Opinion

Apa sudah jadi?

1 APRIL — Di sepanjang Jalan Bukit Nanas, hanya sebuah bangunan lama yang benar-benar mencuri tumpuan dan minat orang awam. Ciri-ciri seni bina bangunan tersebut datangnya dari Grecian-Sepanyol manakala gabungan warna merah dan putih menjadi simbol utama kepada keunikan identiti bangunan itu. 

Bangunan lama yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan, St. John’s Institution (SJI). Saban kali apabila penulis berkesempatan untuk memandu kereta Toyota Vios melewati Jalan Bukit Nanas khususnya bangunan SJI, hati penulis begitu megah dan bangga.

Tidak syak lagi, perasaan itu banyak didorong oleh perasaan nostalgia dan kenangan manis yang pernah dikecapi ketika menjadi seorang pelajar di SJI lebih 20 tahun lalu.

Sepanjang enam tahun menerima pendidikan awal di sini begitu banyak perkara yang telah dipelajari penulis. Kalangan guru-gurunya pula merupakan antara yang terbaik di Malaysia, semuanya begitu komited dan berdedikasi terhadap tanggungjawab yang perlu digalas.

Lebih membanggakan, berapa banyak buah bangunan lama sebegini masih kukuh berdiri di tengah-tengah ibu kota walhal sudah mencecah seabad usianya? Kalau ada pun, mungkin bangunan seperti Victoria Institution dan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Nilai sejarah dan komersial yang begitu tinggi pada bangunan sekolah seperti SJI menjadikan ia sering kali menjadi pilihan utama oleh penerbit filem atau iklan untuk membikinkan produksi mereka.

Justeru, apabila bekas editor sukan akhbar Malay Mail yang juga seorang bekas pelajar SJI, Tony Mariadass memaparkan keadaan SJI yang dikatakan dalam keadaan terbiar menerusi laman blognya level-field.blogspot.com persoalan utama yang berbangkit dalam fikiran penulis ialah apa sudah jadi dengan SJI?

Maka kerana itu jugalah, penulis merasa terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap isu berkenaan. Terpanggil untuk bersuara kerana penulis percaya keadaan sedemikian tidak seharusnya berlaku kepada sebuah sekolah berprestij seperti SJI.

Hati mana yang tidak sakit dan pedih melihat sekolah kebanggaan semua Johannian berada dalam keadaan yang tidak terurus. Tumbuhnya tumbuhan di beberapa bahagian bangunan sekolah seolah-olah memberi gambaran bahawa SJI kini makin dimamah usia. Walhal sebelum ini pernah dilakukan kerja-kerja mengecat dan pembersihan bangunan berkenaan.

Sekalipun tumbuhan yang tumbuh tidaklah sebanyak mana, tetapi ketiadaan tindakan untuk membersihkannya membayangkan budaya penyelenggaraan dalam kalangan rakyat kita masih belum mencapai tahap yang sepatutnya.

Adalah tidak kena pada tempatnya jika ada pihak mengatakan bahawa kekurangan dana merupakan punca utama yang menyebabkan berlakunya keadaan sedemikian. Jika keadaan terbabit berlaku sekalipun, kalangan guru sekolah, pelajar, PIBG mahupun persatuan bekas-bekas pelajar boleh mengambil inisiatif untuk bergotong-royong untuk membersihkan tumbuhan yang tumbuh itu.

Sebenarnya, inisiatif gotong-royong tidak sukar untuk dilaksanakan jika semua pihak dibabitkan bersama.  Panggil sahaja mana-mana bekas pelajar dan guru SJI, sudah pasti seruan itu akan disahut dengan penuh semangat. Mereka sudah pasti bersedia untuk membantu demi kecintaannya kepada SJI. 

Justeru, pihak pengurusan sekolah atau mana-mana yang berkenaan tidak wajar bertindak hanya selepas timbulnya aduan dan hebahan dalam media kerana kelewatan tersebut mungkin sudah terlambat. Perlu diterapkan dalam pemikiran mereka bahawa segala bentuk masalah yang menimpa sekolah harus ditangani secara holistik, pantas dan berkesan.

Mujur masalah yang dibangkitkan tidaklah melibatkan kestabilan struktur bangunan sekolah tetapi lebih menjurus kepada keadaan fizikal sahaja. Akan tetapi jika masalah yang dimaksudkan itu benar-benar membabitkan kestabilan struktur bangunan sekolah, apakah mereka berkenaan akan terus membisu?

 Tumbuhan yang tumbuh pada bahagian utama bangunan sekolah. Tumbuhan yang tumbuh pada bahagian utama bangunan sekolah.

Jika masalah tadi dilihat memeningkan kepala, keadaan padang sekolah yang hampir botak ketika ini lebih menyakitkan dan merobek seluruh jiwa raga Johannian yang begitu sinonim dengan padang sekolah.

Ternyata, keadaan padang sekolah yang botak ini merupakan sesuatu yang amat pedih untuk ditatap namun itulah hakikat sebenarnya. Penulis dapat merasakan separuh daripada jiwa kami lenyap begitu sahaja melihatkan keadaan padang sekolah itu. 

Masakan tidak, disinilah segala acara sukan dijalankan. Disinilah juga bakat-bakat terpendam pasukan bola sepak dan hoki sekolah berjaya dicungkil dan disini jugalah berlangsungnya begitu banyak peristiwa bermakna dalam sejarah sekolah ini.  Pendek kata, segala suka-duka dilalui di atas padang sekolah tersebut.

Sebuah sekolah berprestij seperti SJI tidak sepatutnya mempunyai keadaan padang sekolah yang begitu teruk begini. Bagaimanakah segala usaha untuk melahir dan mencungkil bakat-bakat terpendam dalam acara sukan boleh dilakukan jika keadaan padang sekolah tidak terpelihara? Sejauhmanakah kualiti rumput yang ditanam di atas padang sekolah beberapa tahun lalu benar-benar mencapai piawaian yang dimahukan? 

Sekadar untuk bergantung harap kepada semangat Johannian untuk mengharungi masalah ini adalah sesuatu yang tidak praktikal. Semangat Johannian hanyalah sebahagian daripada jalan penyelesaian kepada masalah yang dimaksudkan namun jika prasarana asas seperti padang sekolah tidak dapat disediakan, jelas ada sesuatu yang tidak kena.

 

Beginilah keadaan padang sekolah SJI yang sudah botak ketika ini.  *Gambar dipetik daripada laman blog http://level-field.blogspot.com Beginilah keadaan padang sekolah SJI yang sudah botak ketika ini. *Gambar dipetik daripada laman blog http://level-field.blogspot.com

Komentar ini bukanlah bertujuan untuk menuding jari terhadap mana-mana pihak mahupun menuntut tanggungjawab daripada pihak berkenaan di atas keadaan sekolah yang dilihat tidak terurus. 

Sebaliknya, komentar tersebut dibuat sekadar untuk mengingatkan mereka yang bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu sebelum terlambat. Jangan biarkan isu ini menjadi bahan ketawa kepada pihak lain khususnya sekolah-sekolah saingan SJI.

Sudah sampai masanya langkah proaktif diambil untuk mengindahkan kembali sekolah kebanggaan kita. Tidak ada alasan mengapa tindakan proaktif tidak boleh diambil untuk membetulkan keadaan. Apa yang pasti, masa untuk beretorik sudah berakhir dan keadaan sekolah yang dilihat tidak terurus menuntut tindakan segera pihak yang berkenaan. 

Bertindaklah sebelum terlambat!

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments