Teater ‘Emily of Emerald Hill’
| Zubin Mohamad is a dancer-choreographer who is passionate about promoting "tradition-based contemporary" dance theatre, and is the artistic director of Kuala Lumpur Fringe Festival and Arts Exchange in Asia (AXiA). He loves to teach, research and write about culture, history, creativity and post-modernism. |
6 MEI — Pada 26 April 2012, dua hari sebelum Jalan Tunku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka dikunjungi penunjuk perasaan “Bersih”. Saya berkesempatan menonton sebuah teater Inggeris berjudul “Emily of Emerald Hill” di Panggung Bandaraya yang sudah mulai usang itu. Jika diterjemahkan tajuknya ke Bahasa Malaysia, ia menjadi “Emily Dari Bukit Zamrud”, bunyinya seperti ada persamaan dengan “Alice in Wonderland” atau “Alice Dalam Dunia Ajaib”. Dua orang perempuan yang asalnya dari tempat lain. Mungkin ada sesuatu yang tersirat di situ.
Stella Kon dikatakan berpindah ke Singapura pada tahun 1948, kembali ke Malaysia pada tahun 1967, dua tahun setelah Singapura keluar dari Malaysia dan kembali semula ke Singapura pada tahun 1987. Karya beliau “Emily of Emerald Hill” memenangi pertandingan menulis drama di Singapura pada tahun 1983. Ini bermaksud yang beliau menulis karya tersebut telah dilahirkan di Malaysia, tetapi bercerita tentang Emily yang tinggal di Emerald Hill di Singapura. Stella sendiri pernah tinggal di sebuah rumah agam di Emerald Hill.
Pearly Chua memainkan watak Emily di dalam pertunjukan “Emily of Emerald Hill”.Mungkin pengalamannya sendiri menjadi asas kepada pengembangan cerita tersebut. Skrip drama monolog yang bersifat fiksyen sejarah ini pertama kali dilakonkan oleh Leow Puay Tin dan diarahkan oleh Chin San Sooi pada tahun 1984 di Seremban. Chin San Sooi yang mendapat pendidikan teater di England sekitar tahun 1970 dikatakan sudah mengarah teater “Emily of Emerald Hill” sebanyak 21 untuk lakonan Leow Puay Tin dan lebih 100 kali yang dilakonkan oleh Pearly Chua. Selain Leow Puay Tin dan Pearly Chua, seorang pelakon lelaki terkenal di Singapura, Ivan Heng, juga sudah banyak kali membawa watak wanita peranakan, Nyonya dari Singapura ini. Terakhir, beliau melakonkannya kembali pada tahun 2011 di Singapura di bawah arahan Glen Gui, juga pengarah filem “Blue Mansion” yang difilemkan di Pulau Pinang.
Saya sebenarnya sudah pernah menonton kedua-dua pelakon, Leow Puay Tin dan Ivan Heng melakonkan watak Nyonya, Cina Peranakan dari Singapura itu, di bawah pengarah berbeza, Chin San Sooi dan Krisyen Jit, di Kuala Lumpur, sebelum menonton lakonan Pearly Chua arahan Chin San Sooi. Apa yang menarik dalam watak Emily lakonan Ivan Heng adalah pilihan untuk memilih seorang pelakon lelaki untuk melakonkan watak wanita, yakni bersifat “Cross-Gender”(silang gender), yang mungkin bukan hanya melihat Emily sebagai seorang wanita yang kental dan sesekali tegas dan keras kepala, yang boleh membuatkan kita marah, bangga, terharu dan tertawa. Watak-watak sebegini rupa sebenarnya sudah lama ada di dalam teater-teater tradisi Asia, termasuk Kabuki di Jepun dan Lakorn Nok di Thailand. Malah watak utama di dalam teater Mak Yong, iaitu rajanya dilakonkan oleh wanita, manakala “Ghazal Party” dan “Mek Mulong” di Utara Semenanjung yang dilakonkan oleh lelaki. Jadi “Cross-Dressing”(silang pakaian) dalam teater di Malaysia juga sudah menjadi perkara biasa sejak zaman berzaman.
Yang menariknya, lakonan monolog Emily di dalam “Emily of Emerald Hill” ini tidak memerlukan Pearly Chua membawa watak-watak lain, seperti teater-teater monolog yang lain. Pearly Chua hanya perlu menjadi Emily sepanjang masa, cuma dia berinteraksi dengan watak-watak lain seperti mertua, suami, anak, cucu serta kawan baiknya, Bee Choo. Teater ini mengisahkan Emily Gan, seorang gadis miskin yang ditinggalkan kedua orang tuanya, yang kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki kaya, Kheong, anak kepada Gan Eng Swee yang menetap di Emerald Hill. Emily terpaksa tinggal di rumah besar ini bersama mertuanya serta ipar-iparnya yang tidak menyukainya. Emily dan Kheong mendapat tiga anak lelaki, Richard, Charlie, Edward dan Doris. Tetapi yang paling disayanginya adalah Richard yang kemudiannya dihantar ke England untuk disekolahkan. Kerana tekanan ibunya, Richard akhirnya membunuh diri, manakala suaminya Kheong pula menikah isteri muda. Emily akhirnya mewarisi rumah agam di Emerald Hill dan menjalani hari tuanya di situ.
Saya sendiri begitu tertarik dengan kenyataan yang pernah dilafazkan oleh Chin San Sooi di dalam satu temuramah di mana beliau menyifatkan persembahan teater ini sebagai perjalanan mengenali sebuah budaya yang tinggi nilainya, Cina Peranakan, Nyonya. Di dalam teater ini, ia bukan hanya mengisahkan krisis yang ada di dalam rumah tersebut, termasuk tragedi dan komedinya, tetapi juga gaya berpakaian, pemakanan serta gaya hidup.
Apa juga yang menarik adalah komitmen Pearly Chua yang telah melakonkan watak tersebut sebanyak lebih dari 160 kali, manakala Chin San Sooi sendiri yang telah mengarah karya ini sebanyak lebih dari 120 kali. Kadang-kadang ada beberapa pertanyaan yang bermain di dalam kepala saya, “apakah seorang pelakon atau pengarah itu hanya ingin dikenali dengan membawa satu watak sahaja sepanjang kareernya? Apakah lebih mencabar untuk seseorang pelakon atau pengarah, jika dia juga melakukan eksplorasi terhadap watak-watak yang berbeza dan teater yang berbeza?”. Mungkin tidak keterlaluan jika seorang pemain Mak Yong yang hanya melakonkan watak raja sahaja di dalam kesemua duabelas cerita Mak Yong yang ada. Walaupun begitu, kita perlu ingat yang Mak Yong adalah sebuah teater tradisional.
Satu lagi hal yang menjadi persoalan buat saya adalah ketiadaan skrip, samada di dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa malaysia, yang bercerita tentang kehidupan kaum Cina Peranakan di Malaysia — di Melaka, Pulau Pinang atau Kuala Lumpur. Walau budaya Baba-Nyonya ini dikongsikan bersama oleh negara-negara yang mengadap Selat Melaka, seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand(Phuket), pastinya budaya tersebut sudah berubah dan bertukar rupa. Mungkin bahasa dan budayanya juga sudah berbeza dibandingkan dengan abad ke lapan belas dan dua puluh.
Saya juga tertarik dengan soalan yang diajukan kepada Pearly Chua di dalam temubual radio tentang usaha memartabatkan budaya Cina Peranakan, Nyonya-Baba di Malaysia dan perbandingannya dengan apa yang telah dilakukan di Singapura, seperti penerbitan buku-buku, pameran tetap di muzium, seni persembahan tahunan persatuan Cina Peranakan dan sebagainya. Kita mungkin pernah melihat buku “Kebaya Nyonya” yang diterbitkan oleh Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmud atau buku masakan Nyonya Melaka Florence Tan, tapi apakah usaha tersebut sudah cukup untuk memartabatkan budaya yang semakin pupus itu. Salah satu ciri utama yang membuatkan budaya kaum Baba-Nyonya terkenal adalah keunikan bahasa Melayunya yang khusus. Malangnya hanya beberapa patah perkataan sahaja yang dituturkan di dalam teater “Emily of Emerald Hill”, seperti “Babi Buah Keluak” yang disebut beberapa kali.
Apapun, lakonan Pearly Chua sebagai Emily sewaktu tuanya sangat memberikan kesan kepada saya, di mana bukan sahaja dia berkaca mata untuk membaca dan menjahit, tetapi yang lebih berkesan, tubuhnya berubah menjadi sedikit bongkok, walaupun ketika dia duduk di kerusi. Begitu juga dengan suaranya dan pergerakan mulutnya. Pendekata saya benar-benar terkesan terhadap lakonannya sebanyak lima belas minit terakhir persembahannya.
Pada keseluruhannya, penggunaan lampu dilihat seperti terlalu minimal dan tidak memberikan kesan yang lebih mendalam kepada watak dan suasana. Begitu juga dengan susun atur perabut di pentas, yang masih bersifat formal dan konvensional yang sekaligus tidak memberikan kesan yang lebih menarik kepada audien. Untuk seorang pelakon yang sudah melakonkan watak yang sama sebanyak lebih dari 160 kali, ternyata Pearly Chua masih berada di dalam status “berlakon” dan masih belum “menjadi” Emily yang sebenar-benarnya, terutama ketika zaman mudanya dan zaman dia menjadi seorang ibu yang mendominasi atau ketika menjadi seorang wanita yang menderita ditinggalkan suaminya. Sememangnya lakonan monolog sangat mencabar dan perlu banyak bantuan lain seperti busana, tata rias, tata ruang serta tata lampu.
* Pandangan di atas hanyalah suara hati peribadi penulis.





