Selamatkah kita?
1 JULAI — Saban hari ada sahaja kes-kes jenayah yang dilaporkan dalam dada akhbar.
Jelas, kes-kes jenayah yang dilaporkan itu bukanlah jenayah biasa.
Rogol, membunuh, memperkosa, pemerdagangan orang, hamba seks bahkan juga penculikan.
Insiden yang berlaku pula bukan lagi kes terpencil seperti yang dijangka sebaliknya ia menjadi satu gerakan terancang oleh kumpulan penjenayah.
Kesudahan daripada insiden jenayah yang dilaporkan itu kebanyakannya berakhir dengan kematian, paling tidak pun dengan ugutan serta penderitaan yang tidak berkesudahan.
Sememangnya, peningkatan kadar jenayah di negara kita bukan lagi satu rahsia. Walaupun inisiatif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) melalui NKRA Jenayahnya berjaya mencatatkan sedikit kejayaan, namun kes demi kes jenayah yang dilaporkan dalam media tidak menggambarkan sedemikian dan mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.
Ia bukan satu masalah kecil yang harus disapu ke bawah permaidani. Tanyalah kepada mana-mana penduduk di negara ini mengenai prioriti utama dalam hidup mereka, aspek pertama yang terus terlintas dalam fikiran mereka ialah mengenai keselamatan diri, isteri dan anak-anaknya.
Malah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sesi interaksi dengan orang ramai menerusi platform NSTLive baru-baru ini mengakui banyak usaha lagi yang perlu dilakukan untuk mengurangkan jenayah di Malaysia.
Pengakuan jujur oleh Perdana Menteri kita sesungguhnya menunjukkan usaha membanteras jenayah di Malaysia masih mempunyai lompong-lompong yang perlu ditambah baik.
Berita mengenai seorang gadis muda diculik dan hampir dirogol di parkir sebuah pusat membeli-belah di Damansara dan rompakan ke atas seorang pengunjung pusat membeli-belah di kawasan parkir Midvalley Megamall hanyalah “tip of the iceberg.” Tidak terbayang dalam fikiran bahawa insiden-insiden sedemikian boleh berlaku 20 atau 30 tahun yang lampau.
Nampaknya, tidak ada lagi tempat yang selamat untuk kita. Kita mungkin menjadi mangsa jenayah di mana sahaja kita pergi jika kita tidak berwaspada. Di rumah, kawasan parkir, pusat membeli-belah waima di tempat kerja sekalipun tidak terkecuali.
Si penjenayah yang licik hanya menunggu peluang dan masa untuk bertindak dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan!
Jenayah tidak mengenal mangsa baik yang muda mahupun yang tua. Jenayah juga tidak mengenal kaum. Manusia yang bergelar penjenayah ini akan membuat apa sahaja bagi memuaskan nafsu buasnya.
Yang pasti, ini bukan soal untuk menakutkan mana-mana pihak mahupun mempertikaikan usaha murni kerajaan membasmi jenayah. Akan tetapi, melihatkan kepada kes-kes jenayah makin menjadi-jadi dalam akhbar… rakyat Malaysia umumnya mempunyai hak untuk merasa bimbang.
Jika satu ketika dahulu, penulis merasa selamat untuk berjalan seorang diri ke kawasan Kota Raya, Pudu Raya mahupun melakukan senaman ringan seperti berjoging, kini penulis akan berfikir dua kali sebelum berbuat demikian.
Penulis mempunyai alasannya tersendiri. Persoalan utama yang akan terlintas dalam fikiran penulis ialah apakah penulis akan menjadi mangsa penjenayah? Apakah yang akan berlaku kepada penulis jika si penjenayah yang ditemui itu adalah mereka yang nekad untuk mengganas? Di manakah hak penulis sebagai seorang rakyat Malaysia untuk mendapat keselamatan yang terjamin ketika di kawasan awam?
Ya, kita sedar kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib komited untuk membasmi jenayah. Untuk itu, tahniah diucapkan dan teruskan usaha murni itu. Namun demikian, adalah tidak memadai untuk hanya menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku tanpa memerangi akar-umbi kes tersebut. Ibarat memotong lalang tanpa mengeluarkan akarnya, ia tidak akan memberikan kesan.
Dari aspek penguatkuasaan undang-undang dan hukuman pula, ia haruslah tegas dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Bermakna tidak perlu wujud unsur tolak-ansur terhadap penjenayah-penjenayah sebegini.
Kita tidak harus menyerahkan tanggungjawab membanteras jenayah kepada pihak polis semata-mata. Kita sebagai rakyat Malaysia perlulah sentiasa peka, prihatin dan bersedia memberi kerjasama untuk membasmi masalah ini hingga ke lubang cacing.
Jika tidak dapat membasmi jenayah ke peringkat sifar sekalipun, seboleh-bolehnya kita mampu mengurangkannya ke tahap yang boleh diterima. Jangan biarkan ia merebak menjadi barah yang mungkin tidak dapat dikawal lagi satu hari nanti.
* Segala pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis.





