Tunku tolak sertai Umno yang gelong
7 MEI — Tan Sri Abdul Kadir Shaikh Fadzir, bekas menteri dan MT Umno yang baru meninggalkan Umno untuk bersama dengan Pakatan Rakyat memberitahu beribu-ribu orang di majlis ceramah PAS di Taman Melewar malam sebelum 28 April, 2012:
Dia gagal memujuk Tunku Abdul Rahman Putra menyertai semula Umno setelah Umno yang diharamkan itu dipulihkan semula.
Kerana dia rapat dengan Tunku kawan-kawannya minta dia memujuk Tunku supaya sertailah semula Umno. Mereka juga berusaha untuk memujuk Tun Hussein Onn.
Kata Kadir, Tunku berkata kepadanya, dia amat kasih kepada Umno. Kerana Umnolah dia dapat membawa kemerdekaan kepada negara. Kerana Umnolah dia dapat menjadi Perdana Menteri.
Tentunya kerana Umno juga Tunku kekal dikenali sebagai Bapa Malaysia dan Bapa Kemerdekaan.
Tetapi Umno yang tidak disertainya itu bukan lagi seperti Umno yang dipimpinnya dulu dan Umno yang dipimpin oleh beberapa orang selepasnya.
Kata Tunku kepadanya, Umno sekarang sudah gelong. Macam mana dia hendak menyertai Umno?
Walau pun dia sayang pada Umno, kata Kadir, tetapi negara dan rakyat lebih penting. Biarlah dia tidak menyertai semula Umno yang gelong itu kerana tidak mahu bersamanya menjadi negara dan rakyat gelong.
Padanya Tunku lebih komited untuk mempertahan rakyat dan negara dari mempertahankan Umno yang pada pandangan Tunku sudah gelong.
Kadir sekarang dapat merasakan apa yang dirasa oleh Tunku lebih 25 tahun dulu. Mungkin Kadir 25 tahun tidak terasa Umno itu gelong seperti yang Tunku sedar, tetapi dihujung keberadaannya dalam Umno, dia juga sedar bahawa partinya itu betul-betul gelong seperti yang Tunku pernah kata kepadanya. Dia gembira pula dapat mengambil pendirian yang sama dengan pendirian Tunku dulu meninggalkan Umno sebulan dulu.
Bukan Kadir saja gagal memujuk Tunku, tetapi kawan-kawannya yang diamanahkan memujuk Tun Hussein Onn juga gagal.
Bagi Kadir, Tunku dan Tun Hussein Onn adalah orang yang paling tahu tentang Umno semasa pimpinan mereka dan bagaimana Umno selepas mereka. Mereka adalah Presiden Umno di masa masing-masing dan amat sayang kepada parti mereka.
Tetapi apabila mereka mendapati parti itu kemudiannya sudah gelong, bukan saja mereka tidak mahu kembali kepadanya setelah ia dihidupkan semula selepas matinya, malah Tunku tidak mati sebagai ahli Umno.
Kadir sudah tawar hati terhadap Umno semasa pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ramai pimpinan Umno kecewa dengan pimpinannya terutama Tun Dr Mahathir Mohamad hingga dia juga keluar dari Umno.
Kadir tidak mengikut Mahathir masa itu tetapi dia sudah menyatakan kepada rakan-rakannya dalam Umno yang dia kecewa dengan Umno. Sudah diberitahunya dia berfikir untuk meninggalkan Umno tetapi kawan-kawannya dalam Umno menasihatkan supaya bersabar, maka dia tidak meneruskan hasratnya.
Tetapi dia tidak ada lagi dalam kabinet. Adakah dia diberhentikan atau tidak sendiri berhenti? Ketiadaannya dalam kabinet itu tidak menjadi isu. Mungkin dia menolak untuk dikekalkan.
Dia gembira tidak berada dalam kabinet sebelum partinya itu ditolak rakyat dalam pilihan raya umum 2008. Katanya, BN sudah kalah di Semenanjung dalam pilihan raya itu. Undi popularnya sudah kurang dari pembangkang. Ia cuma diselamatkan oleh Sabah dan Sarawak, tetapi ia gagal untuk mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.
Kata Kadir, dia masih sayang pada partinya itu, tetapi ia sudah ditolak oleh rakyat. Tiada guna lagi berada dalam parti yang sudah ditolak oleh rakyat. Negara kita adalah kepunyaan rakyat. Kalau rakyat sudah tolak, maka tidak ada apa lagi yang kita dapat buat.
Sebelum negara ini jatuh seteruknya oleh pimpinan Umno yang tidak mahu berubah, sedang rakyat seluruhnya sudah mahu berubah, maka Kadir memulakan langkah perubahan itu meninggalkan Umno dan dia harap rakan-rakannya yang ramai dalam Umno berkongsi pendirian dengannya menyokong rakyat yang mahukan perubahan.
Katanya sambil melawak parti Mat Sabu (PAS) ini bukan ada apa. Media — TV dan surat khabar — tak ada. Duit pun tak ada. Tetapi disokong oleh rakyat dalam pilihan raya lalu. Mengapa? Rakyat mahukan perubahan. Orang sudah tidak mahu lagi Umno.
Lalu dia mengajak semua orang menyokong kemahuan rakyat itu.
* The views expressed here are the personal views of the columnist.





