7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Opinion

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

Wartawan bukan pelacur!

February 19, 2012

19 FEB — Ketua Publisiti Pilihan Raya DAP, Hew Kuan Yau barangkali bukanlah pemimpin politik pertama yang melontarkan kenyataan kurang enak kepada golongan wartawan di negara ini. 

Sebaliknya, terdapat juga pemimpin-pemimpin politik lain yang turut serta menjadikan wartawan sebagai “punching bag” mereka apabila terbitnya laporan-laporan akhbar yang dilihat mengkritik mereka. 

Cumanya, mungkin kenyataan atau tindak-tanduk pemimpin-pemimpin politik lain itu tidaklah sepanas mana, maka ia dilupakan begitu sahaja. 

Antara tindakan yang paling lazim dilakukan oleh pemimpin politik selama ini ialah menuduh media telah memutarbelitkan kenyataan yang diberikan mereka. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa pihak medialah yang bersalah dan pihak media jugalah yang mempunyai serba-serbi kelemahannya. 

Kecenderungan untuk menjadikan media sebagai “punching bag” meletakkan wartawan dalam keadaan tertekan. Akan bermain dalam fikiran wartawan selepas ini bahawa menulis atau tidak, kedua-dua situasi itu akan memberikan implikasi kepada mereka. 

Tetapi dalam kontroversi melibatkan kenyataan Kuan Yau yang dikatakan melabelkan golongan wartawan di negara ini sebagai “pelacur”, kes ini agak unik sedikit kerana melibatkan tohmahan kepada wartawan dengan kata-kata melampaui batas yang dibenarkan. 

Menyamakan status wartawan dengan pelacur merupakan satu tuduhan yang cukup berat dan adalah satu penghinaan besar kepada golongan wartawan di negara ini. Bukan sahaja kenyataan itu mempertikaikan kredibiliti dan integriti wartawan keseluruhan, bahkan meletakkan profesion kewartawan di persimpangan. 

Sekalipun beliau marah dengan tindakan segelintir wartawan yang tidak bertanggungjawab, pemimpin DAP itu tidak seharusnya mencampuradukkan wartawan tidak bertanggungjawab dengan majoriti mereka yang berpegang kepada prinsip. 

Umumnya, mereka hanya menunaikan tanggungjawabnya sebagai pencatat berita dan penyampai maklumat kepada rakyat. Mereka menulis apa yang didengar, ditanya dan yang keluar dari mulut seseorang tokoh itu sendiri. 

Tidak timbul soal wartawan memutarbelitkan kenyataan yang diberikan kerana itu bukanlah tugas hakiki mereka. Lagipun usaha memutarbelit kenyataan bercanggah dengan etika kewartawanan. Malah apa manfaat yang akan diperoleh oleh wartawan jika mereka memilih untuk memutarbelit kenyataan. 

Kalau berhajat untuk mencipta nama dalam bidang penulisan, mereka boleh menggunakan saluran yang lebih betul untuk menyalurkan pemikirannya melalui penulisan buku. 

Kuan Yau memang berhak untuk merasa marah terhadap segelintir wartawan yang tidak bertanggungjawab, tetapi lakukannya dalam norma-norma yang boleh diterima masyarakat. Gunakan saluran yang betul untuk menyalurkan ketidakpuasan hati terhadap pihak yang dimaksudkan itu. 

Sebagai Ketua Publisiti Pilihan Raya DAP, mustahil Kuan Yau tidak mengerti apakah yang boleh disebutkan di khalayak dan sebaliknya. Beliau perlu sedar bahawa sebagai seorang figura awam, segala tutur kata dan pergerakannya akan diperhatikan. Tidak ada alasan untuk mengatakan bahawa kenyataannya diputarbelitkan. 

Tetapi dalam keadaan terdesak dan amarah yang membuak-buak hingga menguasai diri seseorang, adakalanya perkara mudah sedemikian boleh terlepas pandang. 

Kuan Yau perlu sedar bahawa hubungan pemimpin politik dengan media adalah bersifat dua hala. Di pihak pemimpin politik termasuk Perdana Menteri sendiri pun, mereka memerlukan pihak media membuat liputan mengenai aktiviti seharian. 

Itu sebabnya setiap pemimpin politik mempunyai seorang atau dua pegawai media untuk menyelaraskan pergerakan dalam dunia media. Tanpa liputan media, boleh dikatakan kehadiran mereka adalah ghaib (oblivious). 

Begitu juga di pihak media yang memerlukan berita-berita panas yang boleh dimuatkan dalam dada akhbar mereka. Tanpa berita-berita sebegini, bagaimanakah suratkhabar boleh menarik minat pembaca? 

Pokok pangkalnya, mereka adalah saling memerlukan antara satu sama lain. Hubungan dua hala yang bersifat simbiotik ini akan berterusan sehinggalah mereka bersara daripada arena politik. 

Difahamkan Kuan Yau sudah pun memohon maaf di atas kenyataan itu beberapa hari lalu. Tetapi menurut laporan akhbar tempatan, beliau turut menyalahkan musuh politiknya atas beberapa interpretasi yang diputarbelit sebagai punca pertikaian. 

Demikianlah sikap sebenar pemimpin-pemimpin politik yang tidak serik untuk menuduh orang lain bagi menutup kelemahan diri sendiri. Apakah begitu sukarnya untuk memohon maaf di atas keterlanjuran yang dilakukan? Mengapakah mereka harus membiarkan ego menguasai diri mereka? 

Permohonan maaf yang bersifat “half-hearted” daripada pemimpin itu hanya menunjukkan mereka tidak menjunjung tinggi profesionalisme wartawan. Jika inilah sikap yang ditunjukkan, permohonan maaf itu sebenarnya tidak membawa sebarang makna. 

Perlu diingatkan bahawa wartawan bukanlah calang-calang individu biasa. Mereka adalah ejen pengantara antara rakyat dan kerajaan. Tulisan mereka jugalah yang akan mempengaruhi pemikiran dan pandangan masyarakat terhadap sesuatu perkara. 

Kepada pemimpin berkenaan, jadikan episod hitam ini sebagai pengajaran berharga agar ia tidak akan berulang kembali. Jadikan pepatah lama berikut “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padah” sebagai pedoman. 

Biarpun Kuan Yau telah memohon maaf di atas perbuatan menghina wartawan itu, namun luka yang dicetuskan oleh Kuan Yau bakal mengambil masa untuk dipulihkan. 

Sekarang terpulanglah kepada beliau untuk melakukan apa yang perlu untuk memulihkan hubungannya dengan media. 

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.