soi Lek sendiri perlu menyedari bahawa mereka sedang bermain dengan permainan persepsi. Dalam dunia politik, segalanya adalah berkisar kepada persepsi. Persepsi inilah yang menentukan hala tuju/masa depan mereka. Permainan persepsi inilah yang masih kurang memihak kepada MCA.
Yang jelas, gertakan yang diberikan oleh MCA kepada masyarakat Tionghua kononnya suara masyarakat Tionghua akan semakin mengecil dalam kerajaan hanya akan mengundang reaksi yang sebaliknya. Mereka perlu sedar bahawa strategi yang digunapakai lebih 15 hingga 20 tahun tidak semestinya menjanjikan kesudahan yang sama.
Tambahan pula, masyarakat Tionghua sudah matang dan tahu untuk membezakan jenis pemimpin yang harus disokong dan disanggah — tidak seperti dahulu yang buta-buta menerima kehadiran mereka. Soal jenis pemimpin manakah yang harus dipilih kini bukan sahaja bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran, bahkan juga moraliti mereka.
Semua sedia maklum pengundi-pengundi Tionghua adalah pengundi yang pragmatik. Ada kalanya mereka menyokong kerajaan dan ada ketikanya juga beralih kepada pembangkang. Ia terbukti dalam beberapa PRU yang lepas. Soal sama ada mereka tidak patut menyokong pihak lain selain MCA biarlah diputuskan sendiri oleh rakyat.
Rakyat merupakan “kingmaker” dalam menentukan jangka hayat sesebuah parti politik dan oleh itu, adalah menjadi harapan penulis agar MCA boleh membuktikan kepada semua bahawa ia masih relevan dalam konteks politik semasa.
Penulis juga percaya, semua akan menantikan dengan penuh debaran apakah janji untuk tidak menjawat sebarang jawatan dalam Kabinet akan dipenuhi seandainya prestasi PRU 13 tidak memberangsangkan.
Ataupun ianya sekadar satu kenyataan politik yang bersifat retorik dan utopia yang tidak mungkin dapat dilaksanakan?
Buktikan kepada semua bahawa apa yang diperkatakan itu adalah tidak benar!
Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.








