Opinion

Alahai nasib Soi Lek dan MCA…

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

14 APRIL — Kurang seminggu sebelum hari penamaan calon dan tinggal tiga minggu sebelum hari pengundian…debaran untuk menyaksikan siapakah pemenang Pilihan Raya Umum ke-13 makin kuat kedengaran. 

Ada yang menjangkakan PRU kali ini cukup sengit hinggakan sukar untuk menentukan pemenang dan tidak kurang juga, kalangan yang percaya parti pemerintah sedia ada mampu mengekalkan tampuk kekuasaan yang dipegang mereka selama lebih lima dekad. 

Bagi parti-parti politik yang mempamer prestasi buruk pada PRU 2008 lalu, PRU ke-13 merupakan medan utama untuk menebus kembali maruah yang tercalar. 

Dalam konteks ini, parti-parti politik seperti MCA, MIC dan Gerakan…PRU 13 bakal menentukan hidup matinya mereka di persada politik tanah air. Apa tidaknya, satu lagi kekalahan memalukan hanya membuktikan bahawa masyarakat yang diwakili mereka telah menolak secara jelas pendekatan politiknya. 

Satu-satunya pemimpin politik yang mungkin merasa bahang PRU kali ini ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. Ini kerana sekiranya parti pimpinan beliau gagal memperbaiki keputusan PRU 12, beliau bakal berhadapan dengan pelbagai kemungkinan. 

Kemungkinan yang dimaksudkan itu termasuk tentangan terhadap kepimpinannya, kuasa menawar MCA yang semakin lemah dan kemungkinan ketiadaan perwakilan Cina dalam Jemaah menteri. 

Sepanjang kerjaya politiknya yang mencecah berdekad-dekad lamanya, Soi Lek telah mencipta sejarah dalam pelbagai perkara. Ia termasuk untuk dirinya sendiri mahupun parti politik yang diterajui beliau sejak 2010 yang lalu. 

Buat pertama kalinya dalam sejarah, seorang Presiden MCA tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum. Buat pertama kalinya juga, seorang pemimpin yang dilanda skandal seks diberi kepercayaan oleh perwakilan untuk memimpin parti. 

Lebih hebat lagi, beliau juga merupakan satu-satunya pemimpin MCA yang pernah memegang tiga jawatan tertinggi parti iaitu Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden dalam suasana yang penuh kontroversi. 

Apa yang menjadikan Soi Lek seorang pemimpin MCA yang cukup digeruni ialah keberanian beliau untuk menentang pemilihan mantan Presiden MCA, Dato Seri Ong Tee Keat sebagai calon BN di Pandan biarpun Tee Keat disenangi pucuk pimpinan tertinggi BN dan rakyat. Dengan erti kata lain, beliau berani menentang arus. 

Inilah perwatakan dan kekuatan Soi Lek.  Kita tidak nafikan bahawa Soi Lek bukanlah politikus sembarangan. Lidahnya tajam lagi bercabang manakala otaknya pula sentiasa bergeliga mematahkan hujah-hujah pedas pembangkang. Kekuatannya cukup ketara ketika pembabitan debatnya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. 

Begitupun, kekuatan yang dimiliki Soi Lek itu juga merupakan kelemahan utama beliau. Dan kelemahan itu juga yang dijadikan senjata oleh musuh politik untuk memusnahkan reputasi beliau. 

Tindak-tanduk dan keputusan yang dibuat beliau dalam beberapa isu khasnya soal pemilihan calon, penyerahan kerusi tradisi MCA kepada parti komponen lain dan keputusannya untuk tidak bertanding menarik perhatian ramai. 

Ia juga telah mewujudkan satu precedent atau peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah MCA sejak parti itu ditubuhkan lebih 64 tahun yang lalu. 

Pada hemat penulis, precedent yang diwujudkan itu mungkin memakan parti dan dirinya sendiri. Belum pernah dalam sejarah parti MCA dalam persiapan berhadapan dengan PRU, kedudukan dan sokongan masyarakat Cina berada pada paras yang begitu lemah.  Difahamkan sokongan masyarakat Cina kepada pembangkang terus mengukuh sejak 2008 dengan peratusan sokongan mencecah hampir 80%. 

Mungkinkah kerana faktor-faktor yang disebutkan tadi mempengaruhi Soi Lek untuk tidak bertanding pada PRU ke-13? Dari segi undang-undangnya, Soi Lek sebagai Presiden MCA berhak untuk tidak bertanding dalam PRU kali ini. Malah sebagai kapten parti berkenaan, beliau berhak  memilih untuk memainkan peranan di belakang tabir. Itu adalah hakiki beliau. 

Bagaimanapun dari segi psikologi dan percaturan politik, tindakan untuk tidak bertanding mungkin sedikit memberi kesan kepada moral jentera parti. Situasi ini diibarat sebuah kapal tanpa nakhoda. Apabila sesebuah kapal tidak bernakhoda, ia mudah hilang arah dan punca. 

Dalam mana-mana perang sekalipun, seseorang kapten wajar menerajui di barisan hadapan dan bukannya di belakang.  Seseorang kapten juga harus memastikan bahawa bala-bala tenteranya sentiasa bersemangat dan dalam keadaan siap-siaga. 

Justeru, apabila Soi Lek memberikan alasan bahawa keputusan tidak mahu bertanding PRU bagi memperhebat proses rejuvenasi dalam parti hanyalah satu alasan semata-mata. 

Apakah pross rejuvenasi hanya boleh dilaksanakan apabila Soi Lek tidak bertanding pada PRU? Bukankah proses rejuvenasi merupakan satu proses yang berterusan? 

Kalau benar proses rejuvenasi sedang giat berlaku dalam MCA, mengapakah barisan kepimpinan MCA sedia ada masih terdiri daripada kalangan pemimpin yang sudah berpangkat veteran? 

Agak malang, barisan pemimpin muda tidak begitu menonjol dalam MCA. Yang ada pun hanyalah beberapa kerat sahaja. Perkembangan tersebut jelas tidak akan membantu MCA untuk menarik orang muda menyertai parti berkenaan. 

Dan ini membawa kita kepada persoalan apakah Soi Lek sebenarnya takut kalah dan tidak yakin untuk menang pada PRU ke-13? Soi Lek sebenarnya tidak punya banyak pilihan. Jika memutuskan untuk bertanding, Soi Lek akan dilabel sebagai seorang pemimpin yang gilakan kuasa. 

Jika tidak bertanding pula, beliau akan dikecam sebagai seorang pemimpin yang bacul dan tidak berani. Akan tetapi bagi mematikan terus kesemua tohmahan, Soi Lek wajar menimbangkan semula keputusannya dan memilih untuk bertanding. Jika kalah sekalipun, sekurang-kurangnya tindakan berani itu akan menutup mulut pengkritik parti. 

Selain isu kepimpinan, keputusan parti MCA untuk bertukar kerusi dengan parti-parti komponen dalam beberapa kawasan Parlimen dikecam oleh kalangan pemimpin akar umbi. Keputusan MCA untuk meminjamkan Wangsa Maju kepada UMNO walaupun belum disahkan telah mengundang kemarahan penyokong-penyokong bekas MP Wangsa Maju, Yew Teong Look. Dikhabarkan mereka bersedia untuk memboikot kempen PRU di Wangsa Maju jika kerusi itu dipinjam kepada UMNO. 

Bagi mereka, Wangsa Maju secara tradisinya adalah kerusi MCA dan Teong Look merupakan calon yang boleh menang. Apa tidaknya, Teong Look hanya kalah kepada calon PKR ketika itu, Wee Choo Keong dengan 150 undi sahaja. 

Selain kerusi Wangsa Maju, MCA kini dilaporkan telah menyerahkan kerusi Kuantan kepada UMNO,  Tronoh kepada MIC, Kota Laksamana kepada PPP dan Tanah Rata kepada Gerakan. Melihat kepada penyerahan kerusi itu, MCA kini dilihat cuba untuk mengurangkan impak kekalahan pada PRU 13. Dalam erti kata lain, damage limitation. 

Namun usaha mengurangkan impak kekalahan itu mungkin sia-sia jika senarai calon yang akan diturunkan untuk PRU 13 tidak menyeluruh. Sebelum ini,telah diuar-uarkan bahawa MCA akan menurunkan hampir 40 peratus muka baharu manakala selebihnya gandingan pemimpin berpengalaman. 

Akan tetapi, nama mantan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat tidak tersenarai sebagai calon MCA di Pandan. Ramai menyifatkan pengguguran Tee Keat daripada senarai itu sebagai tindakan balas dendam Soi Lek terhadap bekas Menteri Pengangkutan tersebut. Ia juga satu jalan untuk menamatkan terus kerjaya Tee Keat sebagai pemimpin politik. 

Ternyata, persengketaan terbuka Soi Lek-Tee Keat bukan lagi satu rahsia bahkan ia mencetuskan kerisauan pemimpin-pemimpin BN lain mengenai kestabilan parti MCA dalam jangka panjang. Ramai juga menganggap bahawa Soi Lek terlalu personal dalam serangannya terhadap Tee Keat hinggakan mengaburi matlamat jangka panjang untuk mengukuhkan parti. 

Soi Lek seharusnya akur dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri mengenai pemilihan calon khususnya di Pandan. Tidak perlu menentang sebaliknya akur dengan konsep permuafakatan parti komponen yang terbentuk selama ini. 

Soi Lek perlu faham bahawa BN perlukan seorang calon berwibawa, kuat dan berpengalaman untuk mempertahankan kerusi Pandan, lebih-lebh lagi calon yang akan dilawannya ialah Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli. Soi Lek juga tentunya sedar bahawa calon selain Tee Keat hanya akan menyaksikan kerusi Pandan itu jatuh ke tangan pembangkang. 

Pada PRU 2008, hanya Tee Keat seorang sahaja pemimpin MCA di Selangor yang terselamat daripada tsunami politik pembangkang. Kejayaan Tee Keat untuk menang pada PRU 2008 di sebalik tsunami politik merupakan satu manifestasi kepada keyakinan pengundi terhadap integriti dan komitmen beliau kepada rakyat Pandan. 

Dengan hari pengundian kini berbaki 3 minggu dari sekarang, pucuk pimpinan MCA harus merapatkan saf dan mengenepikan segala perbezaan pendapat demi memastikan parti berkenaan dapat memberikan persembahan terbaik pada PRU 13. 

Walaupun tidak diberikan peluang untuk menang besar pada PRU kali ini, namun sekurang-kurangnya MCA boleh membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa ia akan berjuang habis-habisan bagi memastikan maruah dan kredibiliti parti tersebut terus terpelihara. Mampukah MCA menangkis kebangkitan dan kemaraan DAP di kawasan yang majoritinya penduduk Cina? 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Comments