Opinion

Ambil iktibar disebalik insiden Lahad Datu

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

10 MAC ― Insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina pada 9 Februari lalu di Lahad Datu, Sabah nyata satu kejutan besar kepada semua rakyat Malaysia.

Bukan sahaja ia merobek segala mitos bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang selamat bahkan juga mendedahkan betapa rapuhnya kawalan keselamatan di kawasan sempadan dan perairan.

Insiden itu bagaikan satu “wake up call” buat pasukan keselamatan negara. Ia memberi satu mesej jelas kepada pasukan keselamatan bahawa bahaya ada sahaja di mana-mana dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Lebih penting lagi, insiden berkenaan juga menguji kemampuan pasukan keselamatan negara seperti polis dan angkatan tentera untuk berhadapan dengan situasi genting sebegini.

Syukur, selepas lima hari Ops Daulat dilaksanakan, pasukan keselamatan berjaya membunuh 53 anggota penceroboh manakala anggota polis yang terkorban dalam pertempuran masih kekal pada 8 orang.

Operasi mopping dan penggeledahan yang dilakukan oleh PDRM dan ATM menampakkan hasil memberangsangkan biarpun dilaporkan perlahan.  Harus diingat musuh yang ditentang itu bukan calang-calang musuh. Sebaliknya, mereka adalah anggota-anggota pejuang yang sudah begitu masak dengan keadaan persekitaran di Sabah.

Serangan yang dilancarkan oleh kumpulan penceroboh terhadap pasukan keselamatan negara nampaknya bukan berlaku secara kebetulan. Tetapi dipercayai kumpulan berkenaan sudah pun merancang serangan jauh lebih awal.

Mujur mereka yang menceroboh hanyalah dalam lingkungan ratusan tetapi jika bilangan itu mencecah ribuan, ia akan mengundang masalah besar buat pasukan keselamatan negara. Strategi yang diguna pakai sekarang mungkin perlu diubah.

Apabila kedengaran segelintir pemimpin politik mempertikaikan sumbangan pasukan keselamatan dalam krisis di Lahad Datu, ia sesuatu yang cukup dikesali. Jelas perbuatan mereka tidak kena pada tempat dan masa. Ia juga tidak sensitif kepada perasaan anggota keluarga pasukan keselamatan yang terkorban.

Yang pastinya, ini bukanlah masanya terbaik untuk menuding jari dan menuduh pihak tertentu mendalangi pencerobohan dengan harapan untuk meraih undi simpati. Memang benar Pilihan Raya Umum ke-13 bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang, tetapi janganlah ada yang sanggup menggadai maruah untuk melakukan sesuatu yang merendahkan martabat diri.

Apa yang lebih penting sekarang ialah untuk mencari kebenaran serta punca bagaimanakah pencerobohan tersebut boleh berlaku serta langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu. 

Langkah ini perlu bagi mengelakkan berulangnya tuntutan kewilayahan seperti mana yang didesak oleh Sultan Sulu. Jika hari ini, Sultan Sulu boleh menuntut Filipina, apakah selepas ini Thailand pula akan menuntut negeri-negeri Utara di Semenanjung? Apakah reaksi kita juga sama seperti kes lain?

Kita perlu belajar dari sejarah. Melalui sejarahlah, kita mempelajari kesilapan kita dan berubah menjadi seorang yang lebih matang dan kuat. Perkara yang sama harus diaplikasikan dalam isu pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu ini.

Kita tidak boleh ambil remeh terhadap pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu ini. Biarpun anggota mereka tidak banyak, tetapi kemampuannya untuk membunuh 8 anggota polis semasa pertempuran bukti musuh ini cukup berbahaya.

Pasukan keselamatan negara harus bersedia untuk berhadapan dengan ancaman musuh yang jauh lebih hebat daripada kumpulan Sulu itu di masa hadapan. Untuk itu, mereka harus dipersiapkan dengan kemahiran peperangan dan senjata yang lebih canggih.

Di pihak rakyat Malaysia pula, mereka tidak boleh terlalu yakin dan berpandangan bahawa segala-galanya adalah baik. Kecenderungan untuk kebanyakan rakyat Malaysia berfikir bahawa Malaysia sebuah negara bertuah dan tidak akan berlaku apa-apa bencana adalah tidak bertempat. Malapetaka  boleh menimpa ketika kita tidak menyedarinya. Rakyat di negara ini seharusnya lebih peka dan bersiap-siaga untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Ancaman musuh terhadap negara selepas ini tidak semestinya hadir dalam bentuk senjata api atau pencerobohan. Berkemungkinan besar ia hadir dalam bentuk yang lebih halus dan secara tidak langsung. Inilah yang ditunggu-tunggukan oleh musuh.

Insiden pencerobohan di Lahad Datu turut memberi pengajaran kepada pasukan keselamatan negara untuk lebih bersedia dan meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap maksimum di masa hadapan. Dalam erti kata lain, sentiasa berwaspada dengan segala ancaman yang timbul baik di kawasan perairan, darat mahupun udara. Tingkatkan kawalan dan pengawasan sepanjang masa. Jangan biarkan musuh-musuh kita memasuki negara ini tanpa kita sedari.

Insiden pencerobohan di Lahad Datu ini adalah peringatan penting kepada pasukan keselamatan negara, rakyat dan pemimpin negara ini bahawa ancaman musuh boleh berlaku sepanjang masa. Terpulanglah kepada kita untuk memastikan kedaulatan negara tidak terancam.

* Ini pandangan peribadi penulis.

Comments