7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Opinion

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).

Salam Bhinneka Tunggal Ika!

February 12, 2012

12 FEB — Bhinneka Tunggal Ika bererti berbeza-beza tetapi satu dan kata ini berasal dari buku atau kitab sutasoma karangan Empu Tantular. Secara terperinci, Bhineka Tunggal Ika memiliki makna walaupun di Indonesia terdapat banyak suku, agama, ras, kesenian, adat, bahasa, dan lain sebagainya namun tetap satu kesatuan yang sebangsa dan setanah air, kesepaduan dalam kepelbagaian. Di bawah “Garuda Pancasila”, iaitu lambang negara Indonesia, turut tertera cogankata “Bhinneka Tunggal Eka” tersebut.

Pada lambang negara Malaysia, atau jata negara tertera di bawahnya, “Bersekutu Bertambah Mutu” mengambil semangat dari gabungan daerah, wilayah dan 14 buah negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu (seterusnya menjadi Malaysia). Kemudiannya pada pada 2 April 2009, Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan slogan 1Malaysia yang mana intipati gagasan ini adalah tentang idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.

Baik Indonesia atau Malaysia, slogan dari keduanya itu boleh diperdebatkan dari bermacam sudut; persoalan identiti, persoalan keragaman, kesepaduan nasional, toleransi dan persoalan hak-hak. Namun saya tidak berhajat menyentuh panjang persoalan-persoalan tersebut di sini.

Pada hari selasa (7 Februari) yang sudah, setelah 3 dekad hidup saya akhirnya berkesempatan menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves bersama puluhan ribu umat Hindu dan juga para pelancong tempatan dan luar negara. Suasana sangat meriah dengan ratusan gerai dibuka dengan pelbagai produk berkaitan sambutan dijual dan seperti biasa makanan dan minuman buat pengunjung yang kelaparan dan kelelahan di terik panas mentari. Secara peribadi saya amat mengkagumi penganut Hindu yang sanggup berjalan jauh dan mendaki 272 anak tangga untuk membayar nazar mereka melalui pelbagai cara tidak kira wanita atau lelaki, tua atau muda.

Apa yang lebih menarik adalah dua hari sebelum Thaipusam, umat Islam menyambut sambutan kelahiran Nabi Muhammad dan sehari sebelumnya pula masyarakat Cina menyambut Hari Chap Goh Mei. Bagi saya dan kebanyakan rakyat Malaysia pastinya, 3 hari tersebut sangat bermakna terutama tiga kaum utama yang menyambutnya, Melayu, Cina dan India kerana perayaan kepelbagaian itu disambut selang sehari. Secara luarannya seperti sempurna, namun dalamannya boleh jadi bermacam-macam dan bergelora bergantung kepada individu.

Tatkala ramai yang bergembira lagi-lagi kerana memperoleh cuti yang panjang, namun tidak semua merasa nikmat gembira dengan sambutan perayaan di negara ini kerana menurut mereka unsur komersialisasi sudah meresap masuk ke dalam sehingga dibimbangi menghilangkan nilai sebenar ritual keagamaan tersebut.

Memetik Uthaya Sankar SB di dalam tulisan berjudul 'Tentang Thaipusam' yang tersiar di kolumnya di The Malaysian Insider;

“Saya ada menyebut betapa penting dan perlu dokumentasi dilakukan berkaitan sejarah dan sambutan keagamaan itu. Saya berpandangan demikian kerana Thaipusam nampaknya semakin hilang ciri-ciri asal dan sudah semakin menjadi semacam pesta atau sekadar tarikan pelancong dengan menampilkan karnival konsert tarian dan seumpamanya Lebih parah apabila Thaipusam secara terang-terangan turut menjadi “modal” dan “medan” untuk politikus “jual minyak” dan “beli undi”. Sekiranya tiada inisiatif diambil untuk “membetulkan” keadaan tidak mustahil bahawa generasi pelbagai kaum dan agama pada masa akan datang hanya mengenali Thaipusam di Malaysia sebagai pesta pelancongan Cuti-cuti Malaysia dan tempat politikus berkempen menjelang pilihan raya”

Lebih keras lagi seorang pembaca bernama Vijay Ratinam dari Kuala Lumpur menulis di ruangan surat di akhbar The Malay Mail bertarikh 8 Februari;

“Let us stick to the real meaning of Thaipusam and not follow the crowds that rejoice in artificial celebration of unknown reasons for temporary excitement. Hinduism is not a religion of entertainment. The liberty it provides in worship is not to be misused to tarnish the marvel that it embodies and radiates. Hinduism is neither childish nor atrocious as is often observed during Thaipusam”

Di dalam agama Kristian, Paus Benediktus XVI turut mengecam komersialisasi Krismas semasa sambutan malam Krismas 2011 di Vatikan, “Hari ini Krismas telah menjadi satu perayaan komersial, yang terang lampu-lampu menyembunyikan misteri kerendahan hati Tuhan, yang pada gilirannya memanggil kita dengan kerendahan hati dan kesederhanaan”.

Manakala di dalam masyarakat Islam pula, saya masih teringat kritikan keras oleh S.M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mengecam orang seni, orang muzik dan penganjur majlis hiburan sama ada di hotel-hotel atau di kelab-kelab, yang menurut beliau masih tidak sedar kelampauan mereka terhadap agama apabila mengadakan persembahan bercorak hiburan, mengeksploitasi kemuliaan Ramadan, memperalatkan roh Ramadan untuk memancing pengunjung.

Bising-bising dari penganut biasa juga tidak lepas, semasa sambutan Thaipusam yang baru saja lepas, akhbar The Malay Mail melaporkan penganut Hindu yang kecewa dengan pengunjung bukan Hindu yang tidak menghormati perayaan mereka dengan mengenakan pakaian yang kurang sopan. Hal yang sama turut berlaku di kalangan penganut agama Islam yang sering melahirkan rasa kurang gembira dengan ramainya masyarakat bukan Islam yang turut menyibukkan diri membeli juadah tatkala keutamaan harus diberikan kepada mereka yang berpuasa.

Hal seperti ini sering kali terjadi barangkali kerana sikap masyarakat kita yang hanya mampu bertoleransi tetapi tidak mempunyai sikap menghormati di antara satu sama lain. Masing-masing berhujah membenarkan diri mereka sendiri berbanding bersandarkan agama kerana sifat sejagat agama itu sendiri adalah menjunjung nilai kemanusiaan yang tinggi.

Saya secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan unsur komersialisasi perayaan agama selagi mana penyeimbangan di antara luaran dan dalaman dapat dipertahan dan saya mempunyai kepercayaan yang kuat bahawa majoriti penganut agama apa pun di dunia ini adalah kelompok rasional yang malangnya suara dan rintihan mereka jarang dipedulikan media barangkali kerana tiada nilai berita yang boleh mencipta konflik, polemik dan sensasi.

Ada satu kisah melucukan terjadi di kalangan segelintir umat Islam yang sentiasa membuat kritikan dan cemuhan kepada operator pusat membeli belah dan media-media yang sentiasa saban tahun memberi publisiti luas kepada perayaan Krismas walaupun faktanya penganut Kristian tidak sampai 10 peratus di negara ini. Namun tatkala Ramadhan dan Aidilfitri diberlakukan sedemikian rupa dalam erti kata dikomersialisasikan, kelompok ini turut membuat bising mengatakan kesucian perayaan ini jangan sesekali dinodai. Paradoks yang sesungguhnya sangat asli Malaysia.

Pada akhirnya tidak dapat dinafikan melalui komersialisasi perayaan agamalah penganut agama yang bermacam-macam dapat mengetahui di antara satu sama lain. Komersialisasi seperti sebuah buku berupa kata pengantar atau pengenalan dan terpulang kepada kita untuk mengisi buku tersebut ke arah yang lebih baik untuk kemanusian sejagat atau lebih buruk untuk kemusnahan dunia..

* Segala pandangan yang diberikan hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja.