Opinion

Apa rasional menjatuhkan hukuman berat ke atas Peter Butler?

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

23 SEPT — Dua minggu lalu, penulis ada melahirkan kebimbangan terhadap krisis yang melanda skuad bola sepak Terengganu dalam ruangan mingguan ini. 

Dua pemain skuad Peteh, Ismail Faruqi dan Muslim Ahmad didakwa membawa gadis ke dalam bilik hotel mereka. Namun, dakwaan tersebut ditolak sekeras-kerasnya oleh mereka berdua. 

Sudah pasti, pendedahan oleh jurulatih skuad Peteh, Peter Butler bahawa mereka berdua membawa gadis ke bilik hotel bukanlah sesuatu dakwaan yang ringan. Ia cukup berat kerana melibatkan soal maruah dan imej pemain-pemain berkenaan. 

Membawa gadis masuk ke dalam bilik hotel bukan satu perkara kecil di Malaysia. Sama ada anda akan dituduh berkhalwat ataupun melakukan perbuatan yang tidak senonoh. 

Bagaimanapun, itu bukan tujuan penulis dalam penulisan minggu ini. Penulis tidak berminat untuk mengetahui apa yang telah dilakukan pemain-pemain terbabit tetapi lebih khuatir mesej yang ingin disampaikan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, PBSNT menerusi hukuman ke atas Ismail, Muslim, Sharbanie Alawee dan Butler. 

Menepati ramalan penulis… individu yang mendedahkan perbuatan tidak bermoral dikenakan hukuman yang lebih keras manakala si pelaku yang didakwa terlibat pula hanya diberikan hukuman ringan. 

Realitinya, Butler bukanlah seorang insan sempurna  ataupun seorang yang alim. Beliau juga seorang manusia..manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan seperti kita semua. Butler cuma mahu memperbetulkan sesuatu yang dilihatnya tidak kena dalam skuad Peteh. 

Kejujuran, ketegasan malah keengganan Butler untuk berkompromi dengan masalah disiplin pemain disambut dingin oleh kalangan pemain-pemain bimbingannya.  Sebaliknya, ketegasan Butler itu dilihat sebagai satu ancaman kepada pemain-pemain yang nampaknya mempunyai pandangan tersendiri terhadap pendekatan tegas terhadap disiplin pemain. 

Pada hemat penulis, tindakan untuk menggantung Butler daripada jawatannya selama enam bulan merupakan satu penghinaan kepada sistem keadilan di negara ini. Ibarat kata pepatah yang berbunyi “Justice delayed is justice denied.” 

Butler bukanlah betul sepenuhnya dari setiap sudut namun sekurang-kurangnya niat beliau untuk menyemai budaya disiplin dalam skuad Peteh wajar dipuji. Bagaimanakah liga bola sepak tempatan negara boleh berkembang jika pemain-pemainnya tidak memiliki disiplin yang tinggi? 

Nampaknya kita cukup bertolak ansur dengan sikap “tidak apa” yang menjadi barah dalam kehidupan seharian. Situasi sedemikian cukup terserlah dalam cara kita menangani sesuatu isu walhal isu berbangkit itu memerlukan pendekatan yang keras. Jika situasi yang dimaksudkan bertambah teruk, ia kerana kita membenarkannya berlaku. 

Tidak keterlaluan untuk segelintir pemain bola sepak negara begitu manja. Bukan sahaja mereka tidak boleh ditegur malah cepat melatah apabila menerima kritikan yang pedas. 

Sekalipun Butler mungkin tersilap dalam pendedahan itu, apakah pemain-pemain terbabit terutamanya Sharbanie wajar membaling botol air ke arah Butler? Kenapa pula Butler yang harus memohon maaf kepada pemain-pemain tadi seperti mana yang dituntut oleh mereka? 

Itu sebabnya, Butler ketika ditemui wartawan menegaskan…beliau tidak akan tunduk dengan begitu mudah. Beliau mahu membersihkan namanya. Butler bukannya bodoh. Apakah beliau begitu berani untuk mendedahkan sesuatu yang serius tatkala menyedari kerjayanya mungkin terjejas jika keputusan tidak memihak kepadanya? Untuk apa? Berbaloikah? 

Lebih menghairankan, bagaimanakah hukuman ke atas Butler lebih berat daripada Ismail dan Muslim? Adakah jurulatih pasukan tidak berhak bersuara untuk memperbetulkan sesuatu yang salah? Di mana rasionalnya untuk PBSNT menentukan kesalahan Butler itu lebih berat? 

Malah keputusan itu turut mengejutkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said! Atas pertimbangan apa yang menentukan kesalahan Butler lebih berat daripada Ismail dan Muslim…hanya PBSNT sahaja yang dapat menjawabnya. 

Hakikatnya, episod Butler dengan PBSNT dijangka berterusan. Sama ada rayuan oleh Butler untuk kekal sebagai jurulatih skuad Peteh selepas ini, tiada siapa yang tahu. 

Namun adalah diharapkan kebenaran akhirnya akan memihak kepada mereka yang benar. Butler memang seorang jurulatih yang berani dan tidak mudah gentar untuk mempertahankan sesuatu yang benar. Sikap ini juga harus menjadi contoh kepada jurulatih bola sepak lain di Malaysia. 

Mesej paling jelas di sini ialah tiada kompromi terhadap pemain yang melanggar disiplin. Jika terdapat pemain yang enggan mematuhi disiplin, lebih baik mereka tidak bermain langsung. 

Mungkin sudah tiba masanya untuk jurulatih dan pengurus pasukan diberikan kuasa penuh untuk mengendalikan sesebuah pasukan bola sepak. Mereka boleh berbuat demikian tanpa campur tangan pegawai-pegawai kelab. Biarlah pegawai-pegawai kelab menguruskan hal-ehwal pentadbiran sementara jurulatih atau pengurus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu di atas padang. 

Kelab bola sepak negara boleh mendapatkan khidmat pengurus terbaik dunia seperti Sir Alex Ferguson, Jose Mourinho ataupun Pep Guardiola namun jika disiplin pemain tidak menjadi keutamaan dan boleh dikompromi, maka kita akan tahu punca sebenar mengapa sukan bola sepak negara akan terus merudum. Berbekalkan pengalaman luas dalam sukan bola sepak, Butler tidak perlu bimbang mengenai masa depannya. Penulis yakin ramai lagi kelab bola sepak dunia yang menagih khidmat baktinya. 

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments