Saya bangga saya anak Malaysia
| Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini. |
31 OGOS — Saya adalah anak Malaysia. Lahir dan dibesarkan di sini. Walau di sini tidak banyak pilihan mahupun kepuasan terutamanya dari sudut seni dan muzik yang saya ceburi kususnya, saya masih berbangga saya ini anak Malaysia.
Tidak banyak pilihan kerana majoriti masyarakat bukanlah pencinta muzik sejati, mereka lebih sukakan hiburan dari apa jenis muzik yang mahu kita ketengahkan.
Maka produk dan hasil kerja kita pun hanya diterima dalam kelompok yang minoriti, sehingga kita pun sering merasa terasing, pun saya masih di sini juga kerana seni itu kemahuan jiwa, ianya tanggungjawab kita pada diri sendiri sekurang-kurangnya.
Atau mungkin juga kita ini semakin bijak dalam hal memujuk diri supaya menerima cerita takdir kita ini seadanya? Kerana kekecewaan itu adalah kerugian yang amat kita kesalkan jika ianya terjadi kepada diri kita. Begitu?
Banyak yang saya impikan tentang negara saya selain hidup aman damai seluruh warganya. Banyak yang menghampakan juga tapi saya tetap anak Malaysia.
Sebagai anak Malaysia saya suka untuk ambil tahu apa saja yang melibatkan negara seperti dalam bidang sukan, muzik, politik, seni dan sastera, agama dan sebagainya . Meskipun banyak hal yang tidak memberikan kepuasan kepada saya, pun saya tetap disini juga.
Menjenguk ke sudut sukan, kita meraih 1 perak (badminton) dan 1 gangsa (renang) di Sukan Olimpik 2012 baru-baru ini, itulah level paling tinggi kita di dalam bidang sukan sebenarnya.
Perancangan demi perancangan berserta modal dikeluarkan tahun demi tahun, pun hasilnya begitu juga.
Adakah mereka-mereka itu peduli dan indahkan akan makna 'kejayaan' atau ianya hanya sekadar retorik semata?
Pun walaupun jika ianya menghampakan, saya masih membaca berita dan perkembangan tentangnya, kerana saya ini tetap juga anak Malaysia walau apapun ceritanya.
Menjenguk juga ke sudut sastera, adakah Dewan Bahasa mampu menjana keuntungan hasil jualan buku-buku ilmiah mereka dari kalangan penulis-penulis tersohor tanahair? Yang selalunya hanya akan laku apabila ada jualan murah sehingga buku yang berharga RM50 dijual dengan harga RM5 sahaja. Pun masih tidak laku juga walaupun dijual dengan harga yang serendah RM1?
Atau adakah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang saban bulan mengadakan program Malam Baca Puisi pena itu ramai pengunjungnya dari kalangan anak muda yang lebih sukakan hiburan ringan dan pop atau hanya yang hadir hanyalah kawan-kawan dalam lingkungan kenalan mereka sahaja? Yang jelas mereka hanyalah meraikan bualan dan pujian antara sesama mereka sahaja?
Atau Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) yang bagi saya terlalu jauh dari mimpi dan visi anak-anak muda untuk cuba fahamkan apa visi mereka sebenarnya?
Ego mereka yang katanya dari kalangan yang intelektual memang asing untuk kita dan payah untuk kita menerimanya kerana apa yang mereka kenang dan banggakan hanyalah semalam yang hangat?
Sudahnya bukankah mereka itu hanya “syok sendiri” sahaja bekerja dan beraktivit sambil dibantu oleh pihak Kerajaan dari segi dana?
Pun saya masih tetap di sini juga kerana kita ini walau apa pun tetap rakyat Malaysia. Bukankah begitu?
Saya cemburukan negara jiran kita Indonesia dan sikap terbuka rakyatnya yang lebih faham tentang muzik dan budaya yang berteraskan kejujuran, pun itu tidak adil juga kerana di sana populasi penduduknya sangat ramai, sehingga melebihi 238 juta.
Juga kerana seni dan kefahamannya sudah diajar sejak zaman Sukarno lagi, maka tidak hairanlah jika si tukang sapu pun faham apa itu muzik jazz, folk, blues, rock selain pop. Atau mereka akan faham juga jika si penyajak seperti Sutardji semasa mudanya bersajak dalam suara yang tersekat-sekat seperti katak itu?
Atau adakah penyajak-penyajak kita ada yang selantang dan se rebel W.S. Rendra mahupun Sutardji yang bebas lepas merdeka dalam menyuarakan hasrat dan suara rasa mereka mengikut apa yang mereka faham sefahamnya mereka dan dunia mereka? Atau juga sebebas dan merdeka seperti Chairil Anwar contohnya?
Sedang kita di sini sejak dulu dididik dengan budi dan santun sehingga bahasa yang kurang ajar walau ianya dalam bentuk yang provokatif itu sangat biadap bagi kita hingga kita tidak pernah tahu atau faham apa makna rebel itu?
Pun saya tetap berbangga yang saya ini anak Malaysia!
Menjenguk ke sudut muzik pula, kalau di sini kita bikin album blues, folk atau jazz contohnya, adalah kawan kita yang seramai seratus orang akan suka itu pun belum tentu beli album kita kerana budaya menghargai itu pun masih kurang jelas kefahamannya bagi kita, pun saya masih berbangga kerana saya dilahirkan di sini.
Kita anjurkan program muzik singer/songwriter saban tahun dari Unclogged(Joe Kidd), KL Singsong (Jerome, Azmyl dan Sei Hon) atau Moonshine (Reza Salleh) dan beberapa program muzik yang berbentuk ilmiah dan penuh dengan mesej seperti yang dianjurkan mereka di No Black Tie, yang mana yang datang hanyalah kawan-kawan kita sahaja yang meraikan dunia kita yang masih asing dan jauh dari mereka yang katanya mainstream dan komersial itu.
Sudahnya bukankah kita ini hanya syok sendiri sambil memuji sesama kita sahaja. Kita itu mungkin jumlahnya dalam 200 hingga ke 300 orang sahaja?
Pun itulah seperti yang selalu saya banggakan selalu, saya ini masih anak Malaysia. Banyak sebab antaranya faktor kesetiaan dan sayangkan negara kita ini tanpa berbelah bahagi.
Saya masih mimpikan ruang yang bebas untuk kita raikan. Mungkin suatu hari nanti taraf hidup kita sebagai pemuzik indipenden akan lebih terjamin kerana budaya yang baru bermula ini akan lebih berkembang dalam 20 tahun yang akan datang? Atau ianya hanya musim yang sekadar datang dan kemudian hilang begitu saja ?
Di negara kita ini apapun boleh berlaku, pun saya tetap anak Malaysia!
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.





