Opinion

Wanita, kerjaya dan rumahtangga

16 OKT — “Tahniah Puan Melisa, anda diterima untuk menyertai kursus yang kami anjurkan di Australia minggu hadapan,” kata Encik Zulkifli, Ketua Jabatan Melisa. Melisa sangat gembira tetapi dalam masa yang sama otaknya ligat berputar dengan pelbagai persoalan. 

“Alamak, macam mana dengan hubby? Boleh ke dia bagi aku pergi ni? Bagaimana pula dengan anak-anak... siapa pula yang hendak menjaga mereka? Mak nak pegi umrah, mak mertua pula tidak sihat.” Aduh, banyak benda nak kena fikir. Susah-susah tak payah pergi. Tapi, inilah peluang untuk aku menimba pengalaman kerja, selain membentuk keyakinan diri. Insyallah, bila prestasi kerja meningkat, ada peluang kenaikan gaji. Melisa dibelenggu dilema. 

Selepas makan, Melisa berbual dengan Malik, “Pa, Mama dapat pergi Australia untuk kursus yang Mama apply last month,” kata Melisa dengan perlahan. “Really, sayang? Oh... this is great, sudah lama Mama tunggu peluang ini. So, just go dear,” kata Malik. “Errr… tapi pa, macam mana dengan Alisha dengan Qaiyyum, siapa nak jaga?” tanya Melisa teragak-agak. “Eh, sayang nie, Abang kan ada, Abanglah jaga. Macam tak biasa pula. Kalau Mama outstation, bukankah Papa yang jaga?” 

“Ya, tapi itu selalunya dua hari sahaja pun. Tapi, kali ini dua minggu sayang,” balas Melisa. “Why? You don’t trust me? Jangan risau sayang, I will take care of our angels, this is your opportunity dear! Lagipun, bukankah Kak Su akan ada seharian mengasuh Alisha dan Qaiyyum? Jadi, abang hanya jaga malam sahaja. Sabtu dan Ahad bukan abang kerja pun. Don’t worry, papa kan Super Dad!” kata Malik. Melisa terharu dengan keprihatinan Malik. 

Esoknya, Melisa menelefon emaknya di kampung untuk berkongsi berita gembira itu. Emak seperti biasa membebel tentang tanggungjawab  seorang isteri dan ibu. “Kau asyik kerja sahaja, nanti siapa yang hendak jaga anak kau?” Leter emak Melisa. “Abang Malik jaga mak,” jawab Melisa. “Dua minggu kau nak suruh Malik jaga budak-budak itu? Kau tak kesian ke pada anak-anak kau, pada Malik? Entah boleh ke tidak si Malik menjaga cucu-cucu aku?” Emak terus membebel. “Insyallah, boleh Mak. Lagipun dia sudah biasa jaga anak-anak kami kalau saya outstation,” jawab Melisa lesu. “Tugas isteri bukan ke menjaga hal rumahtangga. Biarlah suami yang keluar mencari rezeki. Ini tidak, suami isteri sibuk bekerja, rumahtangga terabai,” hujah emak panjang lebar. “Tapi Mak, saya dan Abang Malik sama-sama mencari nafkah untuk tampung keluarga. Alhamdulillah, setakat ini kami tiada masalah menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Semuanya teratur Mak,” jelas Melisa. “Iyalah tu. Mak malas nak campur,” cebik emak Melisa. Melisa menghela nafas panjang.

Melisa malas hendak bertekak dengan emaknya. Tambahan pula, emak surirumah sepenuh masa sejak berkahwin, hanya arwah ayahnya sahaja yang mencari rezeki. Sebab itu sukar untuk Melisa terangkan pada emak yang sekarang ini suami juga boleh mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga. Itu bukannya sesuatu yang janggal, cuma cara emak dibesarkan membuatnya sangat kuat dengan pandangan iaitu “setinggi mana perempuan belajar sekalipun tempatnya tetap di dapur dan di rumah menguruskan keluarga dan anak-anak.” Noktah!

Peranan suami isteri berbeza dahulu dan sekarang

Situasi yang di alami Melisa sering terjadi dalam kalangan isteri yang berkerjaya. Terutama, sekiranya mereka mendapat peluang kenaikan pangkat atau kursus di luar negara; perkara-perkara inilah yang sentiasa membelenggu fikiran mereka. Bukan semua berkemampuan mempunyai pembantu rumah, namun jika situasi di atas terjadi maka peranan suami amat penting bagi membolehkan isteri menikmati peluang yang ditawarkan.

Namun, dalam kalangan masyarakat, taboo masih kuat terhadap persepsi “tugas isteri adalah menguruskan rumahtangga dan menjaga anak-anak, manakala suami mencari rezeki”. Tetapi, bagi mereka yang bergelar ibu tunggal atau ibu yang ditinggalkan, mereka adalah pencari nafkah yang utama. Mereka juga menjadi pelindung dan penjaga keluarga. Masyarakat menganggap jika isteri mendapat peluang untuk meningkatkan kualiti dalam kerjayanya, dialah yang harus berfikir terlebih dahulu kerana dikhuatiri akan mengabaikan tugas-tugas sebagai seorang isteri.

Sebenarnya, dalam sesebuah rumahtangga, suami dan isteri memainkan peranan yang sama penting dalam mendidik anak-anak dan juga menguruskan rumahtangga terutama bagi mereka yang kedua-duanya bekerja.

Jika zaman dahulu, hanya suami sahaja yang mencari nafkah, manakala isteri duduk di rumah mengurus perihal rumahtangga. Suami juga cenderung membuat keputusan tanpa perlu berbincang dengan isteri.

Namun kini, kebanyakan isteri turut sama bekerja bagi menampung kehidupan seharian. Suami kini lebih peka terhadap tanggungjawab mengurus rumahtangga dan mendidik anak. Komunikasi dua hala dengan pasangan juga semakin berkesan dan membuat keputusan secara bersama hasil  perbincangan atau muafakat. Suami kini bukan lagi pembuat keputusan mutlak, tanpa kompromi, manakala si isteri bukan hanya menunduk angguk tanpa bantahan. 

Wanita juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara

Seiring peredaran waktu, kini lebih ramai wanita mempunyai pendidikan tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Menurut statistik daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 60 peratus wanita mendapat taraf pendidikan tinggi berbanding lelaki sebanyak 40 peratus pada tahun 2010. Bagaimanapun, kadar penyertaan tenaga buruh lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita iaitu sebanyak 78.7 peratus berbanding 46.1 peratus  pada tahun yang sama. 

Ini adalah di bawah paras purata global iaitu 53 peratus, dan kadar Asia Timur iaitu 67 peratus. Sebenarnya, Malaysia mempunyai kadar penyertaan tenaga buruh wanita yang rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Myanmar. 

Kebanyakan wanita akan cenderung meninggalkan pekerjaan mereka di usia 25-39 tahun disebabkan oleh perkahwinan dan ingin menumpukan perhatian kepada keluarga dan anak-anak. Jika mereka tidak diberi peluang untuk menggunakan kemahiran dan ilmu yang diperolehi semasa melanjutkan pelajaran hanya kerana terikat dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, adalah tidak adil kepada wanita tersebut kerana mereka tidak boleh mencurahkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari, manakala negara pula akan kehilangan tenaga kerja yang boleh menjana ekonomi negara. 

Realiti yang perlu dihadapi oleh wanita yang ingin bekerja semula selepas berhenti adalah mereka perlu bermula dengan gaji yang rendah kerana kemahiran dan pengetahuan yang mereka peroleh tidak dipraktikkan. Malah, majikan juga bersikap acuh tak acuh untuk mengambil mereka bekerja atas faktor usia dan kurang pengalaman kerja. Ini antara situasi lazim yang terpaksa ditempuh wanita, terutama mereka yang perlu mencari pekerjaan setelah bercerai atau ditinggalkan gantung tak bertali oleh suami untuk memulakan kehidupan baru dan menampung anak-anak. 

Tetapi, jika peranan gender dimainkan bersama suami isteri maka tiada masalah bagi isteri untuk meneruskan kerjaya mereka dan dalam masa yang sama urusan rumahtangga dan anak-anak tidak terabai kerana kedua-dua suami isteri saling membantu antara satu sama lain menyempurnakan tanggungjawab tersebut. Nabi Muhammad SAW, adalah contoh terbaik di dalam urusan keluarga apabila beliau juga turut membantu menguruskan rumahtangga dengan memerah susu kambing untuk keperluan keluarga dan juga menjahit sendiri pakaian beliau yang koyak. 

Kesimpulannya, perkahwinan adalah tanggungjawab bersama antara suami dan isteri. Kedua-dua suami dan isteri memainkan peranan yang penting bagi memastikan mereka mencapai kejayaan dalam kerjaya dan dalam masa yang sama mengecapi kebahagian dalam rumahtangga.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments