Opinion

Realiti dunia politik yang membingungkan!

May 13, 2012

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

13 MEI — Salah satu daripada dilema terbesar yang membelenggu pemimpin politik di Malaysia ialah untuk meluahkan sesuatu yang dekat dengan hatinya.

Ini kerana, mereka terpaksa mengimbangkan antara kepentingan, pendirian parti politik yang disertainya dengan sentimen rakyat marhaen.

Dalam kedua-dua situasi tersebut, pemimpin-pemimpin politik tidak mempunyai banyak pilihan. Pendek mata, mereka berada dalam keadaan “kalah-kalah.”

Jika kepentingan atau pendirian parti telah diingkari, pemimpin-pemimpin politik terbabit boleh mendapati dirinya “dikunci” mulutnya atau tidak mendapat tempat dalam hierarki kepimpinan tertinggi parti.

Apabila situasi sedemikian berlaku, mereka boleh melambaikan selamat tinggal kepada kerjaya politik mereka. Jika mereka gagal pula dalam meluahkan sesuatu atau bertindak sebagai pembela rakyat, mereka berisiko untuk berhadapan dengan amarah gelombang kebangkitan rakyat. Lebih buruk lagi, disebabkan kelalaian itu, mereka mungkin akan kehilangan jawatan sebagai wakil rakyat.

Justeru, siapa kata tugas sebagai seorang wakil rakyat suatu tugas yang mudah? Dahulunya,  mungkin kenyataan berkenaan masih boleh digunapakai tetapi seiring dengan peredaran masa, ia sudah jauh berubah.

Segala gerak-geri, kata-kata dan juga tingkah laku wakil rakyat kini menjadi perhatian seteru politiknya. Senario ini bertambah kompleks apabila sentimen kepartian dan kepuakan semakin menebal.

Yang datang daripada pihak pemerintah sudah pasti akan memperjuangkan dasar-dasar kerajaan bermati-matian manakala pihak pembangkang pula tugas mereka sudah pasti untuk membangkang apa sahaja yang dikemukakan kerajaan.

Bermakna, yang tersepit di antara kedua-dua kumpulan itu, adalah pemimpin-pemimpin yang memilih untuk bersuara mengikut “naluri hati” mereka, dan tidak semestinya berdasarkan kepada kesetiaan kepada parti politik yang diwakilinya.

Persoalannya, berapa ramaikah daripada pemimpin politik tidak mengira daripada pemerintah atau pembangkang yang berani berjuang melawan arus?  Berapa ramaikah daripada mereka yang tidak gentar untuk memperjuangkan sesuatu isu hinggakan sanggup meletakkan kerjayanya di persimpangan?

Amat malang, jumlah pemimpin yang tergolong dalam kategori berkenaan tidak banyak dan boleh dikatakan hanyalah golongan minoriti sahaja. Selebihnya mereka memilih jalan selamat dengan tidak bercakap sesuatu yang berbaur kontroversi. Itulah respons tipikal pemimpin-pemimpin politik dari kedua-dua belah pihak di negara ini.

Apabila salah seorang daripada Senator daripada parti pembangkang iaitu Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim baru-baru ini tidak sependapat dengan pucuk kepimpinan tertinggi parti yang diwakilinya terhadap isu perhimpunan Bersih 3.0, semacam ada satu sinar harapan bahawa budaya berpolitik yang tidak partisan akan mula mendapat tempat dalam negara.

Tatkala politik negara kita dalam keadaan yang bergelora dan memerlukan kepimpinan politik yang segar, beliau pula dikecam hebat oleh rakan-rakan seperjuangan dalam partinya.

Rentetan daripada itu, pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap beliau seolah-olah telah melakukan satu kesalahan yang cukup besar. Walhal, ketika beliau mula memasuki ke parti yang diwakilinya tidak berapa lama dahulu, pujian pernah dihamburkan kepada beliau.

Satu pengajaran berharga yang perlu dipelajari daripada episod pahit ini iaitu pemimpin politik tidak seharusnya terlalu jujur dalam perlakuan dan kata-kata. Mereka perlu talam dua muka, berpura-pura dan turut sahaja dengan arus di hadapan mereka biarpun tidak sependapat. Inilah resipi terbaik untuk terus bertahan dalam dunia politik.

Bersikap terlalu jujur dan berterus-terang walaupun disukai rakyat sememangnya baik, namun perkara yang sama tidak boleh diperkatakan dalam dunia politik. Dunia politik memerlukan seseorang pemimpin yang mampu menahan asakan dan maki-hamun secara berterusan. Benarlah kata orang bahawa politik sebenarnya tidak kotor tetapi yang kotor ialah si pelaku yang mewarnai pentas politik.

Yang pastinya, perbezaan pendapat merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan seharian. Tidak mungkin semua pendapat kita adalah sama, malah dalam anggota keluarga sendiri sekalipun, ia turut berlaku.

Tetapi tidak bermakna perbezaan pendapat yang bercanggah dengan pendirian pucuk kepimpinan tertinggi boleh mengancam kestabilan asas sesebuah parti. Hanya mereka yang tidak dapat menerima kerasionalan dan kebenaran, akan merasakan diri mereka terancam.

Tunku Abdul Aziz bukanlah pemimpin politik tunggal yang diberikan layanan sebegini rupa sebaliknya ada pemimpin-pemimpin politik lain yang turut menerima nasib yang sama.

Adalah menjadi harapan agar budaya berbeza-beza pendapat dapat disemaikan sebagai sebahagian daripada budaya berpolitik kita. Tidak salah untuk berbeza pendapat kerana perbezaan pendapat tidak sesekali menggambarkan pemimpin tersebut memberontak.

Dengan kewujudan ruang untuk berbeza pendapat, ia secara tidak langsung boleh melahirkan kalangan pemimpin politik yang dinamik, berfikiran terbuka dan sentiasa memahami aspirasi rakyat.

Biar berselisih pendapat tidak mengapa, tetapi matlamat dan hasrat untuk memajukan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani adalah sama.  Inilah yang harus diusahakan oleh pemimpin politik melainkan mereka takut akan bayang-bayang sendiri!

*Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Talk of the web