Opinion

Kekasihku politik

14 FEB — Dah tiba bulan Februari, bulan yang sentiasa hangat setiap tahun. Hangat bagi pasangan kekasih yang menyambut hari kekasih, hangat juga bagi yang cukup menentang sambutan ini. Jika sambutan yang agak terkenal ini berlansung setahun sekali, segala kritikan dan drama yang datang dengan sambutan ini juga tidak kurang popularnya.

Tahun lepas panas dengan kisah pemuda PAS yang menentang sambutan ini, dikutuk keras MCA dan rakan PR yang lain, kemudian oleh program “moral policing” JAKIM dan yang paling sensasi, kisah Siti Nor Bahyah dengan nasihatnya.

Satu tahun sudah berlalu, cerita sama berulang lagi. Pemuda PAS sekali lagi menjadi wataknya, dengan memorandum yang ingin dihantar ke Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk menghalang promosi besar-besaran sambutan hari kekasih kerana mungkin menggalakan rakyat Islam di negara ini terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak bermaruah. Gerakan pula, melalui Ketua Pemuda Kedah, mereka menyuarakan tentangan terhadap niat Pemuda PAS.

Bak kata orang, “same old drama, different year.”

Soalan yang kini bermain di fikiran sesetengah pihak adalah, adakah perkara ini akan berulang lagi? Di mana silapnya?

Walaupun jelek di mata umum, perkara ini mungkin boleh dianggapkan sebagai norma hidup di negara pelbagai bangsa. Ada yang mungkin beranggapan, tiada apa lagi yang perlu diperbetulkan, dan drama-drama sebegini datang dengan kebebasan berpolitik, tak kira berpaksikan bangsa, polisi atau agama. Selagi ia kekal pada skala yang kecil, dan masa yang singkat, mungkin perkara sebegini tidak perlu dikekang sepenuhnya.

Namun jika dikupas dengan lebih mendalam, persoalan yang lebih utama adalah penglibatan parti politik dalam perkara-perkara yang melibatkan moral dan cara hidup, agama serta kepercayaan.

Adakah sesuai parti politik terlibat dalam hal sebegini?

Penglibatan parti politik dalam perkara sebegini menyebabkan konflik di antara kuasa mentadbir dengan kebebasan rakyat. Tidak dinafikan, bila diberi mandat tak kira di peringkat negeri atau persekutuan, kuasa mentadbir menjadi milik parti politik, di mana tanggungjawab merangkumi semua rakyat, tak kira bangsa dan agama. Tetapi jika parti politik itu sendiri terlibat dengan aktiviti-aktiviti pembentukan moral dan kepercayaan terutamanya untuk satu-satu agama sahaja, kredibiliti parti tersebut untuk mentadbir di negara atau negeri berbilang kaum mungkin tercalar.

Namun ini tidak sekali-kali bermaksud perkara seperti moral dan kepercayaan perlu diabaikan semata-mata. Kumpulan komuniti dan masyarakat sivil perlu mengambil langkah yang lebih besar jika ingin menerapkan nilai-nilai yang diingini di dalam masyarakat Malaysia.

Sebagai contoh, parti politik tidak perlu untuk menghantar memorandum menghalang publisiti besar-besaran tentang sambutan hari kekasih. Sebaliknya, kumpulan komuniti yang percaya kepada penerapan nilai Islam dalam nilai kehidupan boleh memainkan peranan yang lebih penting — seperti memperbanyakkan aktiviti-aktiviti agama yang menarik sepanjang minggu ini atau menggunakan cara yang lebih efektif untuk mendidik rakyat Islam daripada kecil lagi.

Yang pasti, bukan lah tugas sesebuah kerajaan atau parti politik untuk menerapkan cara hidup atau nilai dan kepercayaan yang mereka inginkan terhadap masyarakat yang ditakbir. Sebagai seorang pelajar Malaysia yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke negara orang, dapat dilihat dengan mata kasar bahawa akibat daripda taktik penerapan nilai dan cara hidup yang mungkin terlalu tegas tanpa cara yang sesuai, ramai muda-mudi Islam, apabila pergi ke tempat asing, kaget dan terikut-ikut dengan budaya asing.

Bukanlah maksud artikel ini yakni ajaran agama tidak perlu diterapkan. Namun cara dan taktik perlu sesuai. Naluri manusia, semakin dihalang, semakin ingin dibuat. Jika pembentukan sahsiah dilakukan dengan istiqamah sejak kecil, di mana anak muda diajar mengapa sesuatu perkara itu salah, bukan hanya ditengking apa yang tidak boleh dibuat, nilai-nilai murni anak muda akan lebih tulen, bukan hanya dilakonkan semata-mata.

Jika semua degil dengan cara konservatif masing-masing, yang tinggi nilai agama akan terus dengan nilai mereka. Yang kurang teguh, akan rasa tersisih dan semakin menjauhi yang benar.

Lebih penting, yang di atas pagar, akan jatuh ke sebelah yang kurang molek, kerana dihembus angin derus sebelah yang molek.

Niat baik itu bagus, namun cara yang sesuai itu perlu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments